MPI dilantik Sekretariat Penghakiman Hadiah Kewartawanan Integriti Anjuran IIM

Satu lagi pertandingan khusus untuk golongan wartawan diperkenalkan, kali ini oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM). Penganjuran Hadiah Kewartawanan Integriti ini telah diumumkan oleh Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh, pada satu persidangan media. Penyertaan mula dibuka pada 1 Januari 2012 dan tarikh tutupnya ialah pada 15 September 2012.

Karya-karya kewartawanan yang bertemakan integriti yang dihasilkan sepanjang tempoh itu layak untuk menyertai pertandingan. Secara lebih khusus, penulisan-penulisan itu hendaklah diasaskan kepada 5 Tekad Integriti berikut:

  • Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;
  • Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi;
  • Meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat;
  • Memantapkan institusi keluarga dalam komuniti, dan
  • Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM18,000.00. Penyertaan terbuka bagi empat bahasa – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Hadiah pertama bagi setiap bahasa akan menerima wang tunai RM3,000.00; hadiah kedua RM1,000.00 dan hadiah ketiga RM500.00. Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan sempena Hari Integriti 2012 pada 5 November tahun itu. Perdana Menteri dijangka menyampaikan hadiah-hadiah tersebut.

Malaysian Press Institut (MPI) telah dilantik sebagai sekretariat penghakiman bagi Hadiah Kewartawnan Integriti ini. Borang-borang penyertaan dan maklumat lanjut pertandingan boleh diperolehi mulai 1 Januari 2012 dalam halaman web MPI – mpi.my.

Datuk Chamil (kiri) menyampaikan buku-buku terbitan MPI kepada Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Mohd Tap Salleh selepas mengadakan persidangan akhbar mengumumkan Hadiah Kewartawanan Integriti 2012