MPI hargai penerima Anugerah Kajai 2001, Allahyarham Karim Sulaiman
04/04/2014
Kuala Lumpur – Sebagai menghargai sumbangan penerima Anugerah Kajai 2001, Allahyarham Karim Sulaiman, Malaysian Press Institute (MPI) telah menghulurkan sumbangan honorarium dan buku Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran kepada keluarga Allahyarham.
Buku tersebut adalah kompilasi karya para pemenang Anugerah Kajai antara 1982 hingga 2012. Karya Allahyarham yang berjudul Masalah Kepincangan Lembaga Tabung Haji yang telah membolehkan beliau dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Kajai pada 2001, turut dimuatkan dalam buku tersebut.
Penyerahan honorarium dan lima naskah buku telah disampaikan oleh Setiausaha merangkap Bendahari MPI, Datuk Mustapa Omar yang juga merupakan Pengarang Kumpulan Harian Metro/ Metro Ahad sewaktu membuat kunjungan ziarah di kediaman balu Allahyarham di Seri Gombak pada 3 April 2014.
Turut serta dalam kunjungan ziarah itu Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Puan Nuzatul Shima Sulaiman, Pengurus Pemasaran dan Pembangunan, Puan NorIida Jamain, Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Encik Salman Husni Abdollah, Penyelaras Anugerah.
Allahyarham Karim, 52 tahun, meninggal dunia pada pagi 17 Februari lalu akibat penyakit Scleromyxoedema, sejenis penyakit kulit yang jarang berlaku yang dideritainya sejak tahun 2000. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dengan Berita Harian sejak 1985, Karim adalah seorang penulis prolifik dalam hal ehwal semasa dan isu-isu gaya hidup. Beliau juga pernah berkhidmat di United Kingdom sebagai Koresponden Berita Harian di London pada 1995 hingga 1998.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pengarang Unit Khas Berita Harian. Beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia, Allahyarham Karim telah menceritakan pengalaman dan berkongsi rahsia beliau memenangi anugerah tersebut. Pengalaman itu juga dimuatkan dalam buku tersebut. Menurut Allahyarham, sebagai wartawan seseorang itu hendaklah berpegang kepada prinsip melaporkan kebenaran. “Laporan yang baik bukan dihasilkan sehari dua, tetapi dibuat selepas mengumpul banyak maklumat bagi menyokong sesuatu pendedahan ini. Hal ini penting kerana jika tersalah lapor dan tanpa disokong maklumat lengkap, wartawan boleh disaman”, kata Allahyarham.
Bagi Allahyarham Karim, seseorang wartawan mesti menjaga nama baik syarikatnya dengan menghasilkan laporan berintergriti.
Puan Siti Hawa ketika ditemui menceritakan beliau kini meneruskan kehidupan seperti biasa bersama enam anak berusia antara 17 hingga 25 tahun. Anak yang sulung kini sudah pun berkerjaya dan yang bongsu berharap untuk melanjutkan pengajian dalam bidang asasi sains di UiTM manakala salah seorang anaknya mengikut jejak langkah Allahyarham Karim sebagai wartawan di New Straits Times. Puan Siti Hawa turut menzahirkan penghargaan dan terharunya atas kunjungan MPI dan sumbangan lima naskhah buku kompilasi karya pemenang Anugerah Kajai “Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran – Edisi Kedua”.
1. Datuk Mustapa Omar, Setiausaha/Bendahari MPI yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro/ Metro Ahad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan lima naskhah buku kompilasi karya pemenang Anugerah Kajai “Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran – Edisi Kedua” kepada Puan Siti Hawa Mohd. Ariff sambil diperhatikan Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (paling kanan). Turut hadir, adik Khair Naqib, anak bongsu Puan Hawa (tiga dari kiri), wakil MPI Puan Norlida Jamain (dua dari kiri) dan Puan Nuzatul Shima Sulaiman (paling kiri).
2. Sumbangan honorarium disampaikan pula oleh Datuk Chamil Wariya kepada Puan Siti Hawa sambil diperhatikan Datuk Mustapa Omar.
3. Datuk Chamil Wariya menerangkan sesuatu mengenai buku kompilasi karya pemenang Anugerah Kajai “Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran – Edisi Kedua” yang juga mengandungi karya Allahyarham Karim Sulaiman kepada Puan Siti Hawa dan anaknya.
4. Datuk Mustapa Omar bersungguh-sungguh menceritakan sesuatu mengenai karya Allahyarham Karim yang terdapat dalam buku tersebut kepada Puan Siti Hawa dan anaknya.