Pengurusan kanan BSN iktiraf Bengkel Perhubungan Media MPI berkesan

“Knowledge is power. The more you know about reporters and the way they operate, the stronger you will be when you face them!”

Menyedari kebenaran hakikat itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah mengambil daya usaha untuk melengkapkan para eksekutif kanannya dengan ilmu dan kemahiran perhubungan media.

Dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) Bengkel Perhubungan Media itu telah diadakan  di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya  pada 8 dan 9 September 2014.

Seramai  35 peserta terdiri daripada dua orang Timbalan Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan dan Pengarah-Pengarah  Negeri BSN dipilih untuk mengikuti program tersebut.

Empat tenaga pengajar, kesemuanya merupakan mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing berkaitan media telah berkongsi tip bersama-sama dengan peserta selama dua hari itu.

Mereka ialah Encik T. Selva (The Star), Datuk Ahmad A. Talib (Media Prima Berhad), B.K. Sidhu (The Star) dan Yusanani Yushak (bekas penyampai berita Buletin Utama TV3).

Rata-rata para peserta yang ditemui selepas bengkel selesai berpendapat, bengkel dua hari itu memberi mereka gambaran menyeluruh mengenai perhubungan media, terutama bagaimana untuk memanfaatkan media untuk mendapatkan publisiti.

Berikut adalah pandangan lima orang peserta yang mengikuti bengkel tersebut.

1. Encik Yunos Abd. Ghani, Timbalan Ketua Eksekutif.

Bengkel ini saya anggap berkesan sebab ia dikendalikan oleh pengamal media yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing yang berasaskan senario sebenar. Perkongsian pengalaman bersama mereka membuatkan tugasan saya akan menjadi lebih efektif lagi apabila berhadapan dengan wartawan di masa hadapan. Tambahan pula, saya sering berhadapan dan berkomunikasi dengan mereka bagi tujuan berkongsi informasi. Pada hemat saya program ini akan lebih bagus jika setiap modul disertakan dengan ‘real life cases’. Saya mengkategorikan program ini sebagai baik.

2. Winston E. Jeyaprakash, Timbalan Ketua Eksekutif.

Bengkel Perhubungan Media yang dianjurkan ini merupakan sebagai pemangkin dan pembuka mata bagi kami dalam memahami makna perhubungan baik dan berpanjangan dengan media demi kebaikan bersama. Penceramah yang berpengalaman telah memberi tip-tip tentang kaedah menyalurkan maklumat ke saluran yang tepat pada masa terbaik untuk memastikan segala maklumat mendapat perhatian pegamal media. Pada pendapat saya, modul yang telah disusun adalah memuaskan. Bengkel ini akan menambahbaikan cara kami berinteraksi dengan pengamal-pengamal media di masa hadapan. Secara tidak langsung ia akan memberi manfaat kepada organisasi kami dalam menjaga keutuhan kami.

3. Puan Puspa Marina Dato’ Haji Omar, Ketua Jabatan Komunikasi Strategik.

Bagi saya, bengkel yang dianjurkan ini amat berkesan kerana ia bukan sahaja menitik beratkan kepada teori sahaja tetapi lebih penting ialah sesi praktikal seperti sesi ‘Video and Visual Communication’ dan ‘Sidang Media’. Penceramah berjaya menjadikan sesi tersebut lebih ‘hidup’ dan lebih menarik. Saya berharap di masa hadapan, bengkel ini harus mangandungi lebih sesi praktikal dalam modul-modul lain agar ia lebih memberi kesan.

Program ini juga akan membantu saya dan rakan-rakan yang lain memahami dengan lebih mendalam lagi cara-cara pengamal media bekerja dan ini membolehkan kami mengurus perhubungan media kami dengan lebih teratur. Dari perspektif Bahagian Komunikasi, kursus ini memberi manfaat kepada pihak pengurusan kanan dalam memahami tanggungjawab perhubungan media dan mereka akan menjadi lebih responsif di atas kapasiti masing-masing ketika berhadapan dengan wartawan.

