Minggu pertama Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015: Rakaman gambar-gambar

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 di Kota Kinabalu, Sabah yang bermula pada 18 Januari 2015 lalu benar-benar membuat 23 orang peserta yang menyertai program itu sibuk dengan pelbagai kegiatan – di dalam dan luar bilik kuliah.

Sebaik sahaja majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah pada pagi 19 Januari 2015, enam penceramah, mewakili dunia media itu sendiri dan bidang akademik, tampil untuk melakarkan mereka dengan masa depan media arus perdana dalam menghadapi persaingan media baharu termasuk media sosial yang mengganas sejak munculnya Internet dan world wide web (www) pada hari pertama program.

Mereka terdiri daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, Ketua Pengarang Daily Express, James Sardar dan Penolong Ketua Pengarang New Sabah Times, Jerry Karmijan.

Pencerahan dari sudut akademik pula di sampaikan oleh pensyarah kanan UMS, Dr. Haryati Abd. Karim, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr. Mus Chairil Samani dan Ketua Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Azizah Hamzah.

Selain itu, mereka juga diuji dengan kecekapan mengorek maklumat menggunakan kemahiran bertanya melakukan wawancara menerusi dua dialog iaitu dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said.

Pengarang Kanan Perundingan akhbar The Star T. Selva membimbing mereka mengenai selok-belok kemahiran pemberitaan manakala Profesor Salleh Buang mendedahkan para peserta dengan aspek undang-undang media.

Minggu pertama Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia ditutup dengan kuliah mengenai Perlembagaan Persekutuan dan fungsi tiga cabang kuasa negara iaitu legislatif, judisiari dan eksekutif oleh Profesor Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz.

Berikut adalah rakaman gambar-gambar kegiatan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia sepanjang tujuh hari pertama.

1. Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah (kiri) Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah menyempurnakan perasmian Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 di Sky Hotel, Kota Kinabalu Sabah pada pagi 19 Januari 2015.

2. Para peserta dan tetamu tekun mendengar ucapan Profesor Datuk Dr. Mohd Harun.

3. Dari kiri: Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Sabah Tourism, Profesor Datuk Dr.Mohd Harun dan Datuk Chamil pada majlis perasmian.

4. James Sardar, Ketua Pengarang Daily Express (kanan) berbual dengan Datuk Chamil, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun dan Datuk Joniston, selepas perasmian.

5. Para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia bergambar kenangan dengan Profesor Datuk Dr. Harun dan tetamu kehormat yang lain selepas majlis perasmian.

6. Tiga peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia bertukar-tukar pandangan dengan Datuk Joniston, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun dan Datuk Chamil.

7. Penceramah sesi pertama dari kiri ke kanan: Datuk Mustapa Omar, Jerry Karmijan dan James Sardar.

8. Datuk Chamil (kiri) selaku moderator Zamalah memperkenalkan penceramah sesi kedua terdiri daripada Dr. Haryati Abd. Karim, Profesor Madya Dr. Mus Chairil Samani dan Profesor Dr. Azizah Hamzah.

9. Selva (berdiri) sedang menyampaikan ceramahnya tentang teknik-teknik menemuramah.

10. Datuk Jalaluddin (kiri) dan Datuk Chamil berbual pada majlis dialog dengan PDRM Sabah.

11. Datuk Chamil (kanan) sewaktu membuat kunjungan hormat atas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said di DUN Sabah.

12. Datuk Seri Panglima Dr. Salleh menyampaikan cenderahati kepada Datuk Chamil selepas majlis dialog selesai.

13. Para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 bergambar kenangan dengan Salleh.