“PENGACARA MAJLIS PERLU BERCERITA BUKAN MEMBACA” – YUSANANI
OLEH : NORLIDA BINTI JAMAIN
Seramai 14 orang peserta hadir mengikuti Bengkel Pengacaraan Majlis kendalian Puan Yusanani Yushak pada 27-28 Oktober lalu bertempat di Bilik Latihan MPI, Cyberjaya.
Ini adalah bengkel bersemuka yang pertama anjuran MPI selepas Kerajaan mengumumkan peralihan Negeri Selangor daripada fasa tiga ke fasa empat dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Menurut penceramah, seorang pengacara yang baik adalah pengacara yang membuat kajian tentang majlis yang bakal dikendalikan, penyuaipadanan pakaian sesuai dengan tema majlis, kebolehan mengawal dan memantau pentas utama, juga kebolehan untuk berkomunikasi dengan tetamu kehormat. Elemen-elemen ini dapat membantu pengacara tampil lebih berkeyakinan dan profesional ketika acara berlangsung yang menentukan kesempurnaan dan kelancaran sesebuah majlis.
Ini dibantu dengan sebuah skrip yang mantap. Penceramah menekankan bahawa penyediaan skrip oleh pengacara itu sendiri adalah lebih baik kerana dapat disesuaikan dengan tona suara dan bersedia dengan pindaan di saat-saat akhir jika ada. Penceramah juga meminta peserta agar berulangkali berlatih membaca skrip supaya lebih yakin ketika mengacarakan majlis.
Antara ciri-ciri skrip yang bagus adalah mengikut aturcara majlis, intonasi dan penyampaian skrip seperti bercakap dengan tetamu, memasukkan pelbagai elemen emosi, pemilihan kosa kata dan bahasa yang sedap didengar, serta penggunaan salutasi yang tepat jika melibatkan majlis protokol.
Menariknya intipati bengkel tidak sahaja menekankan kepada teori tetapi gabungan aspek latihan praktikal dengan menggunakan peralatan Multi-Camera Production (MCP) dalam memberikan “mood” sebenar kepada setiap peserta.
Kesemua peserta mendapat pengalaman terbaik menerusi komentar terus daripada penceramah untuk membantu memperkemaskan lagi persembahan masing-masing. Antara yang diulas oleh penceramah untuk diperbaiki melibatkan alunan atau lenggok, kawalan tenaga dan nada suara, ayat-ayat panjang yang perlu diperkemaskan dalam skrip, sebut seperti dieja, kejelasan, perkataan-perkataan yang perlu dielakkan ketika membuat pengumuman, pause dan slashing pada perkataan yang bersesuaian.
Belakang dari kiri – Shahfuri, Ronnee, Helmi, Rahman dan Syafiq.
Depan dari kiri – Azlin, Asma’, Ariana, Syiekin, Yusanani, Kartini, Nadia, Bayu, Munira dan Aida bergambar kenangan sebaik tamat penyerahan sijil penyertaan bengkel