Penghakiman HKM 2013 bermula

Penilaian karya-karya yang menyertai Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2013 sudah pun bermula.

Majlis taklimat dan penyerahan untuk panel hakim bagi kategori media cetak diadakan pada 24 Januari 2014 di Malaysian Press Institute (MPI), Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur.

Mesyuarat dikendalikan oleh pengerusi Panel Hakim HKM 2013, Profesor Dr. Mohd Safar Hasim. Taklimat pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya, dibantu oleh penyelaras anugerah MPI, Salman Husni Abdollah.

Hadir pada majlis itu tujuh panel HKM yang lain. Mereka ialah Profesor Dr. Ahmad Murad Marican (Universiti Teknologi Petronas), Profesor Dr. Faridah Ibrahim (Infrastructure University Kuala Lumpur),  Profesor Madya Dr. S. Kumaran (Universiti Malaysia), Profesor Madya Dr. Mohd Yahya Ariffin (Universiti Sains Islam Malaysia), Dr. Ling Tek Soon (Universiti Malaya), Haji Hamzah Sidek (mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan), Chong Ling Guan (Pensyarah Akademi Kewartawanan Informasi Taima).

Dua lagi ahli panel, Profesor Dr. Azizah Hamzah (Universiti Malaysia) dan Datuk Mior Kamarul Shahid, tidak hadir.

Dalam taklimatnya, Chamil memaklumkan bahawa bagi media cetak, 102 orang wartawan telah mengemukakan 314 artikel untuk dinilai oleh panel hakim.

Penilaian akan dilakukan secara dua pusingan – pusingan pertama dan kedua. Pada pusingan pertama, para hakim akan menilai semua karya untuk memilih lima karya tertinggi bagi setiap kategori yang disertai. Lima karya itu akan dinilai semula, sebelum pemilihan pemenang dimuktamadkan.

Bagi media cetak terdapat lapan kategori yang boleh disertai. Kategori-kategori itu ialah:

  • Hadiah Kewartawanan Muda A. Samad Ismail – 8 penyertaan
  • Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang – 19 penyertaan
  • Laporan Berita Cemerlang – 17 penyertaan
  • Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang – 9 penyertaan
  • Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang – 7 penyertaan
  • Penulisan Rencana Cemerlang – 28 penyertaan
  • Kolumnis Cemerlang – 6 penyertaan
  • Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas – 8 penyertaan.

Penilaian bagi penyertaan dua kategori untuk media elektronik dan dua kategori foto akan dibuat oleh satu panel yang berasingan.

1. Panel Hakim HKM (cetak) 2013 bergambar kenangan selepas mesyuarat di MPI Kuala Lumpur. Dari kanan: Chamil, Safar, Ahmad Murad, Kumaran, Mohd Yahya, Chong, Faridah, Ling dan Hamzah.

2. Safar (di tengah) mempengerusikan taklimat HKM 2013.

3. Sebahagian panel hakim HKM yang hadir pada taklimat di MPI pada 24 Januari 2014.