MPI TERUSKAN SIRI KUNJUNGAN HORMAT KE THE CHINA PRESS BERHAD
5 Sept, Kuala Lumpur — Malaysian Press Institute (MPI) meneruskan siri kunjungan hormatnya dengan lawatan ke ibu pejabat The China Press Berhad yang terletak di Jalan Riong, Kuala Lumpur. Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong, bersama Timbalan Presiden Cik Farrah Naz Karim dan Ahli Majlis Pentadbir Encik Choo Joon Kian.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Yong menekankan komitmen MPI untuk memenuhi keperluan latihan bagi pengamal media berbahasa Mandarin, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), media sosial dan penulisan. Usaha ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam landskap media negara, tetapi juga sebagai langkah proaktif untuk memperkasakan kewartawanan media berbahasa Mandarin dalam menghadapi cabaran era digital.
Timbalan Presiden MPI, Farrah Naz turut menggalakkan penyertaan aktif The China Press untuk menyertai pelbagai anugerah media anjuran MPI seperti Hadiah Kewartawanan Malaysia dan lain-lain anugerah. Menurutnya, “kekangan utama dalam menterjemah karya asal ke dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu boleh diatasi dengan bantuan teknologi AI yang semakin canggih. Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses penterjemahan malah mampu menjamin ketepatan bahasa dan kandungan”.
The China Press, salah satu akhbar yang paling dipercayai di Malaysia terus mengekalkan reputasi cemerlangnya dalam industri penerbitan dengan sejarah lebih 70 tahun.
Akhbar ini mengekalkan kedudukan sebagai tiga akhbar utama berbahasa Mandarin di Malaysia melalui kombinasi liputan yang luas termasuk tumpuan kepada laporan antarabangsa khususnya dari China, Taiwan dan Hong Kong. Melalui pendekatan inovatif mereka melalui edisi digital menjadikan akhbar ini kekal relevan dan menarik perhatian pembaca moden.