PENGIKLANAN FACEBOOK BERI PENDAPATAN LUMAYAN
Pengaruh media sosial masa kini terhadap organisasi, syarikat, atau individu dalam memperluaskan produk dan perkhidmatan masing-masing menjadi antara intipati penting. Boleh dikatakan hampir semua perkhidmatan dan perniagaan di dunia menggunakan platform media sosial untuk mengembangkan lagi jurus perniagaan dan perkhidmatan mereka, terutama penggunaan Facebook.
Disebabkan Facebook, atau kini dikenali sebagai Meta menjadi antara pelopor media sosial utama dunia, ianya kini telah melangkah ke arah meraih pendapatan melalui nilai video dan pengiklanan. Sesebuah organisasi boleh menggunakan khidmat pengiklanan melalui video strim dari Meta/Facebook untuk menambah pendapatan sekaligus memasarkan perkhidmatan masing-masing.
Meta/Facebook mengambil inisiatif berkait fenomena ini dengan menganjurkan kursus Video Value & Optimization secara webinar dengan kerjasama Malaysian Press Institute untuk memberi lebih kefahaman tentang penggunaan platform Facebook dalam mengoptimumkan keuntungan melalui pengiklanan video.
Seramai 160 peserta meliputi pelbagai organisasi termasuk media, korporat dan akademik telah menyertai webinar ini yang diadakan selama dua hari pada 2 dan 3 November 2021 melalui aplikasi Zoom.
Hari pertama kursus memperlihatkan Puan Petch Pacharapun (PSM, Thai New Partnership Team, Bangkok) berkongsi tentang amalan terbaik dan teknik pemasaran beberapa media perdana Thailand dalam mengoptimumkan penggunaan Facebook untuk meraih pendapatan lumayan melalui pengiklanan video.
Pada hari kedua sesi diteruskan dengan perkongsian berkenaan pemantauan, penelitian dan menjejak perkembangan strim iklan di Facebook agar selari dengan pelaburan yang dibuat oleh sesebuah organisasi. Penting untuk organisasi yang menggunakan pengiklanan Facebook untuk meneliti perjalanan perbelanjaan bagi mengelakkan kerugian. Sesi ini telah dikongsi oleh Mr Carlo Dionisio (PSM, Meta Filipina).
Sesi terakhir hari kedua webinar disempurnakan oleh Mr Yos Kusuma (Meta News Supporting Team, Malaysia & Indonesia). Beliau berkongsi berkenaan pengewangan video dan peraturan penting Facebook yang perlu dipatuhi oleh organisasi sebelum melabur dalam pengiklanan di Facebook.
Para peserta dilihat aktif bertanyakan soalan melalui chatbox dan setiap soalan dijawab dengan penuh hemah oleh tim Facebook. Peserta juga menzahirkan rasa puashati dengan kursus seumpama ini kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu sejajar dengan perlunya pencapaian optimasi ideal dalam perkembangan organisasi melalui teknologi pengiklanan media sosial.
RANGKUMAN GAMBAR-GAMBAR