4. Dato’ Mearia Hamzah, Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti.

Kursus dua hari Perhubungan Media yang dianjurkan ini merupakan satu platform yang bagus bagi kami dalam memahami cara-cara berhadapan dengan media, menyediakan informasi yang tepat dan bagi jurucakap organisasi pula, ia merupakan satu pendedahan yang baik tentang bagaimana mereka harus menyediakan diri, cara berinteraksi dan melengkapkan informasi yang tepat agar wawancara berjalan dengan lancar. Tip-tip yang diberi oleh penceramah-penceramah bakal membina tahap keyakinan diri semasa berhadapan dengan media.

Modul ‘Newsroom scenario’ dan ‘How to Establish a Lasting Positive Relationship’ boleh dicantumkan dan slot ini lebih baik jika ada klip video yang menunjukkan suasana dalam bilik berita semasa waktu puncak untuk mendapatkan ‘rasa’ suasana tersebut. Selain itu, penceramah harus sentuh tentang baik buruknya media sosial dalam modul ini.

Secara keseluruhannya, kursus ini amat bermanfaat kepada BSN kerana kami bakal mampu mempromosikan BSN dengan lebih berkesan.

5. Tuan Syed Jamaludin Syed Jaafar, Naib Presiden Seksyen Sokongan Pembelajaran. Bahagian Pembelajaran & Pembangunan.

Bengkel perhubungan media anjuran MPI ini saya anggap sangat baik dalam membantu Bank Simpanan Nasional berhadapan dengan pihak media untuk mempromosikan, menghebahkan perkembangan semasa, perkhidmatan dan produk-produk yang ditawarkan dengan beretika. Buat pertama kalinya bengkel seperti ini diadakan khas  untuk pihak pengurusan kanan kerana ia akan meningkatkan pemahaman mereka betapa  pentingnya hubungan baik yang berterusan antara organisasi dan media. Dengan pendedahan seperti ini hubungan yang sudah dijalin akan menjadi lebih mantap lagi.  Dari perspektif perniagaan pula, ia akan memudahkan pihak pengurusan untuk mengatur program-program yang membabitkan pihak media dengan lebih licin lagi di masa hadapan.

Mengenai kandungan kursus ini, saya mencadangkan supaya diadakan lebih banyak ‘Adult and Experiential Learning Approach’ seperti aktiviti berkumpulan dan paling penting ialah bahan yang disampaikan oleh penceramah disertakan sekali sebab bagi saya nota-nota ini akan menjadi bahan rujukan bagi mereka.

Bagi slot ‘grooming’ pula saya berpendapat ia amat efektif sebab tip-tip yang disampaikan akan membuat kami lebih peka dengan penampilan kami apabila berhadapan dengan kamera. Sesi praktikal harus dipanjangkan lagi supaya setiap peserta berpeluang untuk merasa dan melihat sendiri cara mereka berkomunikasi dengan wartawan elektronik.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya dari segi penyampaian dan pengisian amat relevan. Saya berterima kasih kepada MPI kerana sudi menganjurkan bengkel Perhubungan Media bersama kami. Insya-Allah kita mungkin akan mengadakan kursus seperti ini di masa hadapan bagi kumpulan sasar yang lain.

1. Para peserta bengkel perhubungan media BSN tekun mendengar ceramah.

2. Encik T. Selva, Senior Consulting Editor, The Star sedang menyampaikan ceramahnya.

3. Sesi bersama YBhg. Datuk Ahmad A. Talib, Group Advisor, CSR, Media Prima Berhad telah mencuit hati para peserta bengkel dengan salah satu tajuknya “How to Establish a Lasting, Positive Relationship and Boost Publicity”.

4. Puan Yusanani Yushak, mantan Penyampai Berita Buletin Utama TV3 menerangkan kepada peserta bagaimana untuk tampil berwibawa apabila muncul dalam program TV.

5. Cik B.K Sidhu, Senior Editor, Business, The Star bercakap tentang penganjuran persidangan media yang berkesan.