MPI sokong penubuhan Majlis Media Malaysia, tapi mansuh dulu akta yang mengongkong
Kenyataan yang dizahirkan dan diedarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr. Chamil Wariya pada Rundingan Majlis Media Malaysia di Bilik Mesyuarat Aras 37, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Putrajaya pada jam 9.30 pagi pada 21 Jun 2019.
Pertama-tama bagi pihak MPI saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) atas undangan yang dipanjangkan kepada MPI serta kumpulan-kumpulan lain yang hadir mewakili industri media dan kewartawanan negara untuk satu pertemuan yang dipanggil sebagai Rundingan Majlis Media Malaysia pada pagi ini.
Pertemuan ini adalah testimoni jelas kesungguhan Kerajaan Pakatan Harapan mahu melaksanakan Janji 27 Buku Harapan untuk menubuhkan “sebuah Majlis Media (Media Council) yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, yang akan dipertanggungjawabkan menyelaraskan garis panduan etika pelaporan dan bertindak sebagai badan hisbah dalam menangani aduan orang ramai tentang media.” Lihat halaman 78 Buku Harapan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo sendiri setelah dilantik menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, berulang kali menyatakan “kebebasan media adalah aspek utama yang akan dilakukan oleh KKMM.”
Syabas dan tahniah kepada KKMM dan Menterinya kerana bersungguh-sungguh ingin mewujudkan iklim kebebasan media di negara ini yang tidak wujud sebelum ini. Selari dengan itu, saya difahamkan tidak ada lagi wahyu dikeluarkan oleh Pajabat Perdana Menteri atau menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan kepada para peneraju editorial baik di alam maya atau alam nyata mengenai apa yang boleh dan tidak boleh untuk media masing-masing laporkan atau terbitkan.
Sesungguhnya angin segar baharu kebebasan media sedang bertiup sekarang ini.
Hasilnya kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar organisasi Reporters Without Borders di Paris bagi tahun 2019 melonjak sebanyak 22 anak tangga daripada 145 (daripada 180 buah negara) pada 2018 kepada 123 pada 2019.
Tidak syak lagi dalam upaya untuk menjamin kebebasan media, meningkatkan profesionalisme kewartawanan itu jugalah yang telah membawa kepada hasrat untuk Majlis Media Malaysia ini, yang pertama kali disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1974.
Pada peringkat awal ini, saya ingin menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi yang secara langsung terbabit dalam bidang latihan kewartawanan, MPI menyokong penubuhan Majlis Media Malaysia ini.
Untuk pengetahuan semua, MPI telah terlibat secara langsung dalam mengusahakan apa yang saya panggil sebagai “Jagawan Estet Keempat” sejak 1974 hinggalah sekarang. Malah pada tahun 2001, MPI, juga atas permintaan Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) telah dipertanggungjawabkan untuk memperincikan penubuhan sebuah majlis media tersebut.
Hasilnya satu laporan telah disediakan, lengkap dengan cadangan sebuah akta, etika kewartawanan yang saya edarkan pada pagi ini.
Tetapi usaha itu tidak menjadi kenyataan atas dua sebab: pertama, kerajaan terdahulu belum lagi bersedia untuk memenuhi prasyarat para editor supaya undang-undang yang mengongkong kebebasan media dimansuhkan terlebih dahulu bagi merintis penubuhan majlis itu; dan kedua kerajaan sebelum ini enggan menubuhkan Majlis Media Malaysia menerusi akta Parlimen.
Sekalipun telah hampir 20 tahun berlalu, dan landskap media di Malaysia telah mengalami perubahan yang amat radikal, kami di MPI berpendapat intipati dan sentimen dalam cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan buat pertama kalinya pada tahun 2001, dan beberapa kali selepas itu, masih kekal relevan.
MPI berpendapat bahawa Majlis Media yang ingin ditubuhkan nanti, apa juga nama yang diberi kepadanya, hendaklah diberi legitimasi perundangan. Dengan kata lain entiti itu hendaklah diinstitusikan melalui sebuah akta Parlimen. Baharulah Majlis Media Malaysia itu akan dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan. Majlis Media yang tidak ditunjangi penubuhannya oleh Akta Parlimen tidak akan berkesan. Ia akan menjadi institusi yang tidak bertaring.
Setelah penubuhannya, Majlis Media Malaysia itu hendaklah dikendalikan secara kawalan kendiri atau self-regulatory oleh industri media dan kewartawanan itu sendiri, tanpa sebarang campur tangan politik atau kerajaan. Wang negara juga hendaklah disalurkan untuk membiayai entiti tersebut, selain pihak majlis yang bebas itu diizinkan untuk mengumpul dana sendiri bagi membiayai kegiatan-kegiatan hariannya.
Sebagai prasyarat kepada penubuhan Majlis Media Malaysia itu kerajaan juga mestilah bersedia untuk memansuhkan sebilangan akta sedia ada yang kewujudannya dilihat mengongkong kebebasan media. Berkaitan dengan kebebasan media, antara lain seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan, kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Janji-janji ini mestilah dilaksanakan.
Selain itu, kami berpendapat Akta Rahsia Rasmi yang digeruni oleh para editor dan wartawan hendaklah dipertimbangkan untuk dimansuhkan bagi membolehkan pengamal media mendapat akses yang lebih luas dan mudah terhadap maklumat-maklumat utama berkaitan kepentingan awam.
MPI juga berpendapat Kerajaan Pakatan Harapan hendaklah juga memperkenalkan Freedom of Information Act serta Shield Act bagi pengamal media melindungi sumber maklumat mereka sebagai tambahan kepada pemansuhan undang-undang yang mengongkong setelah penubuhan Majlis Media Malaysia.
Sekiranya boleh kebebasan media hendaklah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan menyamai apa yang dipanggil sebagai First Amendment di Amerika Syarikat itu. Dengan itu baharulah kebebasan media sebenar dapat diwujudkan di negara ini dan para pengamal media tanpa gentar dan takut berupaya memainkan peranan sebagai jagawan estet keempat untuk mengimbangi dan memeriksa tiga kuasa negara yang lain iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari.
Selain itu, MPI juga berpendapat Janji 27 Buku Harapan untuk meningkatkan “kebebasan dan profesionalisme entiti seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM)” hendaklah disegerakan. Bagi membolehkan RTM menjadi sebuah organisasi media milik negara yang bebas daripada pengaruh parti-parti politik yang memerintah, status RTM sebagai sebuah jabatan kerajaan yang dikenali dengan nama Jabatan Penyiaran Malaysia hendaklah diubah menjadi sebuah badan penyiaran awam menyerupai British Broadcasting Corporation (BBC) di United Kingdom, Australia Broadcasting Corporation (ABC) di Australia atau NHK di Jepun.
Akhirnya, sekali lagi tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana serius mahu menubuhkan sebuah Majlis Media Malaysia, memansuhkan akta-akta berkaitan media yang secara langsung atau tidak langsung mengongkong dan menyekat kebebasan media, selain kesediaannya untuk menimbang bagi memperkenalkan kerangka undang-undang baharu bagi menjamin kebebasan media di negara ini.
Kita sekarang berpeluang untuk bergerak ke hadapan untuk mewujudkan iklim kebebasan media yang didambakan oleh pengamal media sejak sekian lama di negara ini. Peluang ini jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Kalau terlepas, kesempatan itu mungkin tidak akan datang lagi!