Persiapan menganjurkan Malam Wartawan Malaysia 2021 bermula

Persiapan Malaysian Press Institute (MPI) menganjurkan Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) sudahpun bermula.

Hari ini, pasukan pengurusan MPI, diketuai oleh Pengurus Pentadbiran, Yusof Saharin mengadakan mesyuarat pertama dengan pihak Hotel Majestic Kuala Lumpur yang dipilih menjadi lokasi berlangsungnya majlis tahunan anjuran MPI itu.

Yusof Saharin, Pengurus Pentadbiran MPI.
Encik Lewis Low, Pengurus Pemasaran Hotel Majestic Kuala Lumpur.

Hotel Majestic dipilih kerana lokasinya yang strategik di ibu negara, memudahkan tetamu untuk hadir.

MWM 2021 diadakan selepas kebenaran penganjuran majlis rasmi sektor swasta diizinkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Majlis tahunan anjuran MPI yang pertama kali diadakan 1981, untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia tajaan PETRONAS, insya-Allah akan diadakan pada 30 November 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah diundang untuk hadir sebagai tetamu kehormat pada malam tersebut.

Satu lagi acara yang mengiringi MWM iaitu majlis penyerahan sumbangan para penaja malam tersebut dirancang pada 26 Oktober 2021. Ia akan diadakan di hotel yang sama.

Bagi MWM 2021, 30 buah badan korporat dan agensi kerajaan menghulurkan sumbangan masing-masing bernilai secara keseluruhannya sebanyak RM350,000.

Yusof Saharin (kanan) berfoto kenangan dengan Encik Lewis Low (dua kanan) selepas perbincangan selesai.