Featured
MPI dan Kedutaan AS akan terus berkerjasama dalam penganjuran latihan kewartawanan

MPI dan Kedutaan AS akan terus berkerjasama dalam penganjuran latihan kewartawanan

Pautan artikel asal : https://voamedia.home.blog/2021/03/22/mpi-dan-kedutaan-as-akan-terus-berkerjasama-dalam-penganjuran-latihan-kewartawanan/

Berfoto kenangan selepas makan tengah hari di De.Wan 1958 by Chef Wan di the Linc KL Jalan Tun Razak Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021Dari kiri: Norhafiza, Riazurrahman, Michelle, Katherine dan Chamil.

CYBERJAYA, 22 MAC 2021 – Malaysian Press Institute (MPI) akan terus mengadakan kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam penganjuran latihan kewartawanan untuk para pengamal media di negara ini.

Mesej ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis makan tengah hari dengan tiga orang pegawai Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam majlis tersebut, selain Chamil, turut serta ialah pengurus latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaluddin manakala Kedutaan Amerika Syarikat selaku tuan rumah diwakili oleh Pegawai Media dan Informasinya, Ms. Michelle N. Kevern, Pegawai Kebudayaan, Ms. Katherine Diop dan Spesialis Kanan Program, Encik Sadayyan Riazurrahman.

Katherine, Michelle dan Riazurrahman dalam responsnya juga menyatakan kesediaan pihak kedutaan untuk meneruskan kerjasama dalam bidang latihan yang telah dijalin sejak sekian lama itu dengan MPI.

Mereka juga menyarankan MPI menyediakan senarai program-program baharu yang ingin dianjurkan pada masa-masa akan datang dan bagaimana Kedutaaan Amerika Syarikat boleh membantu dalam menjayakannya.

antai dan mesra: Majlis makan tengah hari anjuran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Dari kiri: Norhafiza, Chamil, Katherine, Riazurrahman dan Michelle.

MPI dan kedutaan Amerika Syarikat mula menjalin kerjasama dalam bidang latihan lebih satu dekad yang lalu.

Kursus pertama yang diadakan adalah Pelaporan Mengenai Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) di Kuala Lumpur pada 2009.

Turut terbabit dalam menjayakan program ini ialah agensi-agensi kerajaan Persekutuan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Sekretariat Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri.

Kursus tersebut telah diadakan secara tahunan di Kota Kinabalu, Sabah pada 2011; di Kota Bharu, Kelantan pada 2013; di Johor Bharu pada 2014; di Kuching, Sarawak pada 2015; Alor Setar, Kedah pada 2016; Tawau, Sabah pada 2017.

Pada 2018, MPI dan Kedutaan Amerika Syarikat bekerjasama menganjurkan bengkel Reporting on Countering Violent Extremism & Radicalisation Leading to Terrorism di Melaka, Kota Bharu dan Kota Kinabalu

Satu bengkel yang sama dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada pertengahan 2021 untuk para wartawan kawasan tengah Semenanjung Malaysia.

Selain itu, MPI juga memanfaatkan ahli-ahli akademik dan pakar-pakar Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang yang berkunjung ke Kuala Lumpur bagi program-program latihannya.

Antaranya yang kerap ditampilkan sebagai penceramah untuk program penulisan naratif dan rencana anjuran MPI ialah Profesor Dr. Janet Steele, dari George Washington University.