MPI mohon PETRONAS taja HKM untuk tempoh tiga tahun

21 Februari – Malaysian Press Institute (MPI) semalam mengemukakan cadangan kepada PETRONAS untuk pihak syarikat minyak negara itu terus menaja Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS untuk tempoh sekurang-kurang tiga tahun, bermula dengan HKM 2017.

Kertas kerja yang memperincikan cadangan tersebut dikemukakan oleh MPI kepada PETRONAS pada satu mesyuarat yang berlangsung selama satu jam di tingkat 36, Menara Berkembar PETRONAS.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Media PETRONAS Puan Alicia Ahmad Zubeir itu rombongan MPI diketuai oleh Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya. Turut serta ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI, Dr. Mohd Safar Hasim dan Pengurus Kanan MPI, Puan Norlida Jamain.

Di pihak PETRONAS, turut serta ialah Puan Safarina Amrita Alias, Pengurus Jabatan Perhubungan Media; dua eksekutif jabatan tersebut iaitu Encik Auliya Rasyid dan Encik Mohamad Helmi Abd Majid.

Kontrak penajaan HKM yang diperbaharui untuk tempoh tahun ke tahun bermula 2014 oleh PETRONAS berakhir bagi HKM 2016. Pada dasarnya, PETRONAS bersetuju untuk menaja HKM sebanyak RM300,000 dari tahun ke tahun mulai 2014 berikutan kejatuhan harga minyak ke tahap yang rendah yang menjejas pendapatan syarikat minyak negara tersebut.

Bagaimanapun memandangkan harga minyak sudah agak stabil sejak tahun lalu, MPI memohon perjanjian penajaan itu dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun. MPI juga memohon agar kuantum hadiah ditambah.

Dalam pertemuan tersebut Chamil menyatakan harapan besar agar PETRONAS bersedia menimbang permohonan MPI tersebut.

Chamil juga memaklumkan pihak MPI menerima sebanyak 341 penyertaan bagi HKM 2017 yang ditutup pada 15 Januari 2018 berbanding 291 penyertaan bagi HKM 2016.

Karya-karya yang menyertai HKM 2017 kini sedang dinilai oleh satu panel hakim yang diketuai oleh mantan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yoong Soo Heong.

MPI bercadang untuk mengadakan majlis penyampaian HKM 2017 pada Mei disalah sebuah hotel di ibu negara. Tarikh sebenar majlis tersebut akan diputuskan oleh mesyuarat Majlis Pentadbir MPI pada 1 Mac ini.

Puan Alicia berkata pihaknya akan menilai cadangan yang dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak pengurusan atasan PETRONAS. Chamil menzahirkan terima kasih atas kesediaan tersebut.

Menurut Chamil, “dengan penajaan pihak PETRONAS sebanyak RM300,000, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) kekal sebagai anugerah yang menawarkan hadiah yang tertinggi kepada pengamal media di Malaysia”.

Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan sejak tahun 1980 bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik Malaysia memasuki 37 tahun penganjurannya tahun ini.

PETRONAS merupakan penaja utama HKM mulai tahun 1994 bermula dengan nilai tajaan RM70,000 setahun – meningkat kepada RM150,000 pada 1990 dan seterusnya dinaikkan kepada RM300,000 setahun 2009. Kuantum dikekalkan bagi HKM 2014, HKM 2015 dan HKM 2016.

 

Rakaman gambar-gambar

Keterangan gambar:

Kiri : Puan Alicia Ahmad Zubeir, Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Media PETRONAS mempengerusikan mesyuarat

Kanan : Reaksi dan aksi spontan ahli mesyuarat yang sempat dirakamkan sewaktu perbincangan diadakan dalam suasana santai dan mesra

 

 

Keterangan gambar:

Atas dari kiri : Encik Helmi, Dr. Safar, Datuk Dr. Chamil, Puan Alicia, Puan Rita dan Encik Auliya. Turut kelihatan Puan Norlida (bawah, kanan sekali) bergambar kenangan setelah perbincangan selesai,