MPI – UNISEL intai peluang kolaborasi
11 Mac, Cyberjaya – Semalam berlangsungnya perjumpaan kedua antara wakil MPI dan Jabatan Komunikasi (BOJ) , Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran UNISEL dalam membincangkan maklumbalas yang telah diberikan MPI kepada UNISEL hasil pertemuan pertama pada 27 Januari lalu.
Hasil maklumbalas MPI itu dibincangkan dan diperhalusi bersama pada pertemuan yang berlangsung selama satu jam setengah.
Pertemuan dan perbincangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik, Pendidikan dan Jaringan Industri juga PPC Kluster BOJ, Prof. Dr. Md. Sidin bin Ahmad Ishak. Hadir bersama Dekan Jabatan Komunikasi Ts Dr. Wan Azlan; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) Ts. Latifah Abdul Latib; Cik Munirah Ilias, Ketua Jabatan Komunikasi, Cik Dewi Dermawan, Penyelaras Program BOJ, Encik Ismail Hashim, Penyelaras Program (Sarjana Strategik Komunikasi dan Rekabentuk Digital) dan Puan Azira Azlin Shaharuddin, Pensyarah Jabatan Komunikasi.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Chamil Wariya bersama Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar dan Puan Norhafiza Kamaluddin, Pengurus Kanan Latihan hadir pada pertemuan tersebut.
Hasil pertemuan tersebut, enam perkara yang dipersetujui adalah:
- BOJ mensasarkan dan mewajibkan 50 orang pelajar yang mengikuti kursus/ subjek yang ditetapkan mengikuti Sijil Professional MPI iaitu Bengkel Media Handling Techniques, Digital Public Relations dan Creative Digital Media (Marketing).
- MPI bertindak sebagai penyedia latihan dalaman kepada para pensyarah dan staf UNISEL. Tiga program latihan yang disenaraikan oleh UNISEL adalah Writing for Social Media Training Workshop, Creative Digital Media dan Digital Public Relations.
- MPI bersetuju menawarkan tempat kepada para pelajar yang mengambil jurusan Event Management untuk menjalani latihan industri khusus terlibat dengan Malam Wartawan Malaysia atau latihan. UNISEL bersetuju memberikan para pelajar untuk terlibat dengan mana-mana program/ acara yang bersesuaian bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar situasi sebenar penganjuran program.
- UNISEL bersedia untuk menimbang cadangan MPI bagi menjadikan dua buah buku yang diusulkan iaitu Karya Kewartawanan Kajai dan Tokoh Wartawan Negara, dan buku-buku kewartawanan lain terbitan MPI sebagai bahan bacaan tambahan para pelajar BOJ.
- UNISEL dan MPI bersetuju meneroka kemungkinan menerbitkan secara bersama buku-buku kewartawanan dan media pada masa akan datang.
- Kedua-duanya bersetuju untuk membekalkan tenaga penceramah untuk sesi perkongsian ilmu seperti program Forum Media Kebangsaan atau Bual Bicara.
Sebelum bersurai, Prof Sidin mencadangkan Memorandum Persetujuan (MoA) MPI – UNISEL dibuat untuk kepentingan kedua-dua belah pihak. Beliau juga meminta MPI menyediakan struktur kewangan dan keterangan lanjut dimajukan kepada UNISEL. Kedua-duanya juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan khusus berkenaan program kerjasama ini.
Rakaman gambar-gambar: