Kursus
Peranan media dalam meningkatkan penglibatan sivik penting – Dr. MacHarg

Peranan media dalam meningkatkan penglibatan sivik penting – Dr. MacHarg

Para pengamal media Malaysia boleh memainkan peranan proaktif dalam meningkatkan penglibatan sivik masyarakat dengan memaparkan pelbagai kegiatan yang membuka mata mereka menerusi laporan-laporan yang dihasilkan untuk organisasi media di mana mereka berkhidmat.

Pandangan ini dinyatakan oleh ahli akademik University of Appalachian, North Carolina, Amerika Syarikat, Dr. Brian MacHarg dalam bengkel setengah hari bertemakan Learning the Habits of Duty – Roles of Media in Civic Engagement anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 10 Mac 2020.

Secara lebih spesifik, beliau yang merupakan pengarah program penglibatan sivik di universiti berkenaan mencadangkan media memperbanyakan liputan kepada kegiatan-kegiatan berikut:

  • Kesukarelaan dan kebajikan
  • Keusahawaman sosial
  • Bantahan dan tunjuk perasaan warga berkaitan isu-isu kepentingan masyarakat
  • Pembinaan komuniti setempat
  • Kerja-kerja amal, baik dilakukan secara individu atau berkumpulan
  • Pembangunan ekonomi kemasyarakatan
  • Tindakan-tindakan formal berbentuk politik seperti menggalakkan masyarakat mengundi, membayar cukai dan sebagainya
  • Kegiatan-kegiatan persatuan yang berjuang untuk kepentingan awam
  • Tingkah laku atau tindak tanduk sosial yang bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin
  • Kegiatan-kegiatan yang berteraskan masyarakat oleh pelbagai pihak
  • Kegiatan penyelidikan yang berasaskan komuniti
  • Memberi suara kepada kumpulan yang lemah dalam komuniti
  • Dan program-program yang dianjurkan oleh masyarakat.

Dr. MacHarg percaya dengan memberi liputan kepada apa juga kegiatan yang berteraskan masyarakat dan kemasyarakatan, baik melalui radio, TV, surat khabar dan pelbagai platform dalam media baharu, anggota masyarakat akan terpengaruh untuk membabitkan diri dalam keterlibatan sivik yang boleh menghasilkan demokrasi yang matang.

Seramai 16 peserta mewakili pelbagai pertubuhan media dan pelajar kewartawanan universiti tempatan menghadiri program tersebut.

Penceramah, Mr Brian MacHarg berkongsi idea dan pendapat kepada peserta.
Peserta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tips – tips  yang dikongsikan oleh penceramah.
Sesi soal jawab daripada peserta RTM, Puan Nurzean Ibrahim.
Para peserta bergambar kenangan bersama penceramah pada akhir kursus.