Kursus
Memperkasa program latihan MPI

Memperkasa program latihan MPI

Ucapan alu-aluan Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis graduasi program Train-the-Trainers (TTT) MPI pada jam 3 petang, 25 Ogos 2022 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

SALUTASI

YBhg Dr. Prebagaran Jayaraman, Ketua Pegawai Eksekutif, Samudera Management Consultants merangkap guru program Training-the Trainer MPI

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI – Datuk Mustapa Omar dan Datuk Yong Soo Heong

Ahli Majlis Pentadbir MPI – Puan Sri Diah

Para graduan program TTT MPI – 13 orang semuanya

Para penceramah MPI

Sahabat-sabahat media MPI

Kepada semua: selamat datang ke majlis penyampaian sijil HRD Corp Certified Trainer kepada para peserta program Train-the-Trainers atau TTT anjuran MPI dengan kerjasama Samudera Management Consultants yang akan disempurnakan oleh YBhg Dr. Prebagaran Jayaraman atau lebih mesra disapa hanya Dr. Praba atau Cikgu Praba sahaja sebentar lagi.

Terima kasih Dr. Praba kerana datang dari Seri Manjung khusus untuk menyertai majlis ini pada petang ini.

Saya juga ingin menyampaikan salam daripada YBhg Datuk Shahul Dawood, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Kementerian Sumber Manusia yang baharu pagi semalam memaklumkan tidak dapat hadir ke majlis ini kerana beliau tidak sihat.

Beliau telah mengesahkan kehadirannya sejak majlis ini dirancang dan mengesahkan sekali lagi sewaktu rombongan MPI membuat kunjung hormat terhadap beliau pada 18 Ogos 2022 lalu.

Benarlah kata bijak pandai, kita manusia hanya merancang, tetapi sama ada perancangan itu menjadi kenyataan atau sebaliknya hanya Allah SWT yang menentukan.

Namun begitu, alhamdulillah rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya juga majlis graduasi program TTT, anjuran MPI ini, yang diatur sejak lebih sebulan lalu, oleh Puan Norhafiza Kamaludin, Ketua Pentadbiran dan Pengurusan Acara MPI, dapat kita langsungkan pada petang ini.

Saya difahamkan kesemua 13 peserta yang telah mengikuti program selama lima hari pada bulan April 2022 lalu, hadir dan tidak sabar-sabar secara rasmi untuk menerima sijil masing-masing. Secara tidak rasmi, sijil itu telahpun menjadi milik mereka sebaik sahaja mereka menyelesaikan kursus.

Kepada mereka, terima kasih kerana melapangkan waktu dalam kesibukan melaksanakan tugas masing-masing untuk menyerikan majlis yang tidak sepertinya ini.

Saudara-saudara yang saya hormati,

HRD Corp Certified/Accredited Trainer

Sebagai sebuah pusat latihan kewartawananan terulung dan mungkin juga tertua di negara ini, MPI senantiasa berusaha untuk memperkasa program-program latihannya yang berbentuk jangka pendek.

Antara program besar yang pernah kita adakan adalah International Journalism Fellowship selama tujuh tahun menggunakan geran kerajaan bernilai RM5 juta; kemudian Zamalah Wartawan 1Malaysia dan beberapa yang lain.

MPI juga pernah bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kelas pada peringkat sarjana sains komunikasi pengurusan untuk para wartawan kanan.

Selain itu, MPI juga telah mendaftarkan dirinya dengan HRD Corp, ketika itu HRDF, untuk menjadi penyedia latihan yang diiktiraf oleh badan tersebut pada tahun 2018.

Tetapi untuk membolehkan MPI menikmati pelbagai insentif latihan yang disediakan oleh HRD Corp, termasuk untuk para peserta menggunakan wang caruman syarikat masing-masing dengan badan membangunkan sumber manusia di negara, para penceramah atau trainer yang ditampilkan oleh kursus-kursus MPI juga, mestilah terdiri daripada kalangan yang diiktiraf sebagai HRD Corp Certified Trainer atau HRD Corp Accredited Trainer.

Kira punya kira, daripada begitu banyak trainer MPI, hanya enam orang sahaja yang mempunyai kelayakan itu.

Justeru, memandangkan sebahagian besar trainer MPI tidak mempunyai kelayakan yang diiktiraf oleh HRD Corp, maka MPI menganjurkan program khas untuk kalangan yang kerap menjadi trainer program MPI memperoleh kelayakan tersebut.

Justeru dengan kerjasama Samudera Management Consultants, program khas itu diadakan pada bulan April lalu, di bawah bimbingan Dr. Praba, seorang guru yang amat berpengalaman.

13 peserta menyertai program lima hari tersebut dan alhamdulillah, mereka semua kini bergelar HRD Corp Certified Trainer, termasuk saya.

Sepanjang lima hari itu, kami telah melalui satu perjalanan latihan yang amat menyeronokkan sekalipun ia diadakan pada bulan puasa.

Selepas menerima kelayakan sebagai HRD Corp Certified Trainer, ada antara mereka yang sudah mengajar untuk sebilangan kursus anjuran MPI, antaranya Veena Rusli, Yusanani Yushak, Hilal Azmi, Datuk Mokhtar Hussain.

