MENDEPANI CABARAN MEDIA SOSIAL, RUANG UNTUK ORGANISASI PERTINGKAT PENGUASAAN TEKNOLOGI DIGITAL

Sesebuah organisasi mesti menginjak ke arah yang lebih baik untuk mencapai matlamat dan kemajuan. Seiring dengan perkembangan teknologi digital masa kini, ditambah dengan isu pandemik COVID-19 yang menjadi polemik di dalam negara kita semua urusan banyak menggunakan media sosial dan internet.

Sejak dunia dilanda Koronavirus, banyak organisasi terpaksa menukar landskap operasi mereka kepada platform digital. Seperti contoh: manusia tidak boleh keluar rumah, aktiviti urusan di syarikat, kaunter perkhidmatan dan sebagainya terpaksa dihentikan. Justeru, penting untuk semua industri beralih ke penggunaan teknologi digital untuk merealisasikan operasi perkhidmatan masing-masing.

Perkongsian berkenaan cabaran dan strategi penguasaan platform media sosial dan internet telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Hilal Azmi, Ketua Inisiatif Belia & Media Sosial Astro AWANI melalui bengkel Writing for Social Media and News Portal Training anjuran Malaysian Press Institute (MPI).

Bengkel selama dua hari yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos 2021 menyaksikan seramai 66 peserta dari pelbagai organisasi korporat, kerajaan dan media telah mendapat manfaat dari konten bengkel yang dikongsikan penceramah, walaupun ianya diadakan secara maya.

Konsep bercerita dan berkongsi pengalaman menjadi antara subjek perhubungan yang santai antara penceramah dan peserta. Komunikasi antara kedua-dua belah pihak juga amat baik, sekaligus objektif kursus tercapai.

Dalam kedua-dua sesi bengkel, penceramah telah menerangkan konsep teknologi digital dan perlunya kepada perubahan oleh setiap organisasi pada masa kini yang menjadi tunjang pembangunan industri dan perkhidmatan.

Para peserta juga mendapat peluang berkongsi pengalaman dan cabaran perubahan teknologi digital melalui sesi breakout room di Google Meet. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan perlu berbincang sesama ahli kumpulan berdasarkan topik yang diberi oleh penceramah.

Melalui penilaian yang diisi oleh para peserta melalui Google Form, rata-rata semua peserta amat berpuas hati dengan bengkel yang diadakan ini namun lebih mengharapkan kepada anjuran program secara fizikal untuk lebih interaktif dan memperolehi faedah yang menyeluruh. Memandangkan sesi lebih menjurus kepada media sosial, MPI berpandangan kursus ini akan dinamakan Writing for Social Media pada masa akan datang. 

RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR

Sebahagian daripada 66 peserta yang mengikuti bengkel Writing for Social Media & News Portal Training.
Penceramah, Hilal Azmi memberi ceramah secara maya daripada rumah beliau.
Slaid penceramah yang menunjukkan bilangan terkini pengguna media sosial di Malaysia.
Penceramah menerangkan aliran format tayangan konten media sosial.
Peserta berkumpul di breakout room untuk sesi lampas idea.
Hari terakhir bengkel semua peserta merakamkan momen grup foto bersama penceramah. Semoga mendapat manfaat melalui program ini.