MPI cadang perkenal hadiah sagu hati untuk HKM
Ucapan alu-aluan Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2013, Datuk Chamil Wariya pada 12 Jun 2013 di Hotel Istana, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang kepada tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2013, YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Terima kasih Datuk Sri kerana sudi meluangkan waktu untuk bersama komuniti pengamal media Malaysia bagi majlis yang diadakan khusus untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2012, tajaan eksklusif PETRONAS seketika nanti. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Sri kerana telah diamanahkan untuk mengekalkan pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu. Suara demokrasi rakyat sudahpun dizahirkan – dengan jelas dan tegas. Majoriti pengundi dapat membezakan antara kaca dan permata. Pahat akan terus berbunyi walaupun rumah telah siap, tetapi saya percaya tumpuan Datuk Sri setelah mengangkat sumpah bagi kali kedua sebagai Perdana Menteri tentulah beralih kepada penerusan transformasi dan melaksanakan akujanji PRU ke-13. Selamat meneruskan perjuangan Datuk Sri.
Selamat datang juga saya tujukan kepada:
- Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
- Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
- Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran PETRONAS, YBhg Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin.
- Ketua-ketua pengarang media
- Sahabat-sahabat korporat MPI
- Para wartawan yang kita raikan
- Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.
Alhamdulilah, syukur saya kehadrat Illahi, Malam Wartawan Malaysia 2013 yang dijadualkan berlangsung pada April lalu tetapi ditangguhkan kerana PRU ke 13, akhirnya dapat kita laksanakan malam ini. Kehadiran YAB Perdana Menteri tentunyalah memberi signifikannya yang tersendiri kepada majlis ini. Diserikan pula oleh kehadiran dua orang sahabat lama MPI bertaraf menteri yang menerajui dua kementerian yang secara langsung bertanggungjawab mengawal selia media di negara ini. Dimeriahkan juga dengan kehadiran ketua-ketua pengarang, para peneraju organisasi media, tokoh-tokoh korporat – besar dan kecil dan kelompok terpenting yang kita raikan pada malam ini – golongan wartawan itu sendiri, tidak kiralah apa pangkat dan kedudukan mereka.
Malam ini sesungguhnya adalah malam untuk kita semua melupakan buat seketika persaingan sihat memburu berita. Tersirat di sebalik majlis ini adalah kesatuan kita sebagai satu industri memberi tabik hormat kepada mereka yang terpilih sebagai pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2012, tajaan PETRONAS. Tidak kira siapa atau organisasi berita mana yang menang, pemenang sebenar adalah kita semua iaitu golongan wartawan yang senantiasa bertekad untuk memperbaiki mutu kewartawanan tanah air.
Bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia 2012, 264 orang wartawan, mewakili 26 organisasi berita – lama dan baharu – telah mengemukakan 491 bahan penyertaan untuk diadili oleh panel hakim yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan media serta sebilangan wartawan veteran yang tidak lagi terikat dengan mana-mana organisasi berita yang mengambil bahagian. Justeru, bolehlah dikatakan penilaian dibuat secara objektif dan mereka yang bakal diisytiharkan sebagai pememang wajar berbangga kerana telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang amat berkualiti. Kepada mereka tahniah saya ucapkan. Kepada panel hakim yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Safar Hasim, dari Universiti Kebangsaan Malaysia, terima kasih.
Saya juga ingin menjelaskan di sini, bagi Hadiah Kajai tiga calon terbaik di kalangan 13 kategori yang dipertandingkan secara automatik dipertimbangkan untuk hadiah utama yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000.00 serta sekeping siling emas seberat 100 gram bernilai RM16,000.00 menurut harga semasa. Dengan kata-kata lain, penerima Anugerah Kajai adalah pemenang, bagi kategori yang disertainya. Teapi setelah Panel Hakim memutuskan calon itu terpilih menjadi wartawan Kajai, maka calon yang menduduki tempat kedua kategori itu diangkat menjadi pemenang kategori itu. Sebagai contoh: pemenang hadiah Kajai bagi 2011, Saudara Mohd Asron Mustapha dan Saudara Mohd Termizi Che Anuar dari Utusan Malaysia adalah pemenang bagi kategori yang mereka sertai – kewartawanan penyiasatan cemerlang. Selepas mereka dipilih menjadi pememang Hadiah Kajai, maka calon yang menduduki tempat kedua kategori kewartawanan penyiasatan cemerlang, Pearl Lee Siok Li dari the Malay Mail dipilih sebagai pemenang kategori itu. Pemenang Hadiah Kajai 2012 itu juga melalui proses yang sama.
Saya juga ingin membayangkan dan ini tertakluk kepada persetujuan PETRONAS sebagai penaja HKM, bahawa MPI telah mencadangkan supaya selain kita mengekalkan hadiah utama sebanyak RM15,000.00 bagi setiap kategori, kita juga ingin menambah dua hadiah sagu hati bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Mungkin RM5,000.00 untuk tempat kedua dan RM3,000.00 untuk tempat ketiga. Selain itu, MPI juga mencadangkan diwujudkan satu lagi kategori iaitu kewartawanan radio cemerlang. InsyaAllah perkara ini akan kami rundingkan dengan PETRONAS apabila kontrak penajaan sekarang berakhir pada 2014. Melalui cara ini, maka lengkaplah produk bermutu kewartawanan Malaysia yang akan mendapat pengiktirafan HKM.
Sebelum berundur, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan sirih pulang ke gagang kepada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Sewaktu menjadi Menteri Penerangan, beliau juga telah memberi sokongan kepada kegiatan-kegiatan MPI termasuk melancarkan program International Journalism Fellowship pada 2008. Tentulah orang berbudi kita berbahasa, lalu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Dr. Rais Yatim, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di atas segala sokongan yang diberikan kepada MPI. Selama beliau menerajui kementerian itu banyak pertolongan yang diberikan. Ini termasuklah membangunkan sebuah kabin latihan yang serba moden yang boleh memuatkan sehingga 50 orang peserta bagi satu-satu program latihan dan kursus yang kami anjurkan.
Tidak ketinggalan bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir dan Lembaga Pemegang Amanah MPI, saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepada 63 organisasi yang terdiri daripada badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan yang telah menghulurkan bantuan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2013 ini. Mereka telah membuat penajaan meja atau menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit dan barangan; ada antaranya sebagai buah tangan untuk dibawa pulang oleh para tetamu. Kepada PETRONAS sekalung penghargaan jua MPI persembahkan di atas kesudian menaja HKM sejak 1994. Tahun 2014, kami akan merayakan ulang tahun ke 20 kerjasama itu.
Akhirnya, sekali lagi MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tetamu kehormat malam ini, YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian hadir pada malam ini.
Sebagai penutup saya, bagi pihak rakan-rakan dalam Jawatankuasa Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2013 menghulur sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan dalam penganjuran majlis ini. Terima kasih semua hingga kita berjumpa lagi tahun hadapan.
Sebelum berundur, saya dengan segala hormatnya mempersilakan YAB Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin. Dipersilakan YAB Datuk Sri.
Terima kasih.