Pelajar Komunikasi Kolej Universiti Taylor lawat MPI
Sekumpulan 15 pelajar tahun akhir jurusan komunikasi Kolej Universiti Taylor telah berkunjung ke MPI dengan tujuan untuk mengetahui peranan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh MPI sebagai penyedia latihan jangka pendek dan bercorak kenegaraan kepada para pengamal media di negara ini.
Semasa berada di MPI selama tiga jam pada 24 Oktober 2013 itu, para pelajar tersebut telah diberi taklimat oleh Konsultan Latihan MPI, Puan Maimunah Abd Rashid mengenai peranan MPI bukan sahaja berkait bidang latihan, tetapi juga peranan MPI dalam penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia, Malam Wartawan Malaysia dan usaha yang dilakukan untuk memperkayakan khazanah penerbitan tentang media dan kewartawanan.
Taklimat itu turut menyentuh mengenai senario semasa media yang melalui perubahan radikal berikutan kehadiran teknologi komunikasi maklumat baharu setelah lahirnya Internet, selain memperkatakan peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan oleh industri persuratkhabaran, bidang penyiaran – radio dan televisyen serta potensi berkhidmat dalam portal berita yang berkembang pesat di negara ini.
Para pelajar itu juga dimaklumkan bahawa dalam era digital, kemahiran pengamal media sebagai penyedia kandungan juga tidak lagi terbatas kepada penulisan berita dan rencana dalam bentuk teks, tetapi mesti mempunyai kemahiran multimedia sesuai dengan kewartawanan konvergen yang menjadi anutan syarikat-syarikat media hari ini.
“Para wartawan hari ini, sekalipun mereka bekerja untuk surat khabar, tetapi mereka juga diharapkan untuk menyumbangkan karya untuk portal berita serta laporan video untuk televisyen web yang dikendalikan oleh organisasi berita berkenaan,” kata Maimunah.
Datin Shameem Abdul Jalil, Professor Adjung, Kolej Universiti Taylor yang turut serta dalam lawatan itu berkata penerangan yang diberikan di MPI itu telah membantu para pelajar kolej universiti itu memahami selok belok tugasan dan tanggungjawab yang bakal mereka pikul seandainya mereka memilih kewartawanan sebagai kerjaya masing-masing selepas menamatkan pengajian.
Dalam emel kepada MPI Datin Shameen menyatakan taklimat yang disampaikan telah memberi pencerahan kepada 15 orang pelajar itu mengenai dunia media dan kewartawanan Malaysia.
1. Para pelajar tahun akhir dari Fakulti Komunikasi, Kolej Universiti Taylor bersama Datin Shameem Abdul Jalil, Professor Adjung, Kolej Universiti Taylor dan Puan Maimunah Abdul Rashid bergambar kenangan selepas sesi taklimat selesai pada 24 Oktober 2013.
2. Pelajar-pelajar memberi tumpuan kepada taklimat mengenai MPI oleh Puan Maimunah Abd Rashid.
3. Sebahagian pelajar Kolej Universiti Taylor tekun mendengar penerangan Puan Maimunah.
4. Puan Maimunah menyampaikan cenderahati buku-buku terbitan MPI kepada Datin Shameem sebagai tanda kenangan lawatan.