MWM 2012 Lambang semangat setiakawan kental wartawan

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya pada Malam Wartawan Malaysia di the Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur, 30 Mac 2012, jam 8 malam.Tetamu kehormat majlis ini ialah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Selamat datang ke Malam Wartawan Malaysia 2012.

Selamat datang paling istimewa saya panjangkan kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kita kasihi kerana sudi untuk bersama-sama komuniti wartawan Malaysia pada malam ini.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim untuk turut sama memeriahkan majlis malam ini.

Saya tahu jadual kerja YAB Perdana Menteri memang terlalu ketat dan padat sejak waktu kebelakangan ini. Terima kasih Dato’ Sri kerana dapat meluangkan waktu bagi meraikan para wartawan yang telah melahirkan karya-karya kewartawanan yang cemerlang sepanjang 2011.

Kehadiran Dato’ Sri adalah suatu penghormatan besar kepada kami komuniti wartawan Malaysia dan akan terpahat dalam lipatan kenangan kami buat selama-lamanya.

Ini adalah kali kedua YAB menjadi tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI selaku  Perdana Menteri. Kali pertama adalah pada 6 April 2009 iaitu tiga hari selepas Dato’ Sri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri. Kebetulan pula untuk kali kedua ini, Dato’ Sri hadir menjelang tiga hari lagi negara merayakan ulang tahun ketiga pentadbiran Dato’ Sri.

Saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri kerana dalam tempoh tiga tahun pentadbiran itu, Dato’ Sri telah melaksanakan begitu banyak program yang penuh berkat yang telah mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang terhakis pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Apa yang Dato’ Sri lakukan bukan tugas mudah. Selalu dinyatakan oleh bijak pandai kerja-kerja membina adalah lebih sukar berbanding merobohkan. Tetapi dengan dipandu oleh wawasan yang jelas iaitu gagasan 1Malaysia, yang dilengkapi dengan kompas canggih NKRA dan KPInya,  kapal bernama Malaysia yang dinakhodai oleh Dato’ Sri kini sedang belayar mengarah destinasi yang dituju untuk mentransformasi negara ini menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Hakikat bahawa Dato’ Sri popular di kalangan rakan-rakan muka buku seramai 500,000 orang dan sejuta lagi menjadi pengikut Twitter Dato’ Sri membuktikan penerimaan kepimpinan Dato’ Sri di kalangan generasi muda adalah amat luar biasa.

InsyaAllah datang PRU ke 13, tidak kira bila, saya tidak ragu-ragu lagi  bahawa kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato’ Sri akan mendapat sokongan  dan mandat lebih besar. Amin.

Penyertaan HKM dinilai berdasarkan merit

Malam ini sejumlah lagi wartawan negara, saya sendiri tidak tahu berapa, tetapi sekurang-kurang 12 orang,  akan dinobatkan sebagai wartawan cemerlang bagi 13 kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS bagi 2011. 255 orang wartawan mewakili 24 organisasi berita, ada antara mereka nama-nama besar bergelar Datuk, telah mengemukakan 597 karya untuk dinilai oleh sebuah panel bebas yang diketuai oleh Profesor Kewartawanan UKM, Dr. Mohd Safar Hashim. Berbanding dengan tahun sebelumnya, terdapat peningkatan dari segi penyertaan sebanyak 47. Tahun 2010 mencatatkan penyertaan 198 wartawan.

MPI merakamkan terima kasih kepada Profesor Dr. Safar dan pasukan hakimnya yang lain kerana telah melakukan tugas pemilihan dengan baik berasaskan merit sepenuhnya. MPI  dan PETRONAS tidak terlibat dengan pemiihan pemenang. MPI sekadar bertindak sebagai pemudah kepada kerja-kerja penghakiman.

Bagi mempastikan penilaian adalah objektif, ia telah dibuat dua pusingan. Pusingan pertama memilih lima karya terbaik dan tiga daripada lima karya terbaik bagi setiap kategori itu pula akan dinilai pada pusingan kedua oleh sekumpulan tujuh orang hakim. Karya yang dinilai terbaik bagi setiap kategori akan dipilih sebagai pemenang.

Karya terbaik di kalangan 12 kategori itu pula akan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kajai iaitu hadiah tertinggi untuk wartawan dalam HKM. Pemenang Anugerah Kajai akan membawa pulang hadiah bernilai RM49,000.00 – RM 30,000.00 tunai dan sekeping syiling emas seberat 100 gram, yang nilainya pada harga semasa ialah RM 19,400.00. Harga segram emas semasa dianggarkan RM 194.00. Bagi pemenang kategori lain pula, mereka pulang dengan RM15,000.00.

Keseluruhan hadiah HKM ini adalah RM300,000.00 setahun.  Terima kasih kepada PETRONAS yang menaja hadiah bermula 1994 lagi.

Kepada mereka yang akan naik ke pentas sebentar lagi untuk menerima hadiah masing-masing, tahniah diucapkan. Tetapi bagi saya pemenang sebenar malam ini dan juga HKM ialah komuniti wartawan Malaysia. Kehadiran kita pada malam ini adalah testimoni bahawa di sebalik persaingan sengit, atau ada yang kata permusuhan dalam dunia kewartawanan, terdapat semangat setiakawan yang tinggi dan kental.

