MPI kembali beroperasi
Selepas ditutup sejak 18 Mac lalu sebagai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan, Malaysian Press Institute (MPI) kembali beroperasi mulai hari ini, 1 Jun 2020.
Bagaimanapun pembukaan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat memandangkan program-program latihan yang dirancang oleh MPI terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan.
Hanya empat orang kakitangan MPI dipanggil bertugas pada peringkat pertama ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, penangguhan atau pembatalan program-program itu terpaksa dibuat kerana Kaedah Operasi Standard (SOP) PKP tidak membenarkan mana-mana organisasi menganjurkan program yang membabitkan perkumpulan lebih 10 orang terutama dalam kawasan tertutup.
Menurut Chamil, “Kursus-kursus anjuran MPI lazimnya dihadiri tidak kurang daripada 20 orang peserta. Mengambil kira SOP PKP itu, kita tiada pilihan kecuali menangguhkan buat sementara kegiatan-kegiatan latihan MPI, walaupun dengan berbuat demikian, kita sebenarnya kehilangan pendapatan.”
Bagaimanapun beliau memberitahu sebagai tidak menghampakan peminat-peminat program latihan MPI, pihak Institut akan memperkenalkan kursus-kursus yang dirancang secara dalam talian menggunakan kemudahan teknologi digital yang ada, termasuk Google Classroom dan juga Google Meet serta lain-lain aplikasi yang sesuai, bermula pada Julai 2020.
Persiapan-persiapan teknikal sedang dibuat ke arah usaha itu.
Mengenai Malam Wartawan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada April 2020, Chamil memberitahu penganjurannya juga terpaksa ditunda sehingga kerajaan membenarkan perhimpunan yang membabitkan ramai orang diadakan.
“Insya-Allah kalau diizinkan, program tahunan MPI untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2019 itu sebelum penghujung 2020,” kata beliau.
“Kami akan memaklumkan secara rasmi kepada pihak-pihak swasta yang telah membeli meja mengenai penganjuran Malam Wartawan Malaysia ini secara rasmi mulai sekarang.
“MPI menyanjung sokongan yang mereka berikan kepada MPI selama ini dan berharap mereka dapat bersabar sedikit,” tegas Chamil.