MPI : 50 Tahun Membangun Latihan Kewartawanan

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr. Chamil Wariya yang disampaikan kepada Forum Media Kebangsaan 2016, bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 28 September 2016, jam 9 pagi

Bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies, Universiti Teknologi Mara (IJS-UiTM) izinkan saya untuk mengucapkan selamat datang kepada semua yang berada di dewan ini ke Forum Media Kebangsaan 2016. Kesudian anda hadir pada Forum Media Kebangsaan kali ketiga yang dianjurkan untuk membicarakan isu-isu semasa bidang kewartawanan dan media negara ini, membabitkan para pengamal media dan para ahli akademik amat saya hargai.

Sepanjang hari ini empat topik yang menampilkan para penceramah berwibawa dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada tokoh-tokoh dunia akademik dan juga para pengarang kanan media Malaysia akan disajikan kepada anda. Nama-nama mereka terkandung dalam buku program yang telahpun diedarkan kepada anda sewaktu mendaftar pagi tadi. Saya harap kita semua dapat berada di dewan ini untuk mengikuti perbincangan yang bakal berlangsung, dari mula hingga forum ditamatkan pada petang nanti.

Secara peribadi saya mendapati, topik-topik yang dipilih oleh panel khas yang diketuai bersama oleh pengarah IJS-UiTM, Sdra Mohd Amirul Akhbar dan Pengurus Pembangunan MPI, Puan Nuzatul Shima Sulaiman adalah amat relevan dengan situasi semasa kewartawanan dan media di negara ini. Hakikat bahawa mereka berupaya meyakinkan nama-nama besar dunia akademik dan kewartawanan untuk hadir sebagai ahli panel dan peserta serta moderator Forum Media Kebangsaan 2016 dengan jelas menggambarkan kepentingan topik-topik yang dipilih.

Apa yang lebih menggembirakan saya dan rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir MPI ialah hakikat bahawa Forum Media Kebangsaan 2016 pagi ini berlangsung, MPI pula merayakan hari kelahirannya yang ke-50. Untuk makluman anda, pada tarikh yang sama lima dekad yang lalu iaitu pada 28 September 1966, Perdana Menteri ketika itu, Tengku Abdul Rahman telah mengumumkan penubuhan sebuah pusat latihan untuk para wartawan, bukan sahaja dari negara ini, tetapi dari seluruh Asia Tenggara. Tidak seperti sekarang, pada waktu itu, tiada pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus dalam bidang kewartawanan. Satu-satu universiti yang ada Universiti Malaya, khabarnya tidak berminat untuk memperkenalkan kursus media dan kewartawanan.

Nama yang diberi kepada institusi yang diumumkan oleh Tengku Abdul Rahman itu ialah South East Asia Press Centre yang mula menawarkan kursus asas kewartawanan selama empat bulan pada awal Oktober 1966 itu juga. Kursus asas kewartawanan itu merupakan kursus tahunan yang diadakan, selain kursus jangka pendek berkaitan kewartawanan yang lain.

Secara rasmi pusat latihan kewartawanan yang diumumkan oleh Tengku Abdul Rahman itu didaftarkan sebagai sebuah entiti yang sah dari segi undang-undang dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Mei 1967. Selain kerajaan, menerusi Jabatan Penerangan Malaysia, akhbar-akhbar arus perdana turut memainkan peranan dalam melahirkan South East Asia Press Centre. Dua institusi antarabangsa iaitu International Press Institute (IPI) dan Press Foundation of Asia (PFA) turut terbabit dalam menyediakan tenaga pengajar dan pembiayaan.

Pada 19 Julai 1974, berikutan penarikan diri IPI dan PFA sebagai pembiaya dan penaja kewangan dan tenaga pengajar, Ahli Majis Pentadbir South East Asia Press Centre membuat keputusan untuk menukar namanya kepada Malaysian Press Institute dan pada 3 Disember 1979 pula ditukar menjadi Institut Akhbar Malaysia. Apabila IAM naik taraf menjadi sebuah yayasan yang berdaftar dengan Akta Syarikat pada 13 April 2007, namanya dikembalikan kepada Malaysian Press Institute (MPI). Dokumen-dokumen pengumuman penubuhan dan pendaftaran South East Asia Press Centre dan penukaran namanya kepada Malaysian Press Institute, Institut Akhbar Malaysia dan seterusnya Malaysian Press Institute adalah antara bahan-bahan yang dipamerkan sempena sambutan ulang tahun ke 50 di luar dewan ini. Jika anda ada masa, silalah lihat foto-foto kewujudan MPI selama 50 tahun itu. Dan sepanjang tempoh itu, MPI kekal dengan peranannya sebagai penyedia latihan-latihan kewartawanan jangka pendek untuk para wartawan, antaranya Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, International Journalism Fellowship, selain memainkan peranan sebagai pengiktiraf karya-karya kewartawanan menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan pada 1981. MPI juga bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak setiap tahun untuk menjayakan Kinabalu Press Award dan Kenyalang Journalism Award sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Dan Forum Media Kebangsaan 2016 ini adalah salah satu projek MPI yang kita anjurkan dengan IJS-UiTM sejak 2014. Kita juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Kedutaan Amerika Syarikat, Universiti Utara Malaysia, untuk program melatih para wartawan. Barangkali elok juga Forum Media Kebangsaan ini kita jadikan projek bergerak ke seluruh negara pada masa-masa akan datang, membabitkan bukan sahaja MPI dan IJS-UiTM, tetapi juga pusat-pusat pengajian kewartawanan, media dan komunikasi universiti awam (UA) yang lain. Barulah program ini benar-benar menjadi kebangsaan dalam erti kata ia bergerak ke segenap pelosok tanah air kita ini.

Akhir sekali, sekali lagi terima kasih daun keladi kerana dalam kesibukan kerja, anda dapat meluangkan waktu untuk berada di sini pada hari ini. Saya dengan ini menyerahkan majlis ini kepada Encik Ahmad Zaini Kamaruzzaman, eksekutif editor berita, rencana dan digital Berita Harian (BH) selaku moderator sesi pertama untuk meneruskan Forum Media Kebangsaan 2016.

Selamat berforum.

 

Dikeluarkan pada:

28 September 2016