MNPA tawar kerjasama jayakan program MPI dan IJS

logo MPIMalaysian Newspaper Publisher Association (MNPA) melalui Pengerusinya, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah menyambut baik dan menawarkan kerjasama bagi menjayakan program-program usahasama yang bakal dilaksanakan Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies (IJS).  Dato’ Mohammad Azlan yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (NSTP) berkata demikian pada suatu majlis pertemuan yang diatur oleh MPI dan IJS bersama beliau di premis NSTP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wakil-wakil MPI yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya dan Datuk Mustapa Omar, Setiausaha/Bendahari MPI (juga Pengarang Kumpulan Harian Metro). Manakala wakil-wakil dari IJS terdiri daripada Pengarahnya iaitu En. Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli dan En. Ahmad Farami Abdul Karim, Felo IJS.

“Pihak MNPA bersedia melibatkan diri dalam kerjasama ini kerana program-program berkaitan kewartawanan yang dicadangkan amat menarik dan ia boleh dijadikan sebagai inisiatif untuk mempertingkatkan kembali kesedaran dan minat pembaca terhadap bahan-bahan akhbar bercetak”, ujar Dato’ Azlan.

Sebelum itu, Datuk Dr. Chamil Wariya dalam ucapan ringkasnya menyatakan peranan MPI sebagai perantara adalah penting dalam merapatkan lagi hubungan antara media, kerajaan dan intitusi pengajian tinggi. Dengan adanya jalinan kerjasama MPI-IJS-MNPA terutama melalui penglibatan ahli-ahli media MNPA seperti Kumpulan NSTP, Kumpulan Utusan, Kumpulan Star dan Sin Chew Media dijangka akan memudahkan lagi pelaksanaan dua program/projek besar yang telah dirancang iaitu penubuhan Muzium Kewartawanan Malaysia dan penganjuran Pameran Muka Hadapan Akhbar Peristiwa Bersejarah Malaysia.

Selain daripada dua projek tersebut, penglibatan MNPA dalam beberapa program lain yang dijangka membawa sumbangan besar kepada negara dan impak kepada industri kewartawanan turut dibincangkan seperti penganjuran Forum Media Kebangsaan dan Malam Wartawan Malaysia.

Jelas Datuk Dr. Chamil lagi, pertemuan dengan pemimpin dan pihak-pihak yang berkenaan akan turut diadakan selepas ini bagi merealisasikan projek penubuhan Muzium Kewartawananan Malaysia, antaranya ialah pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Menteri Pelancongan, Penasihat Hal Ehwal Sosio dan Budaya Tan Sri Dr. Rais Yatim dan ketua-ketua pegawai eksekutif pertubuhan media yang lain.

GALERI FOTO :

MPI-IJS 1

YBhg. Dato’ Mohammad Azlan Abdullah (paling kiri), Pengerusi Malaysian Newspaper Publisher Association (MNPA) mengalu-alukan kedatangan rombongan MPI dan IJS dalam ucapannya.

MPI-IJS 2Ahli-ahli mesyuarat mendengar penerangan yang disampaikan oleh Dato’ Azlan.

MPI-IJS 3YBhg. Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, CEO NSTP (tiga dari kiri) yang juga merupakan Pengerusi Malaysian Newspaper Publisher Association (MNPA) bergambar kenangan dengan YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, CEO MPI (tiga dari kanan); En. Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli, Pengarah Institute of Journalism Studies (IJS) (dua dari kanan); En. Ahmad Farami Abdul Karim, Felo IJS (paling kanan); YBhg. Datuk Mustapa Omar, Setiausaha/Bendahari MPI (juga Pengarang Kumpulan Harian Metro) (dua dari kiri) dan En. Wan Abdillah Wan Nawi, Ketua Komunikasi Pemasaran NSTP (paling kiri).

MPI-IJS 4 MPI-IJS 5

YBhg. Datuk Mustapa Omar berbesar hati menyampaikan cenderahati berbentuk buku sempena sambutan Jubli Perak (25 Tahun) Harian Metro kepada En. Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli mewakili IJS dan YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya mewakili MPI.