Peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia kagum dengan pembangunan Sabah
Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya mengenai sesi dialog para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dengan YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 26 Januari 2015 di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu. Kenyataan ini adalah rumusan pandangan para peserta Zamalah yang dizahirkan pada akhir sesi dialog.
- Bagi pihak Malaysian Press Institute (MPI), saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah atas kesudian YAB Ketua Menteri Sabah menerima kunjungan hormat dan seterusnya mengadakan sesi dialog dengan 23 orang peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di kediaman beliau di Sri Gaya pada 26 Januari 2015 serta meraikan mereka pada majlis makan tengah hari selepas sesi dialog selesai.
- Pertemuan itu telah membolehkan para peserta Zamalah mendengar sendiri kemajuan-kemajuan dan pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan negeri Sabah khususnya dalam tempoh lebih 10 tahun yang lalu.
- Gambaran yang saya perolehi daripada para peserta adalah mereka kagum dengan kemajuan pesat negeri di bawah bayu ini khususnya di bawah pemerintahan YAB Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri.
- Dari sebuah negeri yang pada satu waktu dilabelkan sebagai a sleeping hollow, Sabah kini merupakan salah sebuah negeri yang berada pada landasan betul dan tepat untuk mencapai Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negeri maju pada 2020 dengan ekonomi yang telah dipelbagaikan dan tidak lagi hanya bergantung kepada balak seperti pada peringkat awalnya.
- Para peserta berpendapat bahawa kestabilan politik yang dinikmati oleh Sabah lebih satu dekad lalu, yang ada kaitan dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Aman, adalah salah satu faktor penting yang telah menyumbang terhadap pencapaian Sabah pada waktu ini.
- Selain itu, dasar-dasar inklusif pembangunan yang bertunjangkan penerimaan dan saling hormat menghormati yang menjadi guiding principle Ketua Menteri Sabah diakui oleh para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia sebagai pemangkin kepada kejayaan Sabah setakat ini.
- Bagi para peserta, perasaan saling hormat menghormati itu merupakan resepi bagi kejayaan Sabah dalam memupuk perpaduan sebenar dalam kalangan 32 etnik penduduknya. Resepi kejayaan ini dikagumi oleh para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan melambangkan semangat 1Malaysia yang sejati.
- Pembangunan YAB Datuk Seri Musa Aman yang berpaksikan kepada tiga teras iaitu pelancongan, pertanian dan pembuatan yang mengimbangi antara keperluan fisikal dan pembangunan alam sekitar telah menjadi Sabah sebagai model terutamanya dalam membangunkan semula hutan melalui penanaman semula yang sistematik dan terancang yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan dunia. Program itu membayangkan keprihatinan beliau dalam mewariskan khazanah semula jadi negeri kepada generasi akan datang.
- Hubungan baik yang dijalin dengan kepimpinan kerajaan Persekutuan khususnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak turut membolehkan Sabah membangun dengan pesat terutama dalam projek infrastruktur (seperti pembangunan lebuhraya Pan-Borneo) dan keselamatan di pantai Timur Sabah menerusi ESSCOM dan ESSZONE.
- Para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia percaya Sabah di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Aman akan terus mencapai pancang tanda (milestone) pembangunan yang sukar ditandingi pada masa-masa akan datang.
1. Datuk Chamil (kiri) dan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman semasa sesi dialog dengan peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu pada 26 Januari 2015.
2. Sebahagian peserta Zamalah tekun mendengar taklimat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman semasa sesi dialog di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah.
3. Datuk Chamil (kiri) menyerahkan buku-buku karangan beliau kepada Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai tanda kenangan dan penghargaan atas kesudian Ketua Menteri Sabah menerima kunjungan hormat seterusnya berdialog dengan 23 peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia pada 26 Januari 2015. Sebagai menghargai usaha Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 di Kota Kinabalu dan Kundasang, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengumumkan sumbangan kerajaan negeri Sabah sebanyak RM30,000.00 kepada MPI untuk membiayai program dua minggu itu.
4. Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman meraikan para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia di kediaman rasmi beliau selepas mengadakan sesi dialog.
5. Para peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2015 bergambar kenangan dengan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebelum berangkat ke Kundasang untuk minggu kedua program itu yang bermula pada 18 Januari 2015 di Kota Kinabalu.