MG, PORTAL ONLINE PERTAMA DIKUNJUNGI MPI
9 Sept, Kuala Lumpur — Buat pertama kalinya, delegasi MPI hadir mengunjungi portal online, MalaysiaGazette (MG) di pejabat baharunya terletak di Bandar Sri Permaisuri, Cheras Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan selama satu jam tersebut, Noraini Abd Razak, Ketua Pegawai Eksekutif MG memaklumkan bahawa program latihan penyiaran perlu diperbanyakkan oleh MPI bagi memenuhi keperluan MG khususnya. Katanya, “kos untuk menghantar wartawan mengikuti kursus di luar adalah tinggi berbanding di MPI. Jika MPI dapat menganjurkan kursus-kursus seperti ini, saya akan menghantar pasukan MG untuk menyertainya”.
Noraini juga menekankan tentang situasi wartawan muda yang menyertai industri media dilihat tidak mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. “Menjadi wartawan bukan mudah, bukan sekadar menulis tetapi melibatkan kemahiran dan dedikasi yang tinggi. Tambah beliau, “MPI boleh menjadi satu platform memberi pendedahan kepada para pelajar IPT tentang dunia sebenar kewartawanan”.
Sementara itu, Datuk Yong, Presiden MPI, menyifatkan pertemuan ini sebagai inisiatif penting untuk memastikan MPI terus relevan. Melalui penawaran kursus dan perkongsian maklumat, MPI dapat memenuhi kehendak ahlinya dan memperkasakan kemahiran mereka. “MPI juga telah membuka ruang kepada IPT untuk berkongsi kemahiran secara langsung dengan para pelajar, dengan menampilkan Ahli Majlis Pentadbir yang juga merupakan wartawan kanan,” jelasnya.
Turut sama menyertai pertemuan, Zambri Rambli Ahli Majlis Pentadbir MPI mencadangkan kerjasama dengan MG untuk membincangkan cabaran dan strategi yang telah membolehkan MG bertahan dan berkembang dalam industri media Malaysia selama 11 tahun. Dengan pertumbuhan luar biasa dari hanya 6 pekerja kepada 50 pekerja, kejayaan MG adalah contoh cemerlang yang boleh diadaptasi oleh organisasi media yang lain.
Pertemuan ini bukan sahaja membuka jalan untuk kerjasama yang lebih erat, tetapi juga mencipta peluang untuk memajukan lagi bidang kewartawanan di Malaysia.
Foto ihsan: MG