MEMPELAJARI KAEDAH PELAPORAN YANG BETUL TANPA MELANGGAR UNDANG-UNDANG
Buat pertama kalinya kursus Media dan Undang-undang untuk pengamal media di Malaysia anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI), Jabatan Peguam Negara, dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) telah diadakan pada 24 & 25 May 2017 di ILKAP, Bangi.
Idea penganjuran kursus ini tercetus apabila Peguam Negara dijemput untuk program “Luncheon Talk” pada tahun lepas & beliau ingin berkolaborasi bersama MPI dalam penganjuran kursus tersebut yang mana pihak Jabatan Peguam Negara menawarkan penggunaan kemudahan latihan di ILKAP dan juga menyediakan tenaga pakar undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai penceramah manakala MPI menyediakan peserta dari kalangan media.
1. Penceramah pertama, Puan Nurulhuda Nur’aini Mohd Nor, Ketua Unit Rayuan Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara sedang menyampaikan ceramah bertajuk “Kebebasan Bercakap dan Bersuara; Sekatan terhadap media”.
Kursus yang pertama kali dianjurkan dan mendapat sambutan diluar jangkaan oleh pertubuhan media tempatan ini telah dihadiri seramai 29 orang wartawan dari media cetak, media eletronik dan juga portal berita. Mereka terdiri daripada Oriental Daily S/B, The Sun, RTM, Primeworks Studio S/B, Utusan Karya menghantar 3 wartawan, manakala BH, HM, Bernama, DBP dan The Star diwakili 2 wartawan dan MM, China Press, Berita Daily, NST masing-masing menghantar seorang dari setiap organisasi media tersebut.
2. Antara peserta yang hadir di kursus tersebut bersama penceramah kedua, Encik Mohd Sophian Zakaria, Pengarah Jabatan Pendakwaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kursus dua hari ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para wartawan memahami dengan lebih mendalam mengenai perundangan dan batasan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media dan syarikat tempat mereka bekerja.
3. Encik T. Selva antara peserta yang banyak bertanyakan soalan kepada penceramah bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada membuat laporan palsu dan berunsur fitnah supaya tidak disaman atau dituduhi.
Hari kedua berkursus, sesi dimulakan dengan Puan Nordalina Ali, Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Seksual dan Keganasan Domestik, Bahagian Pendakwa, Jabatan Peguam Negara. Banyak soalan-soalan diajukan oleh peserta kepada beliau berkenaan kes-kes jenayah rogol bawah umur dan pesalah bawah umur yang terlibat dalam kes tersebut.
4. Puan Nordalina Ali, penceramah pada hari kedua menerangkan Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Isu “Sub-Judice”.
5. Puan Fauziah Daud, Penolong Penasihat Undang-Undang, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sesi disambung lagi oleh Puan Fauziah Daud berbincang tentang Undang-Undang berkenaan dengan data peribadi – Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
6. Penceramah kelima, Encik Mohamed Fairuz Mohd. Pilus, Pengarah Bahagian Hak Cipta & Reka Bentuk Susun Litar Bersepadu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
Sebelum makan tengah hari, Encik Mohamed Fairuz Mohd Pilus menyampaikan ceramah beliau bertajuk “Undang-Undang berkaitan dengan Hak Cipta dan “plagiarism” iaitu Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).
Pada sebelah petangnya pula, sesi disambung lagi bersama YBhg. Dato’ Amarjeet a/l Serjit Singh, Ketua Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara dengan tajuk “Kebebasan Bercakap dan bersuara, Sekatan terhadap media” dengan tambahan tentang Akta Fitnah 1957 (Akta 285) dan The Law of contempt iaitu kesinambungan dari sesi pertama dihari pertama.
Sesi terakhir iaitu slot bertajuk “Responsible Journalism – Code of Ethics” dengan Penilaian dan Ulasan disampaikan oleh Encik Iznan Ishak, Pengarah Program Kehakiman, ILKAP.
7. YBhg. Dato’ Amarjeet a/l Serjit Singh berkongsi pengalaman beliau bersama para peserta tentang isu kebebasan bercakap dan bersuara.
8. Penceramah terakhir, Encik Iznan Ishak dari ILKAP.
Secara keseluruhannya, peserta berharap agar kursus ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana akta atau perundangan sering berubah mengikut keperluan semasa, maka sebaiknya akta tersebut sentiasa dimaklumkan kepada para media. Peserta juga berharap agar penceramah dapat memberi lebih fokus kepada keperluan dan tugas media dan juga penyediaan kajian kes di dalam setiap slot ceramah mereka.