Kursus
Pensyarah Kolej Vokasional asah kemahiran kendali kamera

Pensyarah Kolej Vokasional asah kemahiran kendali kamera

Sepuluh pensyarah Kolej Vokasional Malaysia (KVM) telah mengikuti Bengkel Asas Fotografi pada 25 hingga 27 Mac lalu di Hotel Everly, Putrajaya. Mereka adalah pensyarah-pensyarah yang mengajar fotografi dalam bidang Animasi dari KV Gombak, Kuala Krai, Kuala Selangor dan Kluang.

Program bengkel ini didesain khas oleh Malaysian Press Institute (MPI) bagi memenuhi keperluan KVM meningkatkan lagi kemahiran pensyarah-pensyarah yang mengajar fotografi. Ia dikendalikan oleh pakar fotografi, Encik Mahfooz Nabi Rasool, mantan Pengurus Kanan NIKON Malaysia sebagai pengajar. Bertepatan dengan objektif utama bengkel, Encik Mahfooz telah berkongsi pelbagai teknik dan kemahiran yang bersesuaian dengan tugasan peserta yang mewakili KV masing-masing.

Bermula dari hari pertama bengkel, para peserta telah didedahkan dengan teknik asas fotografi yang merangkumi panduan yang mendalam tentang komposisi, pencahayaan dan teknik bingkai untuk meningkatkan kualiti gambar. Mereka juga diberi masa untuk mengambil gambar estetik di sekitar hotel untuk dinilai bersama pengajar.

Aspek penting bengkel adalah demonstrasi pelbagai alat dan komponen kamera. Encik Mahfooz mempersembahkan kamera moden, lensa, penapis dan aksesori penting lain yang digunakan dalam fotografi profesional. Beliau juga berkongsi pelbagai teknik fotografi yang tidak hanya terhad kepada fotografi potret, landskap, makro dan jalanan. Di samping itu, para peserta mendapat pandangan berharga tentang halusinasi setiap teknik yang membolehkan mereka mendiversifikasikan repertoire fotografi mereka.

Selain mengajar penggunaan peralatan kamera dan ilmu fotografi, Encik Mahfooz membimbing para peserta meneroka kemahiran mereka mengambil gambar di lapangan termasuklah mempraktikkan teknik merakam gambar dengan penggunaan flash dan mengambil gambar dalam cahaya yang paling minima. Menjalani latihan ini pada bulan Ramadan tidak menjadi halangan kepada para peserta mengikuti setiap skil dan teknik yang diajar hingga ke akhirnya. Lebih menarik, pengajar dan peserta dapat menikmati ‘iftar’ bersama-sama di samping mengeratkan lagi ukhuwwah dan bertukar-tukar pandangan dan fikiran.

Secara keseluruhan, bengkel ini telah memberikan manfaat yang besar kepada para peserta. Melalui sesi interaktif, demonstrasi praktikal dan aktiviti latihan di lapangan, mereka menunjukkan penglibatan yang sangat aktif. Malah mereka dapat menjawab soalan-soalan kuiz pada akhir bengkel, menunjukkan peningkatan pemahaman mereka tentang prinsip dan teknik fotografi yang telah diajar. Secara tidak langsung, program bengkel ini berjaya menyuntik semangat baru dan keyakinan tinggi mereka untuk merakam dan menghasilkan lebih banyak imej yang menarik.

Di ruangan penambahbaikan dalam borang penilaian, para peserta menyatakan penghargaan mereka dapat menimba ilmu dan kemahiran daripada tenaga pengajar yang sangat berpengalaman seperti Encik Mahfooz. Mereka turut berharap bengkel ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan dengan silibus lanjutan.

Rakaman gambar-gambar:

Para peserta dan penceramah pada sesi suai kenal bersama penceramah, Encik Mahfooz.
Para peserta belajar tentang kamera dan penggunaan aksesorinya.
Aktiviti praktikal di lapangan.
Gambar atas dan bawah: Sesi persembahan hasil kerja masing-masing
Sesi grup foto bersama penceramah di hari terakhir bengkel. Terima kasih semua!