MPI release
MPI SOKONG PENUBUHAN YAYASAN KEBAJIKAN WARTAWAN/PENGAMAL MEDIA

MPI SOKONG PENUBUHAN YAYASAN KEBAJIKAN WARTAWAN/PENGAMAL MEDIA

KENYATAAN MEDIA

9 Mac , Cyberjaya – Malaysian Press Institute (MPI) mengalu-alukan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diumumkan oleh Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menterinya bagi menubuhkan sebuah Yayasan bertujuan untuk menjaga kebajikan wartawan/pengamal media negara ini terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya “penubuhan ini perlu disegerakan kerana menurut NUJ, sejak 2 hingga 3 tahun yang lalu, seramai 3000 pengamal media hilang pekerjaan akibat gangguan digital dan pandemik Covid-19”.

Beliau juga meminta Kerajaan memberikan peruntukan secukupnya bagi memastikan Yayasan ini berfungsi dengan lebih berkesan.

Selain daripada penubuhan Yayasan tersebut, MPI juga memohon Kerajaan untuk menyediakan pakej rangsangan bagi membantu organisasi media yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Ini penting kerana jika tidak dibantu lebih ramai lagi pengamal media akan kehilangan pekerjaan malah ada  entiti media terpaksa menghentikan operasinya.

MPI turut mencadangkan pakej rangsangan tersebut boleh berbentuk pengurangan cukai korporat, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap produk media dan pembelian ruang iklan secara agresif oleh Kerajaan untuk menyebarkan mesej-mesej kepada khalayak menerusi media.

Pakej rangsangan ini penting untuk mempastikan media di negara ini kekal sihat dari segi ekonomi dan kewangan bagi membolehkan mereka memainkan peranan sebagai penyedia maklumat yang sahih dalam memerangi berita-berita palsu.

MPI juga menyokong cadangan Kelab Akhbar Kebangsaan yang mencadangkan supaya pengamal media diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 kerana terdedah kepada risiko jangkitan.

Dikeluarkan pada: 10 Mac 2021