MPI realisasikan kursus ‘customised’ untuk Boustead Holdings
Kursus ‘customised’, pertama kali mengenai keberkesanan komunikasi melalui analisis data, telah direalisasikan oleh Malaysian Press Insititute (MPI) mengikut keperluan dan kehendak syarikat Boustead Holdings bertempat di Royale Chulan Penang pada 1-2 November lalu. Seramai 19 peserta terdiri daripada pegawai komunikasi dan pengurusan syarikat tersebut menyertainya yang bertemakan “Data-driven: Unlocking the Power of Digitalisation for Effective Communication”.
Rata-rata peserta berpendapat kursus intensif dua hari ini berjaya mendekatkan mereka kepada teknologi yang digunakan dalam analisis data yang boleh dimanfaatkan oleh ketua-ketua komunikasi untuk mencipta pelan komunikasi yang lebih berkesan. Pelbagai alatan kecerdasan buatan (AI) yang diajar, contohnya Brand24, Google Alerts dan BuzzSumo membentuk kemahiran peserta menganalisis pendapat khalayak tentang sesuatu produk dan reputasi syarikat mereka. Teknik yang dinamakan analisis sentimen ini membantu para peserta menilai pendapat khalayak terutama di platform media sosial di mana hasil daripada analisis ini dapat pula membantu syarikat dalam membina, memelihara dan memulih imej syarikat.
Selain itu, para peserta yang datang dari pelbagai anak syarikat di bawah Boustead turut teruja memberi kerjasama dan berkongsi idea dan pengetahuan dalam aktiviti berkumpulan yang mencabar mereka membangunkan komunikasi yang lebih proaktif. Para peserta turut mengakui, keberkesanan kursus ini ditambah dengan faktor latar belakang penceramah yang berpengalaman luas sebagai wartawan dan editor media digital sebelum ini dan diterjemahkan dengan baik melalui perkongsiannya yang relevan dengan kehendak dan keperluan komunikasi korporat masa kini.
Encik Munir Anaam, satu-satunya penceramah dan pengajar kursus ini, adalah mantan Pengarang Berita di Harian Metro sebelum ditukarkan mengetuai unit Media Baharu, akhbar yang sama pada 2009. Sebagai perintis dalam bidang digital, beliau menghadapi kesukaran pada mulanya sehinggalah lama-kelamaan, selok-belok penerbitan digital dan semua jargon IT menjadi biasa dan beliau berjaya mencipta strategi kandungan digital untuk laman web dan media sosial Harian Metro. Beliau mengendalikan penerbitan digital selama lebih 10 tahun sebelum berhenti pada Julai 2020 dengan jawatan terakhir sebagai Ketua, Digital & Multimedia (Editorial) untuk The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP). Beliau kini bergerak bebas dan merupakan seorang pengajar bertauliah di bawah HRD Corp dan penganalisa digital yang pakar dalam Kewartawanan Data, PR Digital dan Penulisan Kandungan SEO.
RAKAMAN FOTO KURSUS: