MPI dan IJS atur program kerjasama sepanjang 2016

Pertemuan antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies (IJS) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah diadakan di premis MPI baru-baru ini bagi membincang dan mengatur beberapa program kerjasama untuk dilaksanakan di sepanjang tahun 2016. Pertemuan ini adalah rentetan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPI dengan IJS di Shah Alam yang telah pun berlangsung pada 10 Disember 2015 lalu.

Mengetuai rombongan IJS ialah Pengarahnya, Encik Mohd Amirul Akhbar dan ditemani tiga wakil lain iaitu Profesor Darussalam, Tuan Haji Norsham dan Encik Ahmad Farami manakala Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya bertindak mempengerusikan perbincangan. Turut hadir ialah Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat MPI, Puan Norlida Jamain dan Pengurus Pembangunan dan Pemasaran, Puan Nuzatul Shima Sulaiman.

Seperti yang terkandung dalam MoU tersebut, MPI dan IJS bersetuju menjalin kerjasama dalam tiga bidang: pertama, penganjuran seminar, bengkel dan persidangan; kedua, penyelidikan dalam bidang kewartawanan dan ketiga, penerbitan. Hasil daripada pertemuan ini, MPI dan IJS telah bersetuju mengatur lima program kerjasama yang akan melibatkan penyertaan pelbagai pihak berkaitan dengan media/kewartawanan terutama golongan wartawan, pengamal media, ahli-ahli akademik, pelajar jurusan kewartawanan dan juga beberapa kepimpinan negara.

Lima program kerjasama tersebut ialah ; penubuhan Muzium Kewartawanan, penganjuran Forum Media Kebangsaan, penganjuran “Luncheon Talk” bersama Peguam Negara, penganjuran pameran Peristiwa Bersejarah Muka Surat Depan Akhbar dan penerbitan buku 100 Wajah Wartawan Malaysia.

Muzium Wartawan Malaysia, suatu program/projek usahasama jangka panjang akan melibatkan beberapa pihak lain terutama dari segi logistik, pengisian dan bahan-bahan artifak berkaitan kewartawanan. Antara pihak yang dikenalpasti ialah Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Warisan Negara dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Sebagai langkah permulaan, suatu pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron akan diatur dan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usul muzium ini dibina di negeri Melaka. Sekiranya muzium ini menjadi realiti, ia bakal menjadi pusat rujukan komprehensif bidang kewartawanan yang pertama di Malaysia.

Seperti tahun lalu, IJS akan bekerjasama sekali lagi dengan MPI menganjurkan Forum Media Kebangsaan. Antara tajuk yang dicadangkan ialah – Pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan kebebasan wartawan dalam menyampaikan maklumat serta perlindungan sumber berita mereka. Forum ini dijangka diadakan selepas sambutan Hari Raya Puasa kerana memberi laluan kepada kelancaran penganjuran Malam Wartawan Malaysia pada hujung Mei nanti.

Majlis “Luncheon Talk” bersama Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohamed Apandi Ali diadakan bertepatan dengan isu semasa berkaitan media dan undang-undang. Selain memberi penjelasan lebih mendalam mengenai isu-isu kewartawanan dan undang-undang daripada perspektif Kerajaan, majlis ini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara Jabatan Peguam Negara dan barisan editorial media serta ahli-ahli akademik kewartawanan.

Pameran Peristiwa Bersejarah Muka Surat Depan Akhbar pula adalah salah satu usaha memperingati peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku di Malaysia dengan mempamerkan keratan muka depan pelbagai akhbar yang menyiarkan pertama kali peristiwa-peristiwa itu pada keesokan harinya. Tema untuk pameran pertama ialah “Hari Kemenangan Pilihanraya Malaysia”.

Tidak ketinggalan, penerbitan buku 100 Wajah Wartawan Malaysia juga akan diusahakan sebagai salah satu projek jangka panjang. Sebagai langkah permulaan, MPI dan IJS akan mengenal pasti dan menyenaraikan wartawan yang telah berjasa sejak terbitnya akhbar terawal pada zaman pra merdeka hinggalah kepada golongan wartawan pada dekad ini.

Pihak IJS dan MPI berpuas hati dengan syor-syor program yang telah dicadangkan dan akan berjumpa semula dua bulan selepas ini bagi mengemaskini langkah-langkah yang telah dilaksanakan.

 

FOTO-FOTO SEKITAR MESYUARAT MPI-IJS, 3 Mac 2016 di MPI :

MAC 03 (2)YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (tiga dari kiri) mempengerusikan Mesyuarat MPI-IJS.

 

MAC 03 (3)En. Amirul Akhbar, Pengarah IJS mendengar dengar teliti penerangan daripada Datuk Dr. Chamil.

 

MAC 03 (4)MAC 03 (5)



Tuan Haji Norsham (kiri), Profesor Darussalam (kedua kanan) dan En. Farami (paling kanan) turut menyumbang buah fikiran dan bertukar pandangan mengenai program usahasama MPI-IJS.