MPI terbit dua buku baharu karangan Chamil Wariya

Sempena penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2015 di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2015, Malaysian Press Institute (MPI) telah melancarkan dua buku baharu terbitannya karangan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Buku pertama yang merakamkan perjalanan 50 tahun pertama MPI yang diinstitusikan sebagai South East Asia Press Centre (SEAPC) pada 1966 dengan judul MPI Lima Dekad Pertama dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Buku kedua berjudul Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik yang diadaptasi dari tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dikemukakan Datuk Dr. Chamil Wariya kepada Universiti Sains Malaysia (USM) pada penghujung 2014 dilancarkan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Osman yang turut hadir pada majlis itu.

Pelancaran serentak kedua-dua buku itu disempurnakan sebaik sahaja Dato’ Sri Ahmad Shabery, selaku tetamu kehormat yang hadir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2014, selesaikan menyampaikan ucapannya.

Sebelum itu, Datuk Dr. Chamil selaku pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2015, menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai sambutan kedatangan para tetamu yang hadir.

1. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek sedang menyampaikan ucapan di Malam Wartawan Malaysia 2015 pada 8 Jun 2015 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

2. Datuk Dr. Chamil Wariya, selaku pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2015 menyampaikan ucapan alu-aluan.

3. Datuk Seri Ahmad Shabery (kanan) melancarkan buku pertama Datuk Dr. Chamil Wariya iaitu MPI Perjalanan Lima Dekad Pertama. Buku yang merakamkan perjalanan MPI yang ditubuhkan pada 1966 dengan nama South East Asia Press Centre ini sedang dalam proses penerbitan.

4. Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Omar Osman (kanan)  melancarkan buku Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik, karya yang diadaptasi dari tesis PhD yang dikemukakan oleh Datuk Dr. Chamil Wariya kepada USM pada penghujung 2014.

5. Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri), Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek (tengah) dan Profesor Datuk Dr. Omar Osman meneliti buku Strategi Pemujukan Najib Razak selepas majlis pelancaran.

Pelancaran kedua-dua buku disaksikan oleh hampir 900 orang tetamu yang hadir bagi memeriahkan Malam Wartawan Malaysia edisi ke-35 itu. Malam Wartawan Malaysia pertama kali diadakan pada 16 September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para penerima Hadiah Kewartawanan Malaysia 1980.

Selain Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Profesor Datuk Dr. Omar Osman, tetamu yang duduk di meja utama pada Malam Wartawan Malaysia adalah ketua-ketua pengarang media arus perdana Malaysia.

Antara yang hadir termasuklah Naib Presiden Kanan Huluan Petronas Malaysia, Datuk Anuar Taib, mewakili syarikat minyak nasional selaku penaja HKM MPI-PETRONAS sejak 1994; Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press, Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Wahab; Ketua Pengarang Daily Express, James Sarda; Ketua Pengarang akhbar The Star, Leanne Goh; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Abu Bakar Rahim; Ketua Pengarang Eksekutif, Sin Chew Daily, Kuik; Ketua Pengarang Makal Osai, Rajan dan Pengerusi Panel Hakim HKM MPI-PETRONAS 2014, Profesor Dr. Mohd Safar Hasim.

6. Antara tetamu yang hadir pada Malam Wartawan Malaysia 2015 dari kanan:Datuk Anuar Taib (PETRONAS) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Jalil Hamid (bersalaman dengan  Datuk Seri Ahmad Shabery), Datuk Dr. Chamil dan Profesor Datuk Dr. Omar Osman.

7. Tetamu di meja utama sedang khusyuk mendengar ucapan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada majlis itu 26 orang wartawan telah menerima hadiah masing-masing yang secara keseluruhan bernilai RM300,000.00 tajaan PETRONAS daripada Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Mengiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia sewaktu penyampaian hadiah ialah Datuk Anuar Taib dan Datuk Dr. Chamil Wariya.