MPI sumbang buku kewartawanan kepada perpustakaan negeri dan universiti awam

Malaysian Press Institute (MPI) menyumbang buku-buku kewartawanan terbitannya bernilai RM30,000 kepada perpustakaan-perpustakaan negeri dan universiti awam sebagai bahan bacaan tambahan dan rujukan khususnya untuk kalangan yang berminat dengan kewartawanan, media dan komunikasi.

Buku-buku tersebut ialah:

  1. Isu-isu semasa kewartawanan dan media: Krisis dan Strategi
  2. Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik
  3. Terbilang: Potret Tokoh Wartawan Negara
  4. Perjalanan Lima Dekad Malaysian Press Institute
  5. Bibliografi Kewartawanan Chamil Wariya

Bagi perpustakaan-perpustakaan negeri, sumbangan bagi setiap judul adalah tiga naskah; manakala  perpustakaan universiti awam,  masing-masing menerima dua naskah bagi setiap judul.

Sumbangan kepada perpustakaan-perpustakaan negeri disalurkan menerusi pengarah perpustakaan negeri masing-masing manakala kepada universiti awam sumbangan dihantar kepada dekan fakulti/pusat pengajian komunikasi, media dan kewartawanan.

Penolong Pengurus Kewangan dan Pentadbiran MPI, Yusof Saharin berkata, sumbangan buku-buku tersebut adalah program tanggungjawab korporat MPI untuk menyebarluaskan buku-buku berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi dengan masyarakat dan para peminat buku tanah air.

“Kami percaya dengan menempatkan buku-buku MPI di negeri-negeri dan di perpustakaan universiti awam, kalangan yang berminat untuk mendalami perkembangan semasa mengenai dunia kewartawanan akan mendapat pendedahan yang amat berguna.

“Buku-buku tersebut juga berguna dijadikan rujukan para pelajar khususnya mereka yang menjadikan bidang kewartawanan, media dan komunikasi sebagai disiplin semasa belajar di universiti,” tegas Yusof.

MPI ialah sebuah yayasan yang menyediakan latihan kewartawanan kepada para wartawan, mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan menerusi pelbagai anugerah (antaranya Hadiah Kewartawanan Malaysia, selain menerbitkan buku-buku dalam upaya untuk memperkayakan khazanah kewartawanan di negara ini.

MPI diumumkan penubuhannya pada 28 September 1966 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman dengan nama South East Asia Press Centre sebelum namanya ditukar kepada MPI pada 1974 dan buku Perjalanan Lima Dekad Malaysian Press Institute adalah rakaman perjalanan yang telah dilalui oleh MPI selama 50 tahun Antara 1966 hingga 2016.

Buku-buku tersebut juga boleh dibeli dikedai-kedai buku utama di seluruh negara.

P_20170216_112157_SRES

Penolong Pengurus Kewangan dan Pentadbiran MPI, Yusof Saharin dan Puan Nur Ramizah Abdul Aziz, Setiausaha Pentadbiran menunjukkan buku-buku kewartawanan terbitan MPI yang disumbangkan kepada perpustakaan-perpustakaan negeri dan universiti awam di bilik mesyuarat MPI di Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur.