PESERTA AKUI KEPENTINGAN DATA DALAM KEWARTAWANAN
Seramai hampir 40 orang peserta berjaya melengkapkan tiga modul utama kursus “Data Journalism Workshop” yang diadakan khusus untuk pengamal media Sarawak.
Bertempat di Hotel Pullman Kuching, modul pertama dan kedua telah dilaksanakan pada 16 -17 Oktober manakala modul terakhir pada 24,25 dan 26 Oktober lalu.
Lima hari yang padat dengan pelbagai aktiviti dan latihan praktikal membantu para peserta mempertajam kemampuan dalam pemahaman dan visualisasi data yang membolehkan mereka membentuk naratif yang kuat bagi menghasilkan konten multimedia yang menarik serta bermanfaat dalam pelaporan berita.
Para peserta mengakui kepakaran dan pengetahuan tinggi penceramah, ketersediaan beliau menyantuni setiap peserta memberikan kelebihan kepada mereka untuk memahami, menghadam, dan mempraktiskan dengan lebih baik setiap sesi praktikal yang melibatkan pengunaan “tools” dan aplikasi yang berbeza dalam pengumpulan, pemprosesan dan pengurusan data.
Menurut tenaga penceramah, “sepanjang tempoh kursus, saya dapat melihat peningkatan pencapaian setiap individu dalam mengaplikasikan kaedah-kaedah serta kemahiran yang telah diajar untuk membantu penghasilan laporan mereka dengan penggunaan data. Walaupun dalam kalangan mereka pada mulanya ada yang “lost” dan tertekan tetapi mereka tetap memberi sepenuh komitmen terhadap setiap tugasan yang saya berikan”.
Wakil peserta, Ronnie Teo yang juga merupakan Presiden KDJA menyifatkan penganjuran kursus ini sangat memberi manfaat kepada pendedahan kemahiran penggunaan data selari dengan kepentingan dan keperluan semasa dalam era pendigitalan.
Majlis penutup dan penyerahan sijil disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menekankan data adalah kemahiran yang diperlukan wartawan hari ini terutamanya bergerak ke era digital dan berharap para peserta mempersembahkan peningkatan kerjaya dengan mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari dalam pelaporan harian masing-masing.
Program latihan kedua ini adalah tajaan YAB Premier Sarawak selepas Kursus Pengantar Perlembagaan pada Julai yang lalu. Ia dianjurkan dengan kerjasama The Federation of Sarawak Association (FSJA) dan Kuching Division Journalists Association (KDJA).
RAKAMAN GAMBAR-GAMBAR