MPI pelawa wartawan Sarawak, Sabah sertai HKM 2017

KENYATAAN MEDIA MPI

 MPI pelawa wartawan Sarawak, Sabah sertai HKM 2017

Malaysian Press Institute (MPI) mempelawa para wartawan Sarawak dan Sabah untuk menyertai Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2017 yang penyertaannya kini dibuka.

Surat maklumkan perkara tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya telah dihantar kepada para editor media utama di kedua-dua negeri itu minggu lepas.

Bersama surat tersebut turut dikirim ialah buku-buku kewartawanan terbitan MPI iaitu 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai; Terbilang, Potret Tokoh Wartawan Negara dan Perjalananan Lima Dekad MPI.

Buku-buku itu berguna untuk dijadikan panduan oleh para wartawan menghasilkan karya bermutu tinggi yang melayakkan mereka memenangi anugerah.

Pengurus Kanan MPI, Puan Norlida Jamain berkata rayuan khas kepada pengamal media Sarawak dan Sabah untuk menyertai HKM dibuat kerana pihak MPI ingin melihat penyertaan lebih tinggi daripada kedua-dua negeri itu.

“HKM adalah sebuah anugerah nasional, justeru MPI tidak mahu dari segi penyertaan ia hanya didominasi oleh para wartawan yang berkhidmat dengan media yang berpangkalan di Semenanjung seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

“Dan untuk memastikan bahawa para wartawan Sarawak dan Sabah tidak tercicir lagi maka MPI membuat promosi khas bagi HKM 2017,” tegas beliau.

Norlida berharap media Sarawak dan Sabah akan menyahut pelawaan tersebut dan berbondong-bondong menghantar penyertaan masing-masing bagi 20 kategori yang dipertandingkan sebelum tarikh tutup HKM pada 16 Januari 2018.

Secara keseluruhannya, HKM yang diinstitusikan pada 1980 untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia, menawarkan hadiah bernilai RM300,000, tajaan PETRONAS.

Menurut Norlida antara wartawan Sabah dan Sarawak yang pernah memenangi HKM ialah James Sarda, editor Daily Express, Sabah; Puan Lailah Elok (Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Sabah) dan Puan Phyllis Wong (Utusan Borneo, Kuching).

Para wartawan Sarawak dan Sabah yang berminat untuk menyertai HKM bolehlah melayari halaman web MPI iaitu www.mpi.my

 

Dikeluarkan pada :       12 Disember 2017, Selasa