MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2021 DITANGGUHKAN, UMUM TARIKH BARU

KENYATAAN MEDIA

Cyberjaya – Malaysian Press Institute (MPI) menangguhkan Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) yang dijadualkan berlangsung pada 18 Jun 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diumumkan oleh Kerajaan.

Bagaimanapun, tertakluk kepada kebenaran Kerajaan, tarikh baru Majlis Malam Wartawan Malaysia pada 20 Ogos 2021 manakala Majlis Penyerahan Sumbangan MWM 2021 pada 8 Julai 2021.

Menurut Datuk Dr. Chamil, “dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa Malam Wartawan Malaysia 2021 terpaksa ditangguhkan kerana saya menjangkakan PKP 3.0 yang akan berakhir pada 6 Jun ini akan dilanjutkan berikutan kenaikan harian kes Covid-19.  Ini juga bagi menjamin keselamatan kesihatan para tetamu selain akur kepada pengumuman Kerajaan”.

Tambah beliau, Majlis Penyerahan Sumbangan MWM 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 25 Mei ini juga ditangguhkan. Beliau turut memohon maaf dan menghargai kesabaran para penyumbang juga rakan-rakan wartawan dalam mempastikan majlis ini dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Malam Wartawan Malaysia 2021 diadakan bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan sepanjang tahun 2020 menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2020.

Tahun lepas, MPI selaku penganjur mengikuti SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan dan seramai 300 orang tetamu sahaja dibenarkan hadir ke Majlis Malam Wartawan Malaysia 2020 dengan mematuhi penjarakkan fizikal.

Dikeluarkan pada : 18 Mei 2021