Peranan elemen emosi dan masyarakat penting dalam penulisan rencana
Dalam menulis sesuatu rencana, penulis harus meletakkan diri mereka sebagai pencerita dengan menunjukkan situasi dengan bercerita kepada masyarakat. Rencana yang baik adalah rencana yang mampu membangkitkan emosi membuak-buak dalam kalangan pembacanya tetapi tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
Pandangan itu dizahirkan oleh pemenang Hadiah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia 2004, Mohd Faizal Zakaria sewaktu menyampaikan ceramah dalam program dua hari mengenai menghasilkan penulisan media dan rencana yang berkesan, anjuran MPI pada 15 dan 16 Julai lalu.
Beliau memberitahu, pemilihan lead atau intro mesti menggunakan kata kerja yang kuat dan betul, penting untuk menambat minat audiens membaca penulisan dengan memberikan bayangan maklumat yang ingin disampaikan.
“Ia mesti disokong oleh sumber yang tepat. Penulis boleh menemukan sekurang-kurangnya tiga sumber atau pakar untuk menguatkan lagi penulisan tersebut,” terang beliau yang juga pernah menjadi editor prosesan akhbar Kosmo!
Penceramah turut menekankan tentang penggunaan 5 fakta 5 ayat yang boleh digunakan dalam penyediaan rencana. Seorang penulis juga perlu kreatif dalam mendapatkan maklumat melalui temubual atau dengan menghadiri sesuatu majlis dan menggunakan teknologi terkini. Penggunaan carta atau lakaran infografik juga membantu menjadikan penulisan rencana itu menarik.
Sepanjang dua hari berkursus, para peserta diajar bagaimana mengolah sesuatu berita kepada penulisan rencana. Apakah ciri-cirinya, bagaimana penulisan itu dimulakan dan apakah elemen-elemen penting dalam penulisan diulas penuh oleh penceramah, tips pemilihan gambar dan penyediaan kapsyen.
Tidak hanya memberi penjelasan berkait dengan penyediaan rencana dari sudut media tetapi penceramah juga mengimbangi penjelasan beliau dari sudut pandang korporat.
Pesan ringkas penceramah, rajinlah membaca penulisan orang lain, melihat penggunaan kosa kata yang digunakan, bersedia melemparkan soalan-soalan yang kritis dan bersedia menerima jawapan-jawapan sinis sehinggalah wujud intimasi dengan sumber. Tambah beliau penulisan adalah aktiviti yang memerlukan perulangan untuk mahir.