Pembaharuan badan kehakiman: apakah yang boleh kita harapkan?

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya pada Bicara Makan Tengah Hari bersama Ketua Hakim Negara, YAA Tun  Raus Sharif di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2017 jam 12 PM

Yang Amat Arif Tun Raus Sharif, Ketua Hakim Negara

Yang Amat Arif Tan Sri Datuk Wira Ahmad bin Haji Maarop, Hakim Besar Malaya

Y Bhg Dato’ Sri Latifah binti Haji Mohd  Tahar, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dan para pegawai kanan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia

Para pengerusi dan CEO media

Para ketua pengarang, pengarang-pengarang, para wartawan

Serta tetamu undangan yang lain

Selamat datang ke Bicara Makan Tengah Hari atau luncheon talk anjuran Malaysian Press Institute (MPI), dan kali ini kami menampilkan YAA Tun Raus Sharif, Ketua Hakim Negara sebagai pembicaranya.

Atas kesudian YAA meluangkan waktu untuk hadir, saya bagi pihak MPI ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.

Saya juga berterima kasih kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, khususnya kepada Ketua Pendaftarnya, YBhg Dato’ Sri Latifah Mohd Tahar atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan program ini hari ini.

Sebenarnya saya pertama kali mengenali nama YAA Tun Raus sebagai seorang hakim lebih 12 tahun yang lalu. Tepatnya pada 5 haribulan 5 (Mei) 2005 – satu tarikh yang mudah saya ingat kerana angka 555nya.

Pada hari itu, saya hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketika itu bersebelahan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja di ibu negara. Saya hadir bukan untuk dibicarakan dihadapan YAA, tetapi menyaksikan sekumpulan graduan undang-undang, setelah selesai menjalani chambering masing-masing, ditauliahkan  oleh YAA sebagai Peguambela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya. Salah seorang dalam kumpulan peguam baharu itu ialah anak saya.

Benarlah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Allah SWT yang mengetahui. Dalam tempoh lebih dua dekad, setelah saya mengenali nama YAA, beliau telah memanjat hierarki badan kehakiman Malaysia sampai ke puncaknya – bermula sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, seterusnya Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan seterusnya sampai kepada kedudukan sekarang.

Saya difahamkan, YAA Tun Raus merupakan graduan universiti dalam negara yang pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Penyandangan jawatan tersebut sebelum beliau terdidik di luar negara. Justeru, saya juga ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan tahniah kepada YAA Tun atas pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara untuk tempoh tiga tahun akan datang, bermula bulan lalu.

Secara peribadi saya berasa amat bertuah kepada dapat bersua muka dengan YAA “in person” hari ini, setelah mengenali nama beliau lebih satu dekad yang lalu.

Para tetamu yang saya hormati,

Tema atau topik yang akan dibicarakan oleh YAA Tun Raus Sharif nanti berkaitan dengan institusi yang beliau pimpin sendiri dan dekat dengan hati kita semua iaitu: Judicial Reforms by the Malaysian Judiciary .

Reform dalam konteks ini bukanlah calang-calang isu. Oxford Advanced Learner’s Dictionary, Antara lain mentakrifkan reform sebagai “to improve a system, an organization, a law by making changes to it; in order to improve it.” Reform juga membabitkan to improve one’s behaviour.

Dalam bahasa lain, reform bermaksud perubahan dan perubahan ini menginginkan kesudahan yang baik kerana apa yang sedia ada sama ada tidak mencukupi atau ada yang tidak kena. Tetapi perubahan ini, mengikut pengamatan saya, berganda-ganda lagi cabarannya kerana dua perkara: pertamanya ia melibatkan perubahan institusi dan perubahan institusi tidak mungkin berjaya jika ia tidak mendapat kerjasama ahli-ahli dalam organisasi tersebut.

Keduanya, apabila topik perubahan ini diutarakan oleh seorang hakim tentang badan kehakiman maka subjek perubahan itu dari sudut psikologinya ditujukan kepada diri sendiri dan kepada mereka yang beridentiti dan berjawatan hakim.

