PEMILIHAN TOPIK DAN PENCERAMAH KEKUATAN KURSUS DASAR LUAR
Wartawan yang bertugas untuk menulis isu-isu antarabangsa dan dasar luar negara disaran meningkatkan pengetahuan mereka mengenai dasar luar Malaysia bagi membolehkan mereka menghasilkan penulisan bermutu tinggi dan berwibawa.
Justeru untuk mencapai hasrat tersebut Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah menganjurkan kursus bertajuk ‘Media & Malaysia Foreign Policy Course – Synergy in the Global Frontier’ pada 12 – 13 Ogos 2021 secara maya.
Kursus dua hari bertujuan untuk membuka peluang kepada pengamal media agar dapat memahami peranan IDFR dengan lebih serius dan memahami peranan diplomasi negara serta isu-isu antarabangsa supaya pelaporan yang disediakan dapat disampaikan dengan tepat.
Meskipun negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19 namun ianya tidak mematah semangat warga MPI & IDFR untuk meneruskan kursus ini.
Kursus yang dihadiri seramai 19 orang peserta yang terdiri daripada 15 orang wartawan dari BERNAMA, NST, BH, TV AlHijrah, Astro AWANI, Suara Sarawak & New Sarawak Tribune dan empat bukan wartawan iaitu masing-masing dua pengarah dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pensyarah dari USM & UKM.
Pemilihan topik dan penceramah berpengalaman antara kekuatan dalam kursus dua hari ini. Penceramah yang dijemput khusus daripada Kementerian Luar Negeri dan dari Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) yang berpengetahuan luas tentang topik yang disampaikan telah memberi penerangan berkenaan dengan teknik liputan isu antarabangsa serta pendedahan kepada isu luar negara dan kedudukan Malaysia di mata dunia. Penceramah juga telah menerangkan secara terperinci tentang tugas-tugas, peranan agensi berkaitan di luar negara dan cara berurusan dengan negara-negara luar selain berbincang mengenai Islamofobia. Sedikit sebanyak objektif kursus telah tercapai.
Walaubagaimanapun terdapat juga kelemahan dalam kursus secara maya ini antaranya adalah para peserta tidak dapat berinteraksi secara bersemuka dengan ahli panel maka topik perbincangan adalah terbatas. Peserta juga mengharapkan lebih banyak latihan patut diberikan.
Rata-rata peserta berpendapat kursus seperti ini elok diadakan secara bersemuka selepas pandemik tamat pada masa akan datang.
Majlis Penutupan kursus di hari kedua telah disempurnakan oleh Datuk Zamruni Khalid, Ketua Pengarah IDFR. Beliau yang akan berkhidmat di Perancis sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu dalam ucapannya berharap agar kursus ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan dan berharap kesemua 19 peserta dapat menambah ilmu berkenaan dasar luar Malaysia.
Sebelum itu, pada hari pertama kursus, Datuk Dr. Chamil Wariya Ketua Pegawai Eksekutif MPI telah memberi Ucapan Alu-aluan kepada para peserta program sebelum sesi bermula.
Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar semasa dua hari berkursus: