ANUGERAH
MPI raikan penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022

MPI raikan penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022

Petikan artikel asal : https://voamedia.home.blog/2022/06/02/mpi-raikan-penyumbang-malam-wartawan-malaysia-2022/

Ucapan alu-aluan Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2022 (MWM 2022), Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis meraikan penaja dan penyumbang MWM 2022 di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur, jam 1130 pagi pada 2 Jun 2022

PENGENALAN

Bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI) izinkan saya mengucapkan selamat datang ke majlis penyerahan sumbangan bagi penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2022 dan penajaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2021. Insya-Allah MWM 2022 akan berlangsung di Hotel Shangri-la ini pada 24 Jun depan.

Terima kasih kerana dalam kesibukan tugas, anda semua dapat meluangkan waktu untuk memeriahkan majlis tahunan anjuran MPI ini.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua majlis anjuran MPI  pada pagi ini dapat diadakan setelah kita berada pada era transisi endemik yang membolehkan kita menempatkan lapan tetamu pada satu meja. Kelonggaran diberi, tetapi kita kekal mematuhi SOP tertentu sewaktu berada dalam kawasan tertutup.

Insya-Allah setelah kita berada pada era endemik sepenuhnya, penganjuran boleh dilangsungkan seperti sebelum pandemik Covid-19 tercetus lebih dua tahun yang lalu.

Walaupun bulan Syawal telah berlalu dua hari, saya ingin mengambil kesempatan secara belated atau terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

TERIMA KASIH ATAS SUMBANGAN DAN TAJAAN

Saya difahamkan hari ini seramai 91 orang tetamu mewakili 31 organisasi korporat dan agensi kerajaan hadir untuk menyerahkan sumbangan masing-masing sebentar lagi.

Alhamdulilah bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2022, MPI telah menerima sumbangan bernilai RM394,500 pada keseluruhannya, selain RM300,000 tajaan yang kami terima dari PETRONAS selaku penaja hadiah wang tunai kepada para pemenang HKM MPI PETRONAS sejak tahun 1994.

Sumbangan-sumbangan yang MPI terima itu ada yang dalam bentuk pembelian meja bernilai RM10,000 dan RM7,500 oleh sebanyak 27 organisasi dan bukan pembelian meja dalam bentuk sumbangan kewangan, sebahagian besarnya oleh sebilangan kerajaan negeri.

Antara kerajaan negeri yang menghulurkan sumbangan ialah Menteri Besar Negeri Johor Darul Takzim, sebanyak RM20,000; Menteri Besar Terengganu Darul Iman RM10,000; Ketua Menteri Pulau Pinang, RM7,500; Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, RM3,000.

Empat buah organisasi – Tenaga Nasional Berhad (TNB), DRB HICOM Berhad, EXIM Bank Berhad dan Putrajaya Holdings Berhad, masing-masing mengekalkan penajaan bernilai RM20,000 manakala Tourism Malaysia pula sebanyak RM15,000.

Lapan organisasi media juga turut tampil menghulurkan sumbangan masing-masing, menjadikan jumlah entiti korporat, agensi kerajaan dan media yang mendokong Malam Wartawan Malaysia sebanyak 45 organsasi.

Apa yang membanggakan kami di MPI, jumlah penaja dan penyumbang meningkat tahun demi tahun.

Bagi saya ini membayangkan bahawa Malam Wartawan Malaysia kekal sebagai satu produk MPI yang diberi sokongan amat memberangsangkan dalam kalangan warga korporat dan agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri.

Dengan kata lain, anda semua ingin turut sama mengiktiraf karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh para wartawan tahun demi tahun.

Malah mengikut rekod MPI, sebanyak empat organisasi telah menghulurkan tajaan dan sumbangan selama 10 tahun berturut-turut iaitu Ambank Malaysia Berhad, Exim Bank (M) Berhad), SME Bank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dua organisasi pula telah menjadi penaja dan penyumbang selama tujuh tahun berturut iaitu Berjaya Corporation Berhad dan Prasarana Malaysia Berhad dan boleh dikatakan hampir seratus peratus penyumbang yang hadir pada pagi ini telah menyumbang dan menaja Malam Wartawan Malaysia selama lima tahun berturut.

Syabas saya ucapan kepada anda dan organisasi anda semua.

Ini adalah satu rekod dan MPI berharap anda semua kekal menaja Malam Wartawan Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Tentunya berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada semua atas sumbangan dan tajaan yang telah dihulurkan.  

