MWM 2020 KEMBALI SETELAH AWAN HITAM COVID-19 BERLALU
Ucapan alu-aluan Pengerusi Malaysia Press Institute, selaku pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020), Datuk Dr. Chamil Wariya pada MWM 2020, di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 11 September 2020, jam 8.00 malam.
Pengenalan – Selamat Datang & Terima kasih
Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan selamat datang kepada kepada YB Senator Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, mewakili Perdana Menteri Malaysia, sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020).
Saya juga mengambil kesempatan awal ini untuk mengalu-alukan kehadiran:
- YM Tengku Muhammad Taufik Tengku Abdul Aziz, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2019. PETRONAS merupakan penaja HKM sejak 1994.
- Tokoh-Tokoh Wartawan Negara
- Ketua-ketua pengarang
- Para pengarang, para wartawan, para pemenang HKM yang kita raikan
- Para penaja dan penyumbang, kewangan dan bukan kewangan, Malam Wartawan Malaysia 2020 yang senarainya telah dizahirkan pada halaman 36 buku program yang diedarkan pada malam ini. Terima kasih kerana sudi menghulurkan tajaan dan sumbangan bagi membolehkan MWM 2020 menjadi satu realiti untuk kali ke-39nya.
- Tidak ketinggalan kepada semua tetamu yang meluangkan waktu untuk hadir, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang. Dan terima kasih atas sokongan membara yang diberikan untuk menjayakan program tahunan anjuran MPI yang pertama kali telah diadakan pada September 1981.
- Dan tidak kurang pentingnya, satu sejarah tercatat malam ini. Buat pertama kalinya Malam Wartawan Malaysia disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV dan Bernama FB Live. Sebagai tanda terima kasih kepada Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), marilah kita sama-sama memberi tepukan yang bergemuruh kepada Bernama.
Cabaran menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2020
Benarlah kata-kata bijak pandai, manusia merancang, Allah SWT menentukan. Begitu jugalah dengan perancangan dan penganjuran MWM 2020 ini.
Asalnya penganjurannya dirancang pada 21 April lalu. Segala persiapan rapi telah diatur sejak penghujung 2019 lagi.
Bagaimanapun berikutan kemelut politik pada penghujung Februari 2020, berlaku perubahan kepimpinan pada 1 Mac, diikuti pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara penularan apa yang mesra disapa Covid-19.
Semuanya berlaku di luar kawalan kita. Anggaplah ia takdir perjalanan kehidupan kita semua.
Pelaksanaan PKP bukan sahaja membuat kita terperap di rumah mulai 18 Mac 2020. Segala bentuk kegiatan sosial yang membabitkan ramai orang, tidak boleh diadakan. Akibatnya, MWM 2020 tidak dapat diteruskan. Demi kesihatan dan keselamatan diri sendiri, kita akur dengan PKP.
Alhamdulillah, awan hitam Covid-19, perlahan-lahan telah berlalu. PKP sejak 10 Jun 2020 digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP).
Kerajaan membenarkan penganjuran majlis-majlis sosial pada mulanya tidak melebihi 250 orang tetamu; kemudiannya bilangan kehadiran itu dihadkan bergantung kepada kapasiti tempat di mana majlis itu diadakan.
Tetapi dalam berbuat demikian, pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) PKPP dari segi penjarakan fizikal satu meter, pengimbasan suhu badan, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka jika diperlukan, tidak diabaikan.
Dalam kekangan SOP PKPP itulah MWM 2020, yang bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2019 (HKM2019), anjuran MPI dilangsungkan dengan kehadiran tetamu dikurangkan tidak melebihi 350 orang mengikut saiz dewan di Hotel Majestic pada malam ini.
Mungkin penganjurannya tidaklah begitu meriah seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi apa yang penting adalah penganjuran MWM ini dapat disempurnakan dengan baik.
Dan lebih penting, hadiah kepada para pemenang HKM 2019, yang bernilai RM300,000.00 tajaan PETRONAS dapat kita sampaikan kepada mereka.
Mereka yang akan naik ke pentas untuk menerima hadiah masing-masing bagi 20 kategori yang dipertandingkan adalah antara 306 orang pengamal media, di alam nyata dan alam maya, yang telah mengemukakan penyertan masing-masing untuk HKM 2019. Tahniah kepada mereka yang akan membawa pulang RM10,000.00, sijil dan trofi sebagai ganjaran kemenangan mereka.
Insya-Allah setelah penularan Covid-19 dapat dikawal dengan penemuan vaksin tahun hadapan, penganjuran MWM akan kembali kepada standard asalnya.
Penghargaan untuk semua
Sesungguhnya, MPI ingin merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat korporat MPI dan agensi-agensi kerajaan atas sokongan berterusan yang diberikan untuk menjayakan MWM 2020 ini.
Terima kasih ingin dipanjangkan kepada syarikat minyak negara, PETRONAS, khususnya kepada Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Mulia Tengku Muhammad Taufik Tengku Abdul Aziz yang sudi menaja hadiah wang tunai berjumlah RM300,000 untuk dibawa pulang oleh para pemenang HKM 2019.
Semoga kerjasama untuk mengiktiraf karya-karya terbaik produk kewartawanan Malaysia yang telah berusia 39 tahun ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Saya juga merakamkan penghargaan kepada panel hakim HKM 2019 yang dipengerusikan oleh Datuk Yong Soo Heong, mantan Ketua Pengarang Bernama dan seorang wartawan veteran yang luas pengalamannya dalam dunia kewartawanan. Keputusan panel hakim adalah muktamad.
Kepada YB Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan terima kasih juga ingin diucapkan kerana sudi untuk hadir sebagai tetamu kehormat, walaupun diberi notis untuk ke majlis ini pada saat-saat akhir.
Saya percaya YB Radzi, kalau tidak kerana mewakili Perdana Menteri, akan berada di Kota Kinabalu pada waktu ini untuk PRN di Sabah. Terima kasih YB kerana meluangkan waktu dan menjadikan majlis pada malam ini lebih bermakna.
Akhir sekali izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas sokongan beliau kepada MPI sekarang dan sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Beliau pertama kali menghadiri Malam Wartawan Malaysia sepuluh tahun lalu iaitu pada tahun 2010.
Beliau kemudian hadir untuk menyempurnakan penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, pada 2011 dan seterusnya sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2014.
Hanya Allah SWT sahaja yang akan membalas jasa baik kalian semua.
Sebelum berundur diri, bagi pihak Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Ahli Majlis Pentadbir MPI, saya ingin menyusun jari sepuluh, memohon maaf ampun atas apa juga kekurangan dan kelemahan penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2020.
Manalah tahu kalau-kalau: ada tempat duduk tersalah letak; ada gelaran tersilap sebut; ada hidangan terkurang ramuan; ada hiburan yang tidak sedap didengar , ada layanan yang tidak cukup mesra dan apa-apa juga yang tidak kena, janganlah disimpan di dalam hati. Maafkan kami. Terima kasih semua hingga kita bertemu lagi insya-Allah jika dipanjangkan umur tahun hadapan – 2021.