Featured
Mudah dan cepat sunting video guna telefon pintar, MoJo buka ruang pelaporan berita pantas terus dari lokasi

Mudah dan cepat sunting video guna telefon pintar, MoJo buka ruang pelaporan berita pantas terus dari lokasi

Kursus Kewartawanan Digital dan Multimedia atau lebih dikenali sebagai MoJo (Mobile Journalism) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang telah tertangguh tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dijalankan semula pada 5 hingga 7 April 2021 di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Kursus yang sememangnya mendapat permintaan ramai ini telah menyaksikan kehadiran seramai 22 orang peserta antaranya tujuh (7) peserta dari Jabatan Penerangan Malaysia Johor, empat (4) dari BERNAMA Biro Johor, lima (5) dari Pejabat Menteri Besar Johor, dua (2) dari The Star, dua (2) dari Royal Press Office Johor dan masing-masing satu (1) dari Utusan Malaysia dan PETRONAS.

Encik Mohammed Hazli Hassan atau lebih mesra disapa Cikgu Bobo telah dijemput sebagai penceramah kursus yang berlangsung selama dua setengah hari ini. Cikgu Bobo yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan berkonsep MoJo ini telah berkongsi cara menghasilkan suntingan videografi berita dengan lebih praktikal, cepat dan berkesan.

Selama dua setengah hari kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan telefon pintar untuk menghasilkan suntingan video menarik tanpa perlu menggunakan komputer. Sesi pembelajaran lebih tertumpu kepada penggunaan aplikasi Kinemaster yang bertindak sebagai medium suntingan video yang boleh dilakukan terus dari lokasi.

Untuk sesi latihan praktikal para peserta diminta untuk merakam video berkenaan tempat-tempat menarik di Johor Bahru selama satu minit dan rakaman tersebut dipertontonkan pada hari terakhir kursus. Semua peserta begitu teruja untuk berkongsi video rakaman masing-masing setelah mempelajari teknik-teknik yang betul dari perkongsian berpengalaman oleh Cikgu Bobo.

Cikgu Bobo juga tidak lokek berkongsi pelbagai tips dan trik serta fakta-fakta berkaitan konsep MoJo kepada semua peserta. Semua peserta juga memberikan sepenuh perhatian dan kerjasama yang baik sepanjang kursus berlangsung.

Rata-rata peserta berpuas hati dengan sesi kursus kali ini dan sangat berharap agar kursus ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Bagi mereka, kursus seumpama ini sangat diperlukan oleh orang-orang media untuk menghasilkan video yang lebih menarik, selari dengan perkembangan teknologi masa kini yang begitu pesat membangun. Para peserta juga menyatakan perkongsian dari penceramah mudah difahami dan komunikasi antara peserta dan penceramah juga lancar.

Berikut dikongsikan gambar-gambar sepanjang kursus berlangsung.

1. Para peserta Kursus Kewartawanan Digital & Multimedia mendengar penerangan dari penceramah.
2. Sesi lampas otak untuk menghasilkan suntingan video menarik.
3. Cikgu Bobo berkongsi cara-cara penghasilan video menggunakan aplikasi Kinemaster.
4. Peserta dan penceramah bergrup foto dengan memasang cahaya lampu dari telefon pintar masing-masing sebagai simbolik kepada MoJo.
5. Cikgu Bobo best! Kami sudah, anda bila lagi?