Saya berpendapat, perubahan menghala kearah diri sendiri adalah paling mencabar kerana yang mahu diubah itu adalah tabiat dan kepercayaan lama kepada yang baharu. Kerana, tidakkah tabiat lama itu kerap kembali semula kepada kita tanpa dijemput atau dirai atau tanpa kita sedar? Dan benarkah sesuatu kepercayaan asal yang barangkali sudah menebal dalam diri seseorang boleh ditawan dan ditewaskan? Namun bukanlah sesuatu yang pelik jika cita-cita dan amalan yang diperjuangkan ini iaitu judicial reforms ini tinggi melangit kerana badan kehakimanlah, sebagai penegak keadilan, merupakan pelindung hak dan penuntut tanggungjawab kepada setiap individu di dalam dan di luar dewan ini.

Baik apapun, perjuangan untuk pembaharuan judisiari ini ternyata mustahak.  Oleh itu saya tidak syak lagi,  dan tidak dipertikaikan lagi bahawa tema atau topik yang ingin disampaikan oleh Tun Md Raus Sharif adalah amat penting.

Lalu ada yang bertanya: Apakah sisi reformasi yang dicita-citakan badan penghakiman negara kita? Tajuk yang diperkenalkan pada mata saya umum sifatnya. Sungguh luas dan seperti tidak terkira isu-isunya.

Antara isu berkenaan reformasi institusi penghakiman yang sering saya perhatikan, dalam dan luar negara, membabitkan dua konsep: i) pertama, kebebasan para hakim daripada pengaruh luar dan ii) kedua, keyakinan orang awam kepada institusi penghakiman.  Dalam bahasa Inggerisnya, ia disebut independence of judges dan public confidence.

Jika ia berkenaan konsep pertama, tentulah perbincangan ini tidak boleh mengelak daripada topik lama dan kontroversi yang mempersoalkan siapakah yang benar-benar layak memilih dan melantik para hakim. Mengikut mereka yang mahukan perubahan, institusi yang bernama judisiari, sebagai entiti untuk semak dan imbang kepada dua lagi kuasa negara iaitu eksekutif dan legislatif,  belum benar-benar bebas jika mereka  dilantik oleh mereka yang beragenda politik. Dan isu ini tidak terpisah dengan konsep kedua, patutkah orang awam mempercayai institusi penghakiman jika para hakim yang mengadili tidak bebas dan tidak berkecuali?

Ini topik yang sungguh berat dan barangkali belum tentu benar keadaan dan kesimpulannya  seperti dihujahkan oleh mereka yang mempercayai reformasi tersebut.

Tentunya, antara tema-tema pembaharuan judisiari yang lebih pragmatik dan barangkali dibincangkan nanti berkait dengan proses utama pengadilan iaitu perbicaraan. Reformasi untuk menambahbaikkan prestasi perbicaraan dan penyelesaian kes-kes tentulah tidak kurang pentingnya. Atau malah lebih penting daripada persoalan pencalonan para hakim itu sendiri. Dalam konteks pembaharuan judisiari di negara ini, tidak susah untuk membayangkan reformasi penghakiman itu sebagai projeksi dan pemantapan berterusan yang berpunca daripada Kod Etika Hakim 2009.

Selain itu, perubahan teknologi sumber maklumat yang progressif sejak beberapa tahun telah memberikan kesan kepada pilihan hidup dan gaya hidup masyarakat kita; jadi, tidak pelik jika teknologi yang sama juga sudah memberikan kesan kepada sistem keadilan. Bolehkah reformasi teknologi digunakan untuk meningkatkan prestasi tugas-tugas para hakim? Atau sebaliknya?

Terlalu banyak isu-isu yang ada dan tak mahulah saya terlajak dalam teka teki ini. Oleh itu, tanpa berlengah-lengah lagi, dengan segala hormat saya menyerahkan kepada Tun Raus Sharif untuk meluruskan dan mengisi apa yang telah saya nyatakan menurut kaca mata orang luar yang berada di luar dunia kehakiman berkait topik Judicial Reforms by the Malaysian Judiciary ini. Dipersilakan YAA. Terima kasih.