MPI sambut 2017 dengan terbitkan buku isu-isu kewartawanan

Malaysian Press Institute (MPI) menyambut kedatangan tahun baharu 2017 dengan menerbitkan sebuah buku membicarakan isu-isu kontemporari berkaitan kewartawanan dan media.

            Buku berjudul Isu Semasa Kewartawanan & Media Krisis dan Strategi itu memuatkan koleksi esei yang telah dihasilkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya atas kapasiti beliau sebagai Penyelidik Kunjungan PascaDoktorial di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang antara September 2015 hingga Ogos 2016.

            Buku setebal 328 halaman, berkulit keras tersebut dijual pada harga RM60. Ia akan diedarkan dikedai-kedai buku utama dalam masa yang terdekat. Bagaimanapun pembelian terus daripada MPI boleh dilakukan sekarang pada harga diskaun 30 peratus.

krisisdanstrategi

Sebilangan karangan pula adalah makalah beliau yang telah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat (DM), sebuah majalah bulanan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka antara 2014 hingga 2016. Chamil merupakan kolumnis Koridor Minda majalah tersebut.

dm-feb2016-progberitatv

Selebihnya adalah sedutan kertas kerja yang beliau bentangkan pada seminar dan bengkel anjuran beberapa universiti awam, antaranya termasuk anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM) sepanjang 2016.

Penulisan karangan bertemakan  kewartawanan dan media ini turut dipengaruhi oleh dua faktor lain. Pertama, latar belakang Chamil sebagai wartawan selama 36 tahun, antara pertengahan 1971 hingga penghujung 2007, bermula sebagai pemberita dengan akhbar Utusan Melayu, Utusan Malaysia, Suara Rakyat, majalah bulanan Sarina, Suara Merdeka, Bahagian Melayu Perkhidmatan Luar Negara British Broadcasting Corporation (BBC) di London, dan sebagai peneraju Divisyen Berita dan Ehwal Semasa Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau TV3.

Kedua, kedudukan Chamil sebagai Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) antara 2008 hingga sekarang turut mendekatkan Chamil dengan isu-isu semasa yang dihadapi oleh dunia media negara ini.

Dengan terbitnya buku ini diharapkan para peminat bidang kewartawanan dan media terutamanya dalam kalangan pelajar yang mengikuti pengajian kewartawanan, media dan komunikasi di pusat-pusat pengajian tinggi tempatan – awam dan swasta – akan berpeluang untuk memahami bidang yang mereka pelajari secara lebih baik.

Hal ini dikatakan demikian kerana tulisan-tulisan yang dipaparkan dalam buku ini digarap dengan mengambil kira dua perspektif. Pertama, dari segi teori. Di mana boleh teori-teori yang berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi (seperti penetapan agenda, pembingkaian) telah diselitkan dalam setiap makalah.

Kedua, dari perspektif seorang pengamal kewartawanan mengenai profesyen kewartawanan itu juga terpancar dalam tulisan-tulisan tersebut. Semoga buku ini memberi manfaat kepada mereka khususnya dan khalayak lebih besar pada umumnya.