MPI pindah ke Cyberjaya Ogos 2017

Premis baharu Malaysian Press Institute (MPI) di Cyberjaya dijadualkan siap pada Jun atau Julai 2017.

Perkara ini dimaklumkan oleh Encik Mohd Rohan Abd Manap, Penolong Pengurus Besar syarikat hartanah yang membangunkan Pusat Perniagaan Radius, Cyberjaya di mana dua unit ofis yang dibeli oleh MPI itu terletak.

Pada waktu itu, pembinaan pusat perniagaan itu sudah 85% disempurnakan.

“Insya-Allah seawal Jun atau paling lewat Julai 2017 dua unit yang dibeli oleh MPI akan diserahkan, lengkap dengan CF-nya sekali,” kata beliau kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Ahli Majlis Pentadbir MPI yang mengadakan lawatan ke lokasi pada 16 Februari 2017.

Selain Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya turut serta dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha merangkap Bendahari MPI, Datuk Mustapa Omar yang juga pengarang kumpulan Harian Metro/Metro Ahad; Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Yong Soo Heong dan Dr. Mohd Safar Hasim; Ahli Majlis Pentadbir, Datuk Zakaria yang juga Ketua Pengarang Bernama.

Dalam lawatan sejam itu, mereka telah meninjau di sekitar Radius yang terletak bersebelahan dengan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Chamil memberitahu, sebaik sahaja premis baharu MPI diserahkan oleh pihak pemaju, sekretariat MPI yang sekarang beroperasi di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Bukit Ledang, akan berpindah ke Cyberjaya.

“Jika premis MPI itu diserahkan pada Jun atau Julai, insya-Allah, MPI akan berpindah ke rumah baharunya sebulan kemudian. Ini kerana kerajaan telah memberi notis untuk MPI mengosongkan kuarters yang disewanya itu pada penghujung Februari. Bagaimanapun kami merayu supaya kami dibenarkan beroperasi di sana sehingga premis baru MPI siap,” kata Chamil.

Kuarters kerajaan di mana MPI beroperasi sekarang, serta sebilangan kuarters yang lain bersekitaran MPI sedang dalam proses penjualan oleh Kementerian Kewangan. Penjualan itu membabitkan kawasan seluas 9.8 ekar dengan harga tawaran RM290 juta.

Berikutan keputusan kerajaan itu, pihak MPI membuat keputusan untuk membeli dua unit ruang pejabat seluas 3,400 kaki pesegi pada harga RM1.8 juta di Pusat Perniagaan Radius, Cyberjaya, untuk dijadikan premis kekal beroperasi.

Cyberjaya dipilih sebagai lokasi baharu pejabat MPI kerana kedudukan Cyberjaya yang strategik dan berhampiran dengan enam buah pusat pengajian bertaraf universiti dan universiti kolej.

Selain UIM, institusi pengajian tinggi lain di Cyberjaya ialah Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS), Multimedia University dan Lim Kok Wing University.

Cyberjaya dibangunkan oleh Setia Haruman Sdn Bhd 20 tahun yang lalu. Ia kini dihuni oleh kira-kira 100,000 orang. Penduduknya disasarkan ditingkatkan kepada 500,000 pada 2035.

Selepas mengadakan lawatan, pegawai-pegawai MPI itu diraikan pada majlis makan tengah hari oleh Pengerusi Eksekutif Emkay, Tuan Haji Ahmad Khalif Tan Sri Mustapa Kamal di Cyberview Resort & Spa The Lodge, Cyberjaya.

Mereka juga telah diberi taklimat ringkas mengenai pembangunan Cyberjaya sejak 20 tahun lalu serta rancangan masa depan yang sedang rancak dilaksanakan oleh pihak pemaju.


Rakaman Gambar-Gambar:


Cyberjaya 011. Gambar dari luar ofis baharu MPI


Cyberjaya 022. Keadaan di dalam ruangan ofis MPI yang telah siap 85%


Cyberjaya 033. Encik Rohan (tengah, berkemeja putih) memberikan taklimat kepada rombongan MPI


Cyberjaya 044. Encik Wan Syarizman Wan Jaafar (kanan sekali), Pengurus Jualan Kumpulan EMKAY turut membantu memberi penjelasan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI


Cyberjaya 055. Encik Rohan menerangkan secara terperinci projek pembangunan EMKAY


Cyberjaya 066. Bergambar kenangan selepas selesai tinjauan premis baharu MPI.


Cyberjaya 077. MPI – EMKAY bergambar kenangan selepas perbincangan santai bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tuan Haji Ahmad Khalif (tengah, berkemeja biru).


Turut kelihatan dari kiri : Puan Norlida Jamain, Pengurus Kanan Operasi dan Korporat MPI; Datuk Zakaria Abd Wahab, Ahli Majlis Pentadbir MPI/ Ketua Pengarang BERNAMA; Datuk Yong Soo Heong, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI; Datuk Mustapa Omar, Setiausaha Bendahari MPI/ Pengarang Kumpulan Harian Metro dan Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI.


Encik Foo Tick Fat, Ahli Majlis Pentadbir MPI/Pengarang Bersekutu Nanyang Siang Pau; Encik Mohd Rohan Abd Manaf, Penolong Pengurus Besar EMKAY; Encik Munshi Ismail, Pengurus Kewangan EMKAY; Encik WanSyarizman Wan Jaafar, Pengurus Jualan Kumpulan EMKAY dan Puan Siti Mariam Mohd Desa, Ketua Bahagian Strategi Komunikasi Setia Haruman.