Persiapan Malam Wartawan Malaysia 2017 lancar

Persiapan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2017 yang diadakan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS (HKM 2016) di Hotel Shangri-la Kuala Lumpur pada 21 April depan berjalan lancar.

Setiausaha Kerja Jawatankuasa Induk Malam Wartawan 2017, Puan Norlida Jamain memberitahu, 39 buah badan korporat dan agensi-agensi kerajaan tampil untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu.

Menurut beliau 700 orang tetamu, sebahagian besarnya wartawan dijangka menghadiri majlis yang akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang juga penaung Malam Wartawan Malaysia 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin juga telah mengesahkan kehadiran. PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994. Nilai penajaan bagi 2016 ialah RM300,000.

Malam Wartawan Malaysia, pertama kali diadakan pada 16 September 1981, merupakan perhimpunan terbesar komuniti pengamal media di negara. Program ini menerima sokongan badan-badan korporat menerusi jabatan komunikasi korporat dan perhubungan awam masing-masing.

Norlida yang juga pengurus kanan operasi MPI memberitahu, penilaian pusingan pertama karya-karya yang menyertai HKM 2016 telahpun selesai. Penyertaan 5 tertinggi bagi 20 kategori yang dipertandingkan akan memasukki pusingan kedua minggu depan dan dijangka selesai penghujung Mac ini.

Perdana Menteri akan menyampaikan tiga hadiah utama HKM iaitu Hadiah Kajai, Anugerah Khas Juri dan Tokoh Media iaitu anugerah yang pertama kali diperkenalkan tahun ini.

Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Datuk Wan Zulkiflee serta ketua-ketua pengarang media utama negara juga akan diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sekurang-kurang 20 orang wartawan yang telah menghasilkan karya-karya terbaik kewartawanan 2016 dijangka dinobatkan sebagai pemenang. Karya terbaik dalam kalangan peserta akan menerima Hadiah Kajai yang menawarkan ganjaran wang tunai RM30,000.

Perkembangan terbaharu mengenai Malam Wartawan 2017 ini dimaklumkan oleh Norlida selepas Jawatankuasa Induk Malam Wartawan Malaysia 2017 mengadakan mesyuarat kali kedua untuk membincangkan penganjuran majlis itu di MPI pada 14 Mac 2014.

Selain ahli-ahli Majlis Pentadbir MPI, turut hadir ialah wakil PETRONAS, Auliya Rashid mewakili Pengurus Besar Perhubungan Media PETRONAS, Azman Ibrahim.

Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh Datuk Dr. Chamil Wariya dan Datuk Mustapa Omar.


Mac 14 Mesy MWM (22)

1. Datuk Mustapa Omar, Pengerusi Bersama MWM 2017 mengatakan sesuatu kepada ahli mesyuarat.



Mac 14 Mesy MWM (21)2. Masing-masing memberikan komitmen yang tinggi dalam mesyuarat bagi mempastikan majlis berjalan dengan lancar.


Mac 14 Mesy MWM (37)3. Ahli Jawatankuasa Induk Pelaksana MWM 2017 bersama Sekretariat bergambar sejurus tamat mesyuarat.

Dari kiri : Puan Norlida Jamain, Setiausaha Kerja Jawatankuasa Induk Malam Wartawan 2017; Encik Francis Fahir; Encik Foo Tick Fat; Encik Auliya Rashid; Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Datuk Mustapa Omar; Datuk Dr. Chamil Wariya; Puan Sri Diah Shaharuddin; Datuk Zakaria Abd Wahab; Encik T. Selva; Encik Mohd Azri Atan; Encik Choo Joon Kian; Encik Ainol Amriz Ismail dan Puan Nur Ramizah Abd Aziz, Sekretariat MWM 2017.