Menteri Besar Johor gesa Wartawan galas profesion sepenuh hati

Bertempat di Hotel Thistle Johor Baharu, pengamal media Johor diraikan dalam satu majlis penyampaian Anugerah Media Johor 2015 pada 7 September yang lalu.

Ini merupakan kali kelima penganjuran Anugerah Media yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI). Pada penganjuran kali ini, tiga (3) kategori utama dipertandingkan iaitu kategori media elektronik, media cetak dan foto. Sementara kategori media cetak dibuka kepada bahasa melayu, inggeris, cina dan tamil. Sebanyak 364 penyertaan diterima berbanding 313 penyertaan pada tahun lepas.

Team Sinar Harian menang kategori utama iaitu Anugerah Khas Menteri Besar Johor dengan laporan yang berjudul Nasib Melayu Bandar. Penganjur turut mengiktiraf sumbangan besar veteran wartawan dengan menobatkan Anugerah Khas kepada Dan Guen Chin yang pernah berkhidmat dengan The Malay Mail dan Bariah Othman dengan Bernama.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Md. Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri; Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdangangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Negeri dan Datuk Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri.

Turut sama hadir, Mohd Fauzi Ishak, Presiden Kelab Media Johor dan Zainudin Ismail, Pengarah Penerangan Negeri.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata “amatlah malang jika tugas kewartawanan ini terhenti sekadar membuat laporan dan liputan sahaja. Lebih malang jika liputan itu tidak lebih dari liputan yang diolah bagi sekadar memenuhi tuntutan tugas seharian”.

Beliau turut menggesa agar media bekerja menurut nurani dan sandarkan dengan pengetahuan. Laporlah dengan adil, dengan ilmu, dengan dapatan yang tidak boleh disanggah, dengan kajian dan berilah pencerahan.

Khaled juga memberi peringatan bahawa media juga bertanggungjawab pada bangsa, tanah air, agama dan pada Negara.

amj-01

  1. Bawah kiri : Fauzi Ishak, Presiden Kelab Media Johor menyampaikan ucapan aluan dan diikuti oleh ucapan YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin (kanan).

amj-02

  1. Tahniah kepada semua pemenang. Teruskan usaha menghasilkan laporan bermutu yang memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Johor!
    Gambar (atas) : Team BEST FM dan (bawah kiri) Team Malay Mail tersenyum bangga dengan kemenangan yang dimiliki.