Penyertaan dan kualiti penulisan Anugerah Media Kesihatan meningkat

           Laporan  Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya selaku Pengerusi Panel Hakim Anugerah Media Kesihatan Kementerian Kesihatan 2012, dibentangkan pada Malam Media Kementerian Kesihatan pada 29 Jun 2012 jam 8 malam di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.

           Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah kepimpinan YB Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana secara berterusan sejak enam tahun lalu berjaya menganjurkan Anugerah Media Kesihatan. Sepanjang ingatan saya sejak berkhidmat dengan Malaysian Press Institute (MPI) pencapaian ini adalah satu rekod.  Hal ini kerana ada kementerian yang juga memulakan anugerah medianya pada waktu yang sama dengan Kementerian Kesihatan, tetapi program itu telah dihentikan. Malah venue bagi penganjuran majlis penyampaian hadiah anjuran Kementerian Kesihatan ini juga bertambah baik.  Sewaktu pertama kali diadakan, tempatnya adalah Hotel Armada. Malam ini kita berkampung di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur- The Royale Chulan Hotel.

         Saya angkat topi kepada YB Datuk Seri Liow. Bagi saya, Kementerian Kesihatan dan YB Datuk Seri Liow benar-benar mahu menghargai sumbangan komuniti wartawan yang banyak menyebarkan maklumat tentang isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan. Saya juga mengamati bahawa dari segi pengkategorian, Anugerah Media Kesihatan ini juga adalah paling komprehensif; ia meliputi akhbar, majalah, radio, televisyen dan juga fotografi dalam empat bahasa – Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.  Sekali  lagi syabas dan tahniah YB Datuk Seri.

PENYERTAAN MENINGKAT 10 PERATUS

           Bagi Anugerah Media Kesihatan 2012, bilangan kategorinya bertambah satu lagi dengan pengenalan Anugerah Promo Kesihatan Terbaik Radio, menjadikan jumlah keseluruhan kategori kepada 13 berbanding 12 pada tahun lalu. Sukacita saya melaporkan bahawa dari segi penyertaan pula, terdapat peningkatan hampir 10 peratus bagi tahun ini berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 169 penyertaan, berbanding 154.

         Penyertaan tertinggi bagi 2012 adalah bagi Kewartawanan Kesihatan Terbaik akhbar Bahasa Melayu sebanyak 34 (berbanding 26 tahun lalu); diikuti 27 penyertaan bagi majalah bahasa Inggeris; 22 penyertaan masing-masing  bagi kategori akhbar bahasa Inggeris dan majalah bahasa Melayu. Anugerah Foto Kesihatan Terbaik pula menarik minat 19 peserta, berbanding 13 bagi 2011.

        Cuma yang agak mengecewakan adalah penyertaan bagi kategori majalah bahasa Tamil. Seperti tahun lalu, kita tidak menerima sebarang penyertaan tahun ini daripada mana-mana majalah berbahasa Tamil  manakala bagi kategori akhbar, kita menerima empat penyertaan daripada wartawan yang sama, mewakili sebuah akhbar sahaja.

        Bagi mengatasi kekecewaan ini, pada mesyuarat penal hakim yang diadakan pada 13 Jun 2012, dua cadangan, yang saya fikir tidak sukar untuk dilaksanakan, telah dikemukakan. Pertama, dengan bantuan salah seorang hakim, Prof. Dr. S. Kumaran, beliau akan mengenal pasti majalah-majalah  berbahasa Tamil yang memuatkan tulisan-tulisan kesihatan. Tulisan-tulisan itu akan disimpan dan apabila tiba masanya nanti, wartawan yang menghasilkan tulisan-tulisan akan diminta untuk menyertai anugerah.

        Kedua, juga dengan bantuan Prof Kumaran, MPI akan mengadakan pertemuan dengan para editor majalah dan akhbar berbahasa Tamil untuk memberi taklimat kepada mereka berkaitan anugerah media yang kita anjurkan, termasuk Anugerah Media Kesihatan. Untuk makluman, penyertaan wartawan akhbar dan majalah Tamil bukan sekadar rendah atau tidak ada untuk Anugerah Kesihatan, tetapi juga untuk anugerah-anugerah kewartawanan yang lain. Hadiah Kewartawanan Malaysia juga tidak menerima sebarang penyertaan daripada media Tamil sejak beberapa tahun lalu.  Saya berharap dengan majlis taklimat yang dirancang ini, kesedaran para wartawan Tamil untuk menyertai Anugerah,  mungkin akan dapat ditingkatkan. Kita harap selepas itu nanti, kuda yang kita bawa ke kolam, akan sudi untuk meminum air dalam kolam itu.

KUALITI PENYERTAAN

        Berdasarkan komen panel hakim sewaktu bermesyuarat untuk membuat keputusan memilih pemenang pada 13 Jun 2012, saya boleh merumuskan bahawa pada umumnya, kualiti penulisan wartawan yang menyertai Anugerah Media Kesihatan ini bertambah baik. Malah ada antara mereka boleh dianggap sebagai wartawan pakar bidang kesihatan.  Sebahagian besar mereka telah menghasilkan karya-karya yang didasarkan kepada penyelidikan, pemerhatian dan penelitian yang menndalam; ditulis pula dengan gaya bahasa yang mudah untuk difahami oleh orang biasa.

       Justeru segala mesej yang ingin disampaikan tentang mauduk atau topik yang dibicarakan dapat difahami. Topik-topik yang dipilih juga pelbagai, tetapi pada umumnya mencerminkan isu-isu semasa berkaitan kesihatan sewaktu ia digarap. Ketepatan fakta dan maklumat yang mahu disampaikan juga disahkan betul oleh para doktor dan pakar perubatan dan kesihatan yang duduk dalam panel hakim.

       Dalam kata-kata lain, artikel-artikel kesihatan yang dihasilkan sepanjang tahun yang dinilai bagi Anugerah Media Kesihatan 2012 ini menepati tiga unsur utama sebuah karya yang baik. Pertama, karya-karya itu memahamkan lagi pemahaman kita yang membacanya atau dalam bahasa Inggerisnya enlighten our understanding further; keduanya, karya-karya itu mampu membuat daya imaginasi pembaca menerawang menggambarkan senario yang dipaparkan; ketiga,  topik dibicarakan  dengan roh dan jiwa sehingga boleh menginsafkan pembaca setelah menatapnya.

PENUTUP

       Saya kira secara ringkasnya itulah rumusan yang dapat saya simpulkan berdasarkan komentar dan pandangan yang dilontarkan oleh panel hakim. Saya  ingin merakamkan penghargaan kepada para panel hakim yang telah meluangkan waktu mereka untuk meneliti karya-karya yang menyertai Anugerah Media Kesihatan kali ini dalam batas waktu yang telah ditetapkan. Kepada para pemenang yang bakal menerima hadiah masing-masing sebentar lagi, tahniah di atas kejayaan anda. Saya percaya kemenangan anda itu akan menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya pada masa-masa akan datang. Dan mendorong rakan-rakan wartawan yang lain untuk berusaha memenangi hadiah ini.

        Akhirnya saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada MPI untuk bertindak sebagai sekretariat penghakiman. Alhamdulillah amanah itu telah kami tunaikan sebaik mungkin.

Terima kasih.