Apa yang membanggakan saya ialah apabila kita mengundang calon-calon pemenang untuk hadir, pertanyaan yang diajukan kepada MPI bukannya apakah saya menang, tetapi sebalik kenyataan ini: bahawa hakikat saya tersenarai  sebagai calon pemenang adalah satu penghormatan untuk saya dan organisasi berita yang saya wakili. Saya sungguh tersentuh dengan kenyataan itu.

Penghargaan untuk sahabat korporat dan agensi kerajaan

Sekiranya hadiah lumayan untuk para pemenang HKM ditaja oleh PETRONAS, pembiayaan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia ini adalah sumbangan dan tajaan badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan – Persekutuan dan Negeri serta organisasi berita itu sendiri. Untuk Malam Wartawan Malaysia 2012 ini, MPI telah menerima tajaan dan sumbangan bernilai RM393,000.00   daripada  52 sahabat-sahabat korporat MPI. Entiti mereka disenaraikan dalam buku program yang diedarkan pada malam ini pada halaman 38.

MPI berterima kasih daun keladi kepada anda semua di atas sumbangan ikhlas yang dihulurkan, bukan sahaja untuk tahun ini, tetapi sejak Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia dimulakan pada 1980. Harapan saya kerjasama baik yang terjalin sejak 32 tahun ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang demi untuk menghargai para wartawan cemerlang yang diharapkan terus meningkatkan kualiti kewartawanan negara.

Kehilangan besar kewartawanan Malaysia

Malam ini 850 orang tetamu telah diundang untuk memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2012. Tetapi salah seorang tetamu penting yang sudah pun mengesahkan kahadirannya, tidak dapat bersama-sama kita pada malam ini. Tetamu ini adalah seorang yang cukup rapat dengan MPI. Beliau pernah menjadi pengerusi MPI  selama 11 tahun antara 1987 hingga 1996. Beliau yang saya maksudkan ialah Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin, Tokoh Wartawan Negara 2001, yang pergi buat selama-lamanya menyahut seruan Illali pada jam 4.15 petang, Rabu 22 Mac 2012. Allahyarham adalah seorang wartawan yang hebat dan luar biasa seperti yang tergambar dalam tulisan-tulisan untuk mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membangun dan memajukan kewartawanan Malaysia.  Marilah kita sama-sama menghadiahkan al-fatehah kepada Allahyarham, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al fatehah. Terima kasih.

Program latihan MPI

Selain menganjurkan Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia setiap tahun sejak 1980, MPI juga menawarkan program-program latihan yang khusus untuk wartawan Malaysia. Dua program besar  MPI adalah Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan MPI International Journalism Fellowship (IJF).

Zaman Wartawan Muda 1Malaysia selama sebulan diadakan khusus untuk pengamal media yang muda dari segi usia dan perkhidmatan, bertujuan untuk mendidik mereka dengan ilmu-ilmu kenegaraan, terutamanya tentang fungsi dan peranan tiga kuasa negara dan institusi dibawahnya – legislatif, eksekutif dan judisiari. Mereka juga didedahkan dengan undang-undang utama yang menyentuh tugas wartawan sebagai orang media.

International Journalism Fellowship pula adalah khusus untuk melatih wartawan muda dunia membangun dengan matlamat tersiratnya adalah untuk membina imej negara di kalangan negara dunia ketiga. Program ini kita mulakan pada 2008 dan sehingga ini 89 orang wartawan muda dunia membangun telah mengikuti program ini. Melalui program ini, MPI mempunyai alumni di 29 buah negara. Pada waktu ini, wartawan-wartawan itu adalah muda, tetapi 10 atau 15 tahun mendatang, ada antara mereka yang akan menjadi orang penting di negara-negara masing-masing.

MPI berterima  kasih kepada kerajaan kerana memberi geran khas melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk menjayakan kedua-dua program ini. Tentunya saya berharap pemberian geran ini dapat diteruskan apabila pelaksaan lima tahun IJF ini berakhir pada hujung 2012.

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih

Akhir sekali, terima kasih sekali lagi kepada YAB Dato’ Sri Perdana Menteri yang menjadi tetamu kehormat kepada Malam Wartawan Malaysia 2012 dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas sebentar lagi.

Terima kasih kepada PETRONAS yang menaja HKM dan sahabat-sahajat korporat MPI dan agensi-agensi kerajaan di atas sumbangan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia.

Terima kasih kepada semua – khususnya rakan-rakan dalam Lembaga Pemegang Amanah, Majlis Petadbir, petugas Sekretariat MPI, para peneraju organisasi berita dan media di atas sokongan dan dokongan yang diberikan untuk terus menghidupkan program ini selama lebih tiga dekad yang lalu.

Sebagai tuan rumah, saya menghulurkan sepuluh jari, memohon maaf bagi apa juga kesilapan, kelemahan dan kepincangan sepanjang berlangsungnya Malam Wartawan Malaysia.

Sekian. Terima kasih.