Pemenang Anugerah Media Kesihatan 2014 Diketahui 22 Ogos

Para pemenang Anugerah Media Kesihatan 2014, anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dijadual akan diumumkan pada 22 Ogos 2014.

Pemilihan para pemenang telah disempurnakan oleh panel hakim Anugerah Media Kesihatan yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya selaku ketua hakim pada mesyuarat yang diadakan di kementerian itu pada 9 Julai 2014.

Bagaimanapun kalangan yang menyertai anugerah itu akan hanya mengetahui sama ada mereka terpilih sebagai pemenang pada majlis penyampaian Anugerah Media Kesihatan yang dijangka berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negarap ada 22 Ogos.

Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S Subramaniam.

Anugerah Media Kesihatan 2014 adalah kali ketujuh ia diadakan.

Anugerah itu telah diperkenalkan sewaktu Tan Sri Chua Soi Lek menjadi Menteri Kesihatan. Menteri Kesihatan yang menggantikan beliau, Datuk Seri Liow Tiong Lai meneruskan anugerah itu. Apabila Datuk Seri S Subramaniam mengambil alih kepimpinan itu pada 2013, anugerah itu juga terus dilaksanakan.

Ini menjadikan Anugerah Media Kesihatan satu-satunya anugerah anjuran kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang dapat bertahan untuk tempoh yang lama.

Anugerah Media yang dianjurkan oleh kementerian-kementerian lain, antaranya, Anugerah Media Pertahanan, Anugerah Media Kepenggunaan, Anugerah Media Pertanian, Anugerah Seri Angkasa berkubur apabila berlaku perubahan dalam kepimpinan pada peringkat menteri.

Syabas kepada Kementerian Kesihatan kerana secara berterusan menganjurkan Anugerah Media Kesihatan dalam upaya untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dalam bidang kewartawanan cetak, TV dan radio.

Hakikat itu barangkali dipengaruhi oleh kesedaran bahawa isu-isu berkait kesihatan,  perubatan adalah penting untuk masyarakat.

Seramai 244 orang wartawan telah mengemukakan penyertaan masing-masing untuk anugerah itu.

Jumlah penyertaan mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori Jumlah Penyertaan
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Televisyen 22
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Akhbar Bahasa Melayu 73
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Akhbar Bahasa Inggeris 26
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Akhbar Bahasa Cina 6
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Akhbar Bahasa Tamil 1
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Majalah Bahasa Melayu 11
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Majalah Bahasa Inggeris 17
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Majalah Bahasa Cina 5
Anugerah Kewartawanan Kesihatan Terbaik Majalah Bahasa Tamil 0
Anugerah Program Kesihatan Terbaik Televisyen 11
Anugerah Program Kesihatan Terbaik Radio 23
Anugerah Foto Kesihatan Terbaik 24
Jumlah 244

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,500.00.

Dua pemenang saguhati, jika ada, bagi setiap kategori pula akan menerima habuan RM1,000.00.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, satu panel hakim yang terdiri daripada para doktor, pakar kesihatan, ahli akademik dan wartawan veteran berpengalaman dilantik untuk meneliti karya-karya yang menyertai anugerah itu.

Antara hakim yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia ialah:

Dr. Shahrol Lail bin Sujak, Timbalan Pengarah, Bahasa Kesihatan Pergigian.

Dr. Nor’ Aishah bt Abu Bakar, Ketua Cawangan Komunikasi dan Kepenggunaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Md. Sabtuah bin Mohamad Royali, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga.

Razif Zakaria, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Kesihatan.

Ooi Poh Keong, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit.

Dr. Sharfudin bin Noordin, Ketua Penolong Pengarah Kanan,  Bahagian Amalan Perubatan.

Dr. Mohammad Nazaruddin Bahari, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit.

Tiga orang ahli akademik turut menyertai barisan panel hakim Anugerah Media Kesihatan. Mereka ialah: Profesor Madya S. Kumaran, pensyarah Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM); Dr. Siti Zabedah Mohd Shariff, pensyarah kewartawanan TV, Universiti Teknologi Mara (UiTM); Azahar Kassim, pensyarah  kewartawanan Jabatan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Chong Ling Guan, pensyarah Akademi Kewartawanan Informasi Taima.

Selain Chamil yang bertindak sebagai ketua hakim, seorang lagi wartawan berpengalaman yang menilai karya para peserta Anugerah Media Kesihatan adalah SN Rajan, mantan pengarang agensi berita nasional, Bernama.

Dua orang bekas jurugambar yang pernah berkhidmat dengan akhbar New Straits Times, Eric Peris dan Hamzah Hurmin pula dilantik sebagai hakim bagi kategori jurufoto.

IMG_5679 (1280x853)[1]

1.  Panel hakim khusyuk menonton penyertaan bagi kategori kewartawanan TV.

IMG_5682 (1280x853)[1]

2. Panel hakim yang hadir. Dari kanan: Chamil (Ketua Hakim), Azahar Kasim (UUM), Chong (Taima), Dr. Nor’ Aishah (Kementerian Kesihatan Malaysia), S.N. Rajan dan Dr. Shahrol (Kementerian Kesihatan Malaysia).

IMG_5685 (1280x853)[1]

3.  Dr. Sharfudin, Dr. Mohamad Nazarudin dan Encik Ooi – tiga lagi orang hakim yang mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia.

IMG_5677 (1280x853)[1]

4. Panel hakim Anugerah Media Kesihatan Malaysia meneliti penyertaan bagi kategori kewartawanan TV.