Mereka kini boleh memohon untuk mendapat status HRD Corp Accredited Trainer pula.

Hal ini kerana nyawa sebagai HRD Corp Certified Trainers hanyalah enam bulan. Untuk berstatus HRD Corp Accredited Trainer, mereka perlu menjadi trainer bagi satu kursus untuk durasi sekurang-kurang empat jam, dihadiri oleh dua peserta.

InsyaAllah beberapa yang lain akan menyusul Veena, Yusanani, Hilal dan Datuk Mokhtar yang sudah layak memohon menjadi HRD Corp Accredited sehingga hujung tahun ini. MPI akan membantu di mana boleh.

MPI telahpun meminta kesemua 13 peserta mengemukakan lesson plan template masing-masing bagi membolehkan MPI memasukkan mereka dalam senarai kalender latihan MPI bagi tahun 2023. Ada yang telah berbuat demikian, ada juga yang belum.

Saya mohon kerjasama semua supaya mengemukakan lesson plan template masing-masing sekiranya kursus yang mereka cadangkan ingin disenaraikan dalam kalendar latihan MPI.

PUSAT LATIHAN KEDUA MPI

Selain memperkasakan program latihan MPI dengan membantu para penceramah tetap MPI diiktiraf sebagai Certified/Accredited Trainer HRD Corp, MPI juga telah membeli sebuah unit pejabat di Radius Business Park, Cyberjaya di mana MPI beroperasi untuk dijadikan sebagai sebuah lagi pusat latihan.

InsyaAllah pusat latihan kedua MPI, yang berada pada peringkat akhir ubah-suai akan dapat digunakan mulai pertengahan bulan September 2022.

Dengan itu, MPI akan memiliki dua pusat latihan pelbagai guna di Cyberjaya, membolehkan ia merancakkan lagi kursus-kursus berkaitan kewartawananan, pengurusan media, perhubungan awam dan komunikai korporat.

Malah saya telah menetapkan bahawa mulai tahun hadapan iaitu 2023, unit latihan MPI yang diketuai oleh Puan Norlida diwajibkan menganjurkan sekurang-kurangnya 24 program latihan yang diharapkan boleh menjana pendapatan/perolehan RM360,000 kepada MPI.

Itu akan menjadi KPI – key performance indicator tim latihan Puan Norlida.

PROGRAM MASTER CLASS

Pada waktu yang sama, MPI juga merancang untuk memperkenalkan apa yang saya panggil sebagai program master class yang akan dikendalikan oleh nama-nama besar dalam bidang kewartawanan, perhubungan awam dan komunikasi korporat.

Antara tokoh-tokoh yang bakal kita tampilkan untuk program master class ini untuk bidang-bidang di mana mereka menyerlah termasuklah Tan Sri Johan Jaaffar (bual bicara TV), Datuk A. Kadir Jasin (penulisan kolum), Dr. T. Selva (pengurusan krisis), Datuk Yong Soo Heong (penulisan bisnes), Premesh Chandran (pengurusan media) , Dr. Prebagaran Jayaraman (pengucapan awam) dan beberapa yang lain.

Tokoh-tokoh wartawan antarabangsa juga akan diundang untuk menganjurkan master class MPI ini.

SASARAN MASA DEPAN

Dengan adanya dua pusat latihan pelbagai guna, termasuk menjadikannya sebagai studio rakaman, saya berani mengatakan bahawa MPI ada keupayaan untuk menganjurkan dua program latihan pada waktu yang sama – satu ditingkat 2 dan satu lagi ditingkat bawah.

MPI berupaya untuk menawarkan kerja-kerja rakaman ala studio kerana kita mempunyai peralatan lengkap bagi tujuan penerbitan MCP – multi camera production.

Sasaran saya adalah akhirnya nanti, MPI berupaya mengadakan program latihan mingguan, dengan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur latihan yang telah kita sediakan.

Hasrat saya adalah untuk menjadikan MPI sebagai penyedia latihan yang setanding dengan kursus-kursus yang disediakan oleh Malaysian Institute of Management (MIM) dalam bidang kewartawanan.

MPI juga terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak lain yang berminat untuk menganjurkan program-program latihan berkaitan kewartawanan, media, perhubungan awam dan komunikasi korporat.

PENUTUP

Sebelum berundur, sekali lagi terima kasih kepada semua akan kesudian hadir untuk menjayakan majlis graduasi program TTT anjuran MPI pada petang ini.

Kepada mereka yang bakal menerima sijil masing-masing, tahniah saya ucapkan. InsyaAllah secara bersama, kita akan merancang program-program latihan yang relevan dengan ekosistem kewartawanan dan media setelah hadirnya Internet dan pelbagai teknologi digital semasa.

Kepada Cikgu Praba, terima kasih kerana sudi datang untuk bersama-sama anak murid cikgu meraikan pencapaian kami semua.

Mudah-mudahan setelah berstatus HRD Corp Certified/Accredited Trainers, mereka dapat mengguna pakai apa juga ilmu baharu yang sesuai untuk program latihan yang mereka kendalikan secara lebih berkesan, baik untuk kursus-kursus anjuran MPI atau pihak-pihak lain.

Kepada semua, selamat maju jaya dalam bidang latihan pilihan masing-masing.

Sekian. Terima kasih.