Setiap sen yang disumbangkan amat bernilai kepada kami di MPI dan amat kami hargai dan akan digunakan untuk menjayakan satu majlis yang bertujuan untuk mengiktiraf kerja-kerja terbaik dalam dunia kewartawanan – di alam nyata dan di alam maya sesuai dengan landskap baharu media di negara ini.

Senarai lengkap penyumbang dan penaja serta kuantum tajaan masing-masing akan diumumkan sebentar tadi apabila mereka dipanggil untuk naik ke pentas untuk menyerahkan cek replika masing-masing.

Sekali lagi terima kasih semua.

TAJAAN PETRONAS

Seperti yang kita tahu, Malam Wartawan Malaysia, adalah program tahunan anjuran MPI yang pertama kali kita adakan pada 16 September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia yang mula diperkenalkan pada tahun 1980 iaitu 42 tahun yang lalu.

MPI bertuah kerana telah menganjurkan program tahunan ini secara berterusan selama lebih empat dekad.

Sekiranya penganjuran Malam Wartawan Malaysia dijayakan secara pembelian meja dan sumbangan ikhlas oleh badan korporat dan agensi kerajaan, Hadiah Kewartawanan Malaysia pula ditaja oleh Malayan Tobacco Company (MTC), antara 1980 hingga 1993 dan mulai 1994 hingga sekarang, penaja tunggal HKM adalah Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS.

Kuantum tajaan PETRONAS pada mulanya adalah sebanyak RM70,000 setahun, pada 2005 dinaikkan menjadi RM100,000 dan pada 2009 hingga sekarang jumlahnya menjadi RM300,000 setahun, membolehkan para pemenang 17 kategori HKM menerima ganjaran yang lumayan.

Terima kasih PETRONAS, yang pada majlis pagi ini diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategiknya, Datin Anita Azrina binti A. Aziz atas tajaan berterusan syarikat haidro karbon negara itu.

HKM 2021

Izinkan saya menyentuh serba ringkas mengenai penyertaan HKM MPI PETRONAS 2021 yang para pemenang bagi 17 kategori yang dipertandingkan akan diumumkan pada Malam Wartawan Malaysia 2022 pada 24 Jun nanti.

Secara keseluruhannya, pihak urus setia telah menerima 350 penyertaan bagi HKM 2021. Bagi HKM 2020, 228 peserta telah mengambil bahagian. Hal ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 122 penyertaan atau 35% peratus bagi HKM tahun 2021, berbanding 2020. Alhamdulilah

Dari segi organisasi media pula, sebanyak 43 pertubuhan berita telah mengemukakan penyertaan masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Apa-apa yang menarik adalah penyertaan untuk HKM itu sejak lima tahun kebelakangan ini menggambarkan landskap baharu media dan kewartawanan di negara ini.

Penyertaan HKM tidak lagi dimonopoli oleh media lama atau media legasi, tetapi turut disaingi oleh media di dalam maya.

Jangan terkejut kalau ada antara media di alam maya itu membolot sebahagian besar hadiah wang tunai yang ditawarkan baik Hadiah Emas, yang menawarkan hadiah RM10,000, Hadiah Perak RM1500 dan Hadiah Gangsa RM1000.

Pecahan penyertaan adalah seperti berikut:

Perbandingan bilangan penyertaan HKM 2021 & 2020

Kategori20212020↑ / ↓+ / –%
A. Muda1912758.33
B. Berita33211257.14
C. Siasat127571.43
D. Rencana38231565.22
E. Kolum2113861.54
F. Alam Sekitar23131076.92
G. Multimedia65120.00
H. Single Foto4639717.95
I. Foto Esei2418633.33
J. Berita Video57302790.00
K. Doku Video2415960.00
L. Infografik121200.00
M. Desain9900.00
N. Radio24816200.00
Anugerah Khas21-10.00
Tokoh Wartawan Negara02-20.00
Tokoh Media Negara0000.00
35022812234.86%

PENUTUP

Sebelum saya berundur, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan mendalam dan tulus ikhlas MPI kepada semua penyumbang dan penaja Malam Wartawan Malaysia 2022, baik yang hadir pada hari ini dan yang juga kepada yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.

Terima kasih dipanjangkan kepada PETRONAS atas penajaan HKM yang sudah memasukki tahun ke-28.

Saya juga menzahirkan kepada rakan-rakan media yang memberi publisiti kepada kegiatan-kegiatan MPI selama ini.

Budi baik anda akan kami catat dalam tinta emas sejarah MPI buat selama-lamanya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik anda.

Terima kasih.