Kursus
PERANGI EKSTRIMISME MELALUI KEWARTAWANAN

PERANGI EKSTRIMISME MELALUI KEWARTAWANAN

Hampir dua tahun tertangguh, tahun ini Workshop on Role of Media in Covering Issues Related to Countering Violent Extremism (CVE) & Radicalization Leading to Terrorism atau lebih dikenali dengan nama CVE di kalangan wartawan berjaya disempurnakan pelaksanaannya pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Kursus kolaborasi Malaysian Press Institute (MPI) bersama US Embassy Kuala Lumpur dan Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism (SEARCCT) diadakan di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel dan telah dihadiri oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada para wartawan dan ahli akademik.

Sesi hari pertama dimulakan dengan pengenalan kepada CVE yang disampaikan oleh Encik Akil Yunus, Analyst, Digital Strategic Communication Division (SEARCCT). Sesi diteruskan dengan penampilan khas dari Polis DiRaja Malaysia iaitu DCP Norma Ishak, Penolong Pengarah Prinsipal, Unit E8. Beliau berkongsi pengalaman dalam mengendalikan kes berkaitan pengganas dan puak pelampau di Malaysia. Peserta begitu teruja dengan sesi beliau dan bertanyakan soalan dan perbincangan bersama DCP Norma.

Peserta juga diberi pendedahan berkenaan rangka polisi kebangsaan menentang keganasan yang disampaikan oleh Encik Asrul Shah Razali, Setiausaha Kanan Penolong Prinsipal, Kementerian Luar Negeri.

Sesi bersambung dengan pengenalan kepada portal web mycveguide.com oleh Assoc. Professor Dr. Danial Mohd Yusof (Editor of mycveguide.com). Sesi petang diteruskan dengan perkongsian pengalaman oleh Encik Thomas K. Samuel, Konsultan dari United Nations (UN).

Sebelah malam hari pertama, para peserta diraikan dengan jamuan makan malam bersama wakil US Embassy Kuala Lumpur, Cik Michelle Kevern, Cik Roha Ismail dan Cik Fiona Teo. Sesi santai tersebut membuka peluang kepada para peserta beramah mesra bersama wakil yang hadir dan rakan-rakan wartawan yang lain.

Hari kedua diteruskan dengan lawatan tapak ke Unit Pemusnah Bom, PULAPOL Padang Tembak Kuala Lumpur. Untuk sesi ini semua peserta diberi taklimat berkenaan pemusnahan bom dan turut diberi peluang melihat bahan-bahan letupan, senjata dan kenderaan pemusnah bom yang digunakan oleh anggota unit pemusnah.

Usai lawatan, sesi petang hari kedua diteruskan dengan perkongsian berkenaan pengendalian militan di penjara. Sesi ini disampaikan oleh Tuan Wan Abdul Rahman Wan Yaman wakil dari Bahagian Penjara Malaysia.

Peserta turut disajikan dengan dokumentari multimedia khas bertajuk Perempuan Radikal by Nora Nabila pada sesi terakhir hari kedua. Dokumentari tersebut hasil suntingan Fat Bidin Media dan dipersembahkan oleh Puan Sheril A. Bustaman sebagai fasilitator di sesi tersebut.

Hari terakhir diteruskan dengan sesi oleh Encik Asrul Daniel Ahmed, Pemangku Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik Digital SEARCCT. Sesi terakhir hari ketiga telah disampaikan oleh Encik Zam Yusa, Ketua Digital Daily Express Sabah yang berkongsi beberapa kaedah menentang keganasan dari perspektif media.

Sesi kursus disempurnakan dengan ucapan penutup oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya dan penyampaian sijil penyertaan oleh Cik Mindy Masonis, Pegawai Perhubungan Awam US Embassy Kuala Lumpur kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan program kursus selama dua setengah hari.

Semua peserta umumnya telah diberi pendedahan yang khusus berkenaan penentangan terhadap keganasan dan bagaimana media boleh membantu kerajaan dalam menyampaikan mesej keamanan dan isu sebenar pengganas dan puak pelampau di negara ini. Setiap perkongsian oleh penceramah memberi seribu satu pengalaman kepada semua peserta dan mereka dilihat begitu bersemangat dalam memperjuangkan isu penentangan terhadap keganasan ini.

Sesi hari pertama dimulakan dengan pengenalan bersama peserta dan ucapan pembukaan oleh Dato’ Ganeson Sivagurunathan, Ketua Pengarah SEARCCT.

Sesi oleh Encik Akil Yunus, Penganalisis Bahagian Komunikasi Strategik Digital SEARCCT.

Sesi bersama DCP Norma Ishak.

Peserta dari BERNAMA, Adil Muzaffar bertanyakan soalan kepada DCP Norma.

Peserta mengadakan perbincangan melalui sesi tugasan berkumpulan.

Hari kedua merupakan lawatan ke Unit Pemusnah Bom, PULAPOL Kuala Lumpur. Sesi taklimat disampaikan oleh wakil Unit Pemusnah Bom.

Para peserta tekun mendengar penerangan oleh anggota pegawai pemusnah bom.
Sebahagian peserta yang menerima sijil yang disampaikan oleh Cik Mindy Masonis, Pegawai Perhubungan Awam US Embassy Kuala Lumpur.

Peserta, penceramah dan wakil agensi bergambar kenangan pada akhir sesi program kursus. Terima kasih semua yang terlibat!