MPI metrai MoU dengan IJS

Ucapan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPI dengan Institute of Journalism Studies (IJS), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, pada 10 Disember 2015, jam 11 pagi.

 

Pertama-tama saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman atau MoU antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies (IJS), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dapat diadakan pada pagi yang amat bersejarah ini.

Bagi pihak rakan-rakan dalam Lembaga Pemegang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI, ada antara mereka melapangkan waktu untuk hadir hari ini, saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk memanjangkan penghargaan kami kepada UiTM, di atas kesudiannya untuk menjadi tuan rumah pada majlis pemeteraian MoU ini. Layanan mesra yang diberikan kepada kami akan terpahat dalam lipatan kami semua buat selama-lamanya. Hal ini kerana pemeteraian MoU hari ini adalah satu lagi pancang tanda bagi kami di MPI. Terima kasih.

Tentunya majlis ini tidak akan berlangsung tanpa lampu hijau kepimpinan tertinggi UiTM. Justeru, saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Datuk Seri Profesor Dr Shahol Hamid Abu Bakar, yang pada majlis ini diwakili oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Profesor Dr. Azizul Halim Yahya kerana merestui koloborasi antara MPI dengan IJS.

MPI, sebagai penyedia latihan kewartawanan jangka pendek kepada pengamal media adalah sebuah institusi yang sudah agak berusia, tetapi segi saiz ia adalah sebuah organisasi yang sebenarnya kekal kecil. Kerana itu, dalam usaha untuk membantu meningkatkan tahap profesionalisme kewartawanan kami mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak. Misalnya dengan pihak kerajaan iaitu menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan sebelum itu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan sebelum itu pula dengan Kementerian Penerangan, MPI bekerjasama untuk menganjurkan dua program besar iaitu Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan International Journalism Fellowship. MPI juga pernah menjalin koloborasi dengan Thomson Foundation yang berpengkalan di Cardiff, United Kingdom untuk menjayakan beberapa program latihan pada peringkat awal penubuhannya sebagai sebuah yayasan pada 2007.

Dengan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat sejak lima tahun lalu, kami memberi pendedahan kepada para wartawan dengan isu-isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Apabila terdapat permintaan daripada kalangan wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang komunikasi, MPI berkoloborasi dengan Universiti Utara Malaysia (UUM). Alhamdulilah, melalui program akademik di kampus UUM Kuala Lumpur, pada tahun 2014, kumpulan pertama 10 orang pengamal media menerima ijazah sarjana masing-masing. Pada konvokesyen yang diadakan pada 24 Oktober 2015 pula, kumpulan kedua seramai 15 orang pengamal media menerima ijazah sarjana. Insya-Allah kumpulan ketiga akan menamatkan pengajian pada penghujung 2016.

Dalam usaha untuk mengiktiraf kecemerlangan pelbagai produk kewartawanan, MPI menjalin kerjasama dengan syarikat minyak negara, PETRONAS menganjurkan Hadiah Kewartawanan Malaysia yang diperkenalkan pada 1980. Setiap tahun sejak 1981 pula MPI menganjurkan Malam Wartawan Malaysia untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia itu. Sebilangan ahli akademik dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media turut terbabit dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia sebagai hakim.

Justeru apabila IJS mencadangkan supaya MPI bekerjasama dalam bidang-bidang yang lebih khusus berkaitan penganjuran persidangan dan seminar, penyelidikan dan penerbitan, kami tidak teragak-agak untuk menerima cadangan itu. Dengan cara ini baik secara langsung dan tidak langsung, MPI berupaya mengembangkan sayap ke bidang-bidang lain dalam dunia kewartawanan yang ia belum ceburi selama ini. Kerjasama yang terjalin ini adalah kerjasama menang-menang.

Untuk makluman semua, usaha untuk mengadakan kerjasama ini telah dirintis lebih setahun yang lalu berikutan kunjungan sekumpulan ahli akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ismail Sualman, pada waktu itu pengarah IJS ke MPI untuk membincangkan bidang-bidang yang kedua-dua entiti boleh bekerjasama. Selepas Dr. Ismail dilantik ke jawatan lain, perbincangan itu diteruskan oleh pengarah IJS yang sedia ada, Sdra Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli pada 20 November 2014; diikuti dengan satu lagi perbincangan pada 10 Jun 2015 untuk memuktamadkan kandungan MoU yang kita tandatangani pagi ini. Selain Profesor Madya Dr. Ismail dan Sdra Mohd Amirul Akhbar, Felo Kanan IJS, Dr. Siti Zabedah Mohd Shariff turut memainkan peranan dalam merealisasikan kerjasama ini.

Seperti yang saya nyatakan antara lain, MPI dan IJS bersetuju untuk bekerjasama dalam tiga bidang: pertama, penganjuran seminar, bengkel, persidangan; kedua, penyelidikan dalam bidang kewartawanan dan ketiga, penerbitan. Malah kerjasama itu telah kami usahakan secara tidak rasmi dengan penganjuran Forum Media Kebangsaan 2014 dan 2015 di mana tenaga akademik UiTM terbabit sebagai penceramah, moderator dan peserta. Insya-Allah setelah adanya MoU ini, kita akan duduk semula untuk memikirkan program-program yang boleh kita laksanakan bersama untuk memaju bidang kewartawanan di negara ini. MPI akan menugaskan seorang petugas khusus untuk menyelaraskan program-program yang dirancang secara bersama nanti.

UiTM amnya dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, yang merupakan universiti awam kedua memperkenalkan bidang komunikasi dan kewartawanan selepas Universiti Sains Malaysia pada awal 1970-an memang diakui mempunyai kepakaran dan pakar dalam bidang kewartawanan. Malah dalam bidang kewartawanan, rekod UiTM memang tiada tolok bandingnya dalam melahirkan para wartawan yang berkaliber yang dewasa ini berada di mana-mana dalam organisasi berita, termasuk menjadi peneraju bilik berita. Sekadar menyebut beberapa nama, antaranya Datuk Jalil Hamid yang kini merupakan pengarang urusan kumpulan NSTP; Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad; Datuk Mahfar Ali, Pengarang Kumpulan Berita Harian.

Dan semalam kita membaca berita bahawa 55 orang pelajar komunikasi UiTM diberi kepercayaan untuk mengendalikan media di Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang. Sekalung tahniah kepada Dekan Profesor Dr. Azizul atas kejayaan itu. Kesempatan yang diberikan itu akan memberi para pelajar UiTM pengalaman sebenar dalam penganjuran acara yang tidak ternilai. Hal ini kerana bilangan wartawan yang membuat liputan terhadap Perhimpunan Agung UMNO ratusan jumlahnya dan kerenah mereka pula adalah rencam.

Sebagai penutup, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak di UiTM yang telah memainkan peranan sehingga termeterainya MoU sebentar lagi. Saya juga menghargai sokongan dan dokongan Lembaga Pemegang Amanah dan Majlis Pentadbir MPI kerana senantiasa memberi dorongan untuk pihak sekretariat Institut membina rangkaian dan jaringan dengan institusi yang berminat untuk mengangkat darjat dan kewartawanan Malaysia melampaui bidang latihan yang merupakan fungsi teras MPI. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik mereka. Amin. Sekian. Terima kasih. Wabilahhitaufikwalhidayah wassalamualaikum warohmatullah hiwabarokatuh.

MOU diserahkan