PENULIS MEDIA BELAJAR PERKARA BARU
Masih bergelumang dengan virus Corona menyebabkan MPI meneruskan penganjuran kursus secara hibrid bagi tahun 2022 ini. Kursus hibrid iaitu bersemuka dan secara atas talian dijalankan untuk memberi kemudahan kepada para peserta yang berminat untuk menyertai kursus-kursus anjuran MPI.
Pada 9 dan 10 Februari 2022 lalu, telah berlangsungnya program kursus hibrid pertama MPI iaitu Bengkel Penulisan Media & Rencana Berkesan. Bengkel tersebut telah diadakan di Unit Latihan MPI, Cyberjaya dan secara atas talian melalui aplikasi Google Meet. Seramai 18 orang peserta telah menyertai bengkel ini yang terdiri daripada 2 orang peserta fizikal dan 16 orang peserta secara maya.
Bengkel ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Encik Faizal Zakaria, Mantan Editor Prosesan KOSMO! yang juga merupakan pemenang Hadiah Kajai HKM 2004. Beliau yang sememangnya pakar dalam bidang penulisan media dan rencana telah berkongsi pelbagai tips menarik serta contoh penulisan berita yang baik untuk dirujuk oleh para peserta.
Penceramah juga menyelitkan beberapa trik penulisan baharu yang mempercepatkan lagi proses penulisan berita iaitu penggunaan voice typing di Google. Selain itu, penceramah juga berkongsi teknik penggunaan bahasa yang betul dan lenggok bahasa yang sesuai untuk dizahirkan dalam penulisan berita dan media.
Encik Faizal turut menggalakkan para peserta supaya mencuba pelbagai perkara baharu dalam dunia digital bagi memantapkan penulisan masing-masing. Para peserta begitu teruja mencuba trik baharu yang dikongsikan dan aktif berkomunikasi bersama penceramah dengan bertanyakan soalan serta membuat perbincangan berkenaan sesuatu topik.
Para peserta juga diberi peluang untuk menulis rencana dalam sesi latihan praktikal dan penceramah memberi komen untuk setiap hasil kerja peserta.
Para peserta memaklumkan bengkel ini sangat bermanfaat dan pengalaman penceramah memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman lebih mendalam berkenaan bengkel ini.
Rakaman gambar-gambar: