PERKONGSIAN BERMAKNA DARI PENCERAMAH KEPADA PESERTA
Bengkel Penulisan Media Berkesan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) berlangsung dengan jayanya pada 23 dan 24 September 2019 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur.
Seramai 23 orang peserta telah mengikuti kursus dua hari ini. Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) telah menghantar 20 orang pegawai dan Rakan Strategik mereka manakala Bank Negara Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan PETRONAS menghantar seorang wakil dari organisasi masing-masing.
Encik Mohd Faizal Zakaria, Mantan Editor Prosesan KOSMO! selaku penceramah di kursus tersebut telah berkongsi pengalaman melebihi 10 tahun beliau berkhidmat di Kumpulan Utusan kepada para peserta dengan memberi beberapa latihan dalam kelas (LDK) bagi mencambah idea para peserta dengan membincangkan masalah-masalah komunikasi yang sering dihadapi Unit Komunikasi Korporat (UKK), meningkatkan kemahiran menulis berita untuk media arus perdana/portal/dalam talian dan beberapa latihan penulisan lain seperti penyediaan kenyataan media dan penulisan berita/rencana bagi memperlihat keberkesanan dari pembelajaran tersebut.
Antara lain, objektif utama kursus ini diadakan adalah untuk membantu pegawai perhubungan awam dan pengamal bidang komunikasi korporat dalam meningkatkan kemahiran menulis berita/rencana untuk media massa disamping mendedahkan kepada peserta tentang teknik/gaya penulisan yang berkesan menggunakan konsep 5W 1H, cara penggunaan tatabahasa yang betul selain memahami bahasa teknikal yang digunakan